Judul : Kisah Asal Usul Nasi Dagang
link : Kisah Asal Usul Nasi Dagang
Kisah Asal Usul Nasi Dagang
Nasi dagang yang begitu terkenal di Terengganu dan Kelantan merupakan salah satu makanan utama daripada beratus-ratus jenis makanan yang telah tersenarai sebagai makanan warisan kebangsaan. Kedudukan nasi dagang dalam senarai makanan warisan kebangsaan adalah setara dengan nasi lemak, nasi kerabu, nasi kunyit (pulut kuning) serta nasi goreng. Namuun, tahukah anda apakah perbezaan di antara nasi dagang yang dibuat di Terengganu serta nasi dagang yang dibuat di Kelantan? Dan, tahukah anda, apakah sejarah serta asal usul yang membawa kepada nasi dagang ini?
Sejarah asal usul nasi dagang
Secara asasnya, sejarah nasi dagang ini dikatakan bermula apabila nasi dagang dihasilkan bertujuan untuk diper’dagang’kan kerana ia merupakan makanan yang enak, tahan lama, mengenyangkan dan boleh dimakan pada bila-bila masa. Hidangan nasi dagang ini pada suatu masa dahulu amat terkenal di beberapa buah kawasan, seperti selatan Thailand (Narathiwat, Pattani dan Songkhla), Kelantan dan Terengganu.
Terdapat pelbagai versi dan kisah yang diceritakan mengenai sejarah dan asal usul terhasilnya nasi dagang ini. Mari kita lihat dahulu asal usul nasi dagang ini berdasarkan kisah dan versi yang diceritakan dari negeri Kelantan. Kisah asal usul nasi dagang ini di Kelantan ini membawa kita kepada kisah Puteri Saadong yang merupakan antara Raja Perempuan yang memerintah negeri Kelantan di antara tahun 1667 hingga 1671 dan nasi dagang ini dikatakan telah dicipta dan dihasilkan oleh Puteri Saadong ini.
Puteri Saadong merupakan anak perempuan kepada Datuk Loyor dan datuknya adalah Raja Sakti. Puteri Saadong ini telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Cik Siti Wan Kembang, iaitu Raja Perempuan Kelantan. Baginda juga berkahwin dengan sepupunya, iaitu putera kepada Sultan Samiruddin (Raja Jembal), yang bernama Raja Abdullah.
Berdasarkan sebuah kisah yang kerap diceritakan oleh orang-orang tua, dikatakan bahawa salah seorang daripada Raja Siam telah terpesona dengan kecantikan Puteri Saadong dan telah menangkapnya untuk dibawa ke Siam bertujuan untuk mengahwininya. Namun, terdapat suatu yang ajaib pada Puteri Saadong di mana Raja Siam tersebut langsung tidak dapat mendekati atau menyentuuhnya. Malah, Raja Siam itu juga mempunyai sejenis penyakit kulit misteri yang tidak dapat disembuhkan untuk suatu tempoh masa yang lama.
Puteri Saadong yang mengetahui akan rahsia Raja Siam ini telah menawarkan diri untuk membantu menyembuhkan penyakit yang dialami oleh Raja Siam tersebut. Namun, Puteri Saadong telah mengenakan syarat, bahawa baginda harus dihantar pulang ke Kelantan sekiranya Raja Siam berjaya sembuh daripada penyakit berkenaan. Dengan izin Tuhan, maka hasil rawatan yang diberikan oleh Puteri Saadong, Raja Siam tersebut telah sembuh dan baginda terpaksa menunaikan janjinya terhadap Puteri Saadong.
Maka, Puteri Saadong telah dihantar pulang ke Kelantan bersama satu rombongan yang khas oleh Raja Siam. Setelah beberapa lama berlayar, akhirnya rombongan tersebut sampai ke Kelantan dan berlabuh di suatu tempat yang bernama Kuala Kemasin. Pada waktu ketibaan mereka itu, kesemua bahan-bahan makanan yang mereka bawa dari Siam, seperti beras, lauk pauk dan kelapa hampir kehabisan. Ahli-ahli rombongan mula merasa risau dan tidak tahu apa yang harus mereka lakukan bagi memasak makanan untuk rombongan tersebut.
Puteri Saadong yang juga terkenal dengan kebijaksanaannya telah menggunakan kesemua bahan masakan yang masih tinggal tersebut dan masakan tersebut telah dinamakan sebagai ‘nasi dagang’ sesuai dengan keadaan mereka pada waktu itu. Begitulah cerita mengenai nasi dagang versi negeri Kelantan yang telah disampaikan dari mulut ke mulut sejak beberapa waktu yang lalu.
Berbeza pula dengan kisah asal usul dan sejarah nasi dagang bagi versi negeri Terengganu. Kisah nasi dagang Terengganu ini sebenarnya lebih kepada kisah para nelayan yang menjadi pekerjaan utama bagi penduduk Terengganu pada suatu ketika dahulu. Kisahnya ringkas sahaja, di mana masyarakat nelayan di Terengganu dikatakan telah menghasilkan nasi dagang sebagai bekalan buat mereka ketika di lautan. Nasi ini yang dihasilkan dengan santan dan mempunyai lauk ikan yang berkuah, bertujuan untuk memberi tenaga yang mencukupi untuk mereka bertahan di lautan.
Malah, suatu ketika dahulu, golongan nelayan yang tinggal berhampiran dengan istana di Terengganu turut mempersembahkan hidangan nasi dagang ini ke istana pada setiap kali menjelangnya perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ini dianggap sebagai satu simbolik kerana hidangan nasi dagang juga merupakan antara hidangan kegemaran golongan kerabat istana dan merupakan hidangan istimewa pada setiap kali acara dan perayaan di Terengganu.
Perbezaan nasi dagang Terengganu dan Kelantan
Meskipun nasi dagang ini merupakan antara jenis nasi yang utama di kedua-dua buah negeri Terengganu dan Kelantan, namun sebenarnya terdapat beberapa perbezaan yang ketara dari segi rupa dan rasa nasi dagangnya.
1. Nasi dagang terengganu
Nasi dagang Terengganu secara kebiasaannya, diperbuat daripada campuran beras biasa dan beras pulut dan dimasak bersama santan kelapa (dikukus). Bagi lauknya pula, nasi dagang Terengganu dihidangkan bersama kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan. Nasi dagang Terengganu pada hari biasanya menjadi hidangan sarapan pagi bagi masyarakat Terengganu dan juga hidangan istimewa bagi acara-acara tertentu.
2. Nasi dagang Kelantan
Nasi dagang kelantan ini kebiasaannya berwarna merah atau keperang-perangan kerana menggunakan beras khas yang hanya dijual di Kelantan sahaja. Manakala bagi lauknya pula, ia biasanya dimakan dengan gulai ikan atau gulai ayam yang khusus untuk nasi dagang. Gulai ini biasanya dipanggil gulai kunyit lengkuas. Biasanya ia juga diletakkan sehiris telur ayam rebus yang dibelah empat. Selain itu, istimewanya nasi dagang Kelantan ini kerana ia juga dimakan dengan sambal kelapa. Ini adalah agak berbeza dengan Terengganu, kerana di Terengganu, hidangan nasi dagangnya harus menggunakan rempah gulai ikan yang khusus dan bahan lain seperti ayam atau daging tidak pernah dijadikan sebagai lauk bagi nasi dagang di Terengganu.
Pada hari ini, hidangan nasi dagang ini telah berevolusi dan turut dapat ditemui di negeri-negeri serta daerah lain di luar Terengganu dan Kelantan. Sebagai contohnya, di Johor dan sesetengah daerah di Pahang seperti Raub, Pekan, Temerloh dan Kuantan, terdapat juga versi-versi nasi dagang yang menggunakan kuah laksa sebagai kuah pilihan.
Nasi dagang sebagai makanan warisan kebangsaan
Sejak tahun 2009 lagi, nasi dagang ini telah tersenarai sebagai salah satu daripada hidangan tradisional yang menjadi makanan warisan kebangsaan. Oleh itu, adalah wajar bagi seluruh rakyat di Malaysia untuk menghargai dan bangga dengan kewujudan hidangan ini sebagai salah satu warisan bangsa kita. Malah, bagi masyarakat di Terengganu dan Kelantan, ilmu memasak nasi dagang ini merupakan antara asas memasak yang harus dikuasai oleh mereka terutamanya bagi golongan wanita.
Kesimpulan
Nasi dagang sebagai makanan warisan kebangsaan harus dipelihara keasliannya terutamanya dari segi rasa dan teksturnya. Malah, identiti nasi dagang yang berbeza antara Terengganu dan Kelantan juga perlu terus kekal menjadi suatu simbolik yang menjadi daya penarik bagi kedua-dua buah negeri tersebut. Nasi dagang Terengganu atau Kelantan, kedua-duanya adalah warisan bangsa kita!
Rujukan
Maruwiah, A. (2012). Makanan Tradisional. Shah Alam, Selangor: Get Smart Publication Sdn. Bhd.
Mohd Anim, H. (2014). Nasi Dagang. Retrieved December 9, 2018, from https://ift.tt/2UJgDBu
Rahmat. (2018). Nasi Dagang dan Asal Usulnya. Retrieved December 8, 2018, from https://ift.tt/2BfRK7S