Judul : Adun: Beri RM34 juta jatuh Liga Perdana, baik cungkil bakat muda
link : Adun: Beri RM34 juta jatuh Liga Perdana, baik cungkil bakat muda
Adun: Beri RM34 juta jatuh Liga Perdana, baik cungkil bakat muda
Pemain import Pulau Pinang Andy Russell (kanan) diasak pemain Kedah Liridon Krasniqi semasa perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman 25 Februari 2017. — Foto BernamaGEORGE TOWN, 8 Nov — Seorang wakil rakyat DAP hari ini mempersoalkan pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) sebab pasukan negeri tersingkir Liga Super untuk musim depan walaupun menerima peruntukan RM34.5 juta daripada kerajaan negeri.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kota Lau Keng Ee berkata walaupun menerima peruntukan yang begitu banyak, mereka gagal menghasilkan keputusan dengan sekadar menghuni tangga tercorot Liga Super.
“Sekiranya keputusan begitu teruk, maka tidak perlulah kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan memberikan tajaan yang begitu besar untuk mengimport pemain dan jurulatih,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun dengan beberapa pemain import dan jurulatih import, pasukan negeri masih gagal menghasilkan keputusan yang baik musim ini.
Sebaliknya, Lau berkata kerajaan negeri seharusnya melatih pemain-pemain negeri sendiri untuk menyarung jersi Pulau Pinang.
“Anak-anak kelahiran Pulau Pinang akan lebih bersemangat untuk bermain bersama negeri sendiri dan kos import pemain serta jurulatih itu dapat dijimatkan untuk perkara lain,” katanya.
Sementara itu, RSN Rayer (DAP-Seri Delima) ketika mencelah mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan akademi bola sepak negeri untuk mencungkil bakat-bakat pemain bola sepak daripada anak-anak kelahiran negeri.
Beliau berkata semua kelab gergasi Liga Bola Sepak Inggeris mempunyai akademi masing-masing untuk melatih pemain-pemain bagi mewakili kelab mereka.
Pasukan bola sepak Pulau Pinang tersingkir daripada beraksi di Liga Super musim depan selepas hanya mampu mengumpul 12 mata daripada 22 pelawanan.
Berikutan keputusan itu, Presiden FAP Zairil Khir Johari mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada 9 Okt lepas.
Persidangan dewan bersambung esok. — Bernama
Sumber Adun: Beri RM34 juta jatuh Liga Perdana, baik cungkil bakat muda