Judul : Lorenzo catat rekod terpantas ujian pramusim MotoGP di Sepang
link : Lorenzo catat rekod terpantas ujian pramusim MotoGP di Sepang
Lorenzo catat rekod terpantas ujian pramusim MotoGP di Sepang
SEPANG: Jorge Lorenzo merekodkan catatan terpantas MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan mengungguli hari terakhir ujian pra musim rasmi 2018 yang dipenuhi insiden kemalangan siang tadi.
Sekali pun terbabit dengan kemalangan di selekoh 15, pelumba Sepanyol, Lorenzo yang juga juara dunia MotoGP tiga kali mencatatkan masa terpantas 1 minit 58.830 saat dalam keadaan litar kering bersama jentera Ducati.
Catatan itu mengatasi rekod lama 1 minit 58.867 saat yang dilakukan oleh penunggang Honda, Marc Marquez pada sesi ujian pra-musim 2015.
Begitupun, catatan terpantas sepusingan rasmi yang dilakukan ketika minggu perlumbaan iaitu 1 minit 59.053 saat dibuat oleh rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa pada 2015.
Lorenzo yang memulakan musim keduanya bersama pasukan Itali itu berkata jentera baharu Ducati lebih sesuai dengan corak tunggangannya.
Pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi berkata kejuaraan pada musim 2018 akan menjadi lebih kompetitif.
"Kami gembira dengan jentera Ducati. Kami cuba untuk membuatkan enjin menjadi lebih lancar dan kurang agresif. Ini apa yang penunggang minta pada tahun lalu," katanya.
Rakan sepasukan Lorenzo dan juga naib juara dunia tahun lalu, Andrea Dovizioso terjatuh di selekoh 1 tetapi penunggang dari Itali itu tidak mengalami kecederaan dan mencatat masa keempat terpantas 1 minit 59.052 saat.
Pelumba lain yang turut terjatuh termasuk penunggang Perancis, Johann Zarco (Yamaha), pelumba Sepanyol, Tito Rabat (Ducati) dan jagu Switzerland, Tom Luthi (Honda) tetapi kesemuanya tidak mengalami kecederaan.
Ujian pra musim terakhir rasmi tampak cukup sengit dengan kedudukan tujuh teratas hanya dibezakan dengan 0.5 saat dengan Pedrosa mencatatkan masa kedua terpantas diikuti pelumba British, Cal Crutchlow.
Juara dunia, Marquez yang menyuarakan keraguannya mengenai jentera baharu Honda mencatatkan masa 1 minit 59.348 saat di kedudukan tujuh terpantas manakala juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi mencatatkan masa kelapan terpantas. - AFP
Sumber Lorenzo catat rekod terpantas ujian pramusim MotoGP di Sepang