Judul : Fahami suara kecewa #undirosak — Fadiah Nadwa
link : Fahami suara kecewa #undirosak — Fadiah Nadwa
Fahami suara kecewa #undirosak — Fadiah Nadwa
30 JANUARI — “Kita akan meninggalkan dunia. Itu mungkin makna kehidupan. Tetapi kita menggunakan bahasa. Itu mungkinnya ukuran kehidupan kita.” — Toni Morrison
Bahasa. Saya sudah lama memikirkan tentangnya dan bagaimana ia digunakan dalam wacana politik kita lewat ini.
“Bodoh.” “Tidak bertanggungjawab”. “Menjengkelkan”. “Kebudak-budakan.” “Mementingkan diri sendiri”.
Ini adalah kata-kata yang mengisi tulisan-tulisan yang menanggapi kempen #undirosak beberapa bulan yang lepas.
Kata-kata ini digunakan untuk merujuk kepada mereka yang berada di pinggiran masyarakat Malaysia, mereka yang memikir tentang politik dengan cara yang berbeza, dan mereka yang tidak sama sekali seragam.
Kecaman, membuat rasa bersalah, memperlekehkan, memburukkan dan peras ugut emosi seolah-olah menjadi satu-satunya respon yang kita tahu dan sudah terbiasa.
Apa yang sudah memiskinkan jiwa kita sehingga kita tidak mampu memanjangkan kemurahan hati untuk membolehkan kita mendengar suara-suara ini dan memahami kemarahan dan kekecewaan mereka adalah satu persoalan yang amat membingungkan.
Dalam mengejar perubahan, kita secara tidak sedar sudah menjadi gergasi keji yang kita benci, gergasi kejam yang kita terpaksa hadapi dalam melalui kehidupan seharian, gergasi zalim yang kuasanya ingin kita cabar dan hancurkan.
Seorang ahli politik dari barisan pembangkang telah ke depan lagi untuk menuntut agar suara-suara yang berbeza ini disiasat kerana ‘menghasut’ rakyat Malaysia untuk merosakkan undi.
Kemarahan terhadap tindakan yang melampaui batas ini sebelumnya hampir tiada.
Apakah yang sudah terjadi kepada pemikiran kritikal? Ke mana hilangnya kejujuran intelektual kita?
Bagaimana kita boleh membiarkan bahasa yang menindas yang sedang membinasakan imaginasi kita menyimpang dengan liar?
Tersentak oleh budaya politik toksik dan melemaskan ini, persoalan-persoalan ini terus bermain di fikiran.
Apabila kita terpaksa mengendong beratnya beban sebuah negara yang diselubungi peminggiran yang terus berkekalan, ketidaksamarataan yang kian melebar, dan kebencian kaum dan agama yang meracuni, adalah menjadi tuntutan agar perubahan dilaksanakan. Ini adalah suatu yang pasti.
Suara-suara membangkang yang sedang diserang ganas ini menimbulkan pelbagai isu dan membangkitkan pelbagai persoalan berkenaan idea perubahan yang perlu ditangani.
Berdepan dengan kebuntuan politik yang kita hadapi hari ini, sudah sampai masa kita bertanyakan soalan-soalan yang sebenar.
Ursula K. Le Guin, salah seorang tokoh sastera yang telah meninggal dunia minggu lepas berkata “Tidak ada jawapan yang benar kepada soalan yang salah.”
Oleh demikian, mengajukan soalan yang benar dalam masa yang mencabar ini menjadi satu keperluan.
Soalan-soalan yang jarang kita bertanya dan sepatutnya mula bertanyakan dalam kebingitan yang menghimpit ini adalah – Apakah makna perubahan? Apa yang perlu diubah? Apakah bentuk perubahan yang kita inginkan? Bagaimana kita melaksanakan perubahan ini?
Bagaimana kita melaksankana pemberdayaan setiap ahli masyarakat, terutamanya golongan terpinggir di kalangan kita untuk menjadi sebahagian daripada perubahan ini?
Bagaimana kita memberi makna kepada ungkapan “kuasa rakyat”? Bagaimana kita melepaskan kebergantungan kepada gologan elit politik daripada kedua-dua belah pihak agar mereka tidak lagi menjadikan kita sebagai mangsa tebusan sebagaimana sering diperlakukan oleh mereka?
Bertanyakan soalan yang benar bukanlah sesuatu yang bersifat akademik dan amatlah tidak adil jika ia dianggap sedemikian.
Ia tidak akan segera membawa kita kepada semua jawapan yang kita perlukan tetapi ia sudah pasti akan membantu kita dalam mencari jawapan-jawapan itu dalam kita melalui proses pencarian tersebut.
Bertanyakan soalan yang benar membolehkan kita memahami isu-isu yang ada, mengungkap akar permasalahan, dan membezakan di antara perubahan yang sebenar, bermakna, dan merangkumi dengan ilusi perubahan.
Ia juga akan mengawal perlakuan kita agar kebaikan berpeluang untuk bernafas dan kejahatan, sedikit atau banyak sentiasa dicabar dan tidak diterima sebagai kebiasaan.
Menjalani proses ini amatlah penting dalam masa kejahatan sudah menjadi kebiasaan sehinggakan kita sering menolak betapa pentingnya untuk kita tetap berpegang kepada perjuangan yang getir untuk membangunkan sebuah negara yang adil, dan di mana perjuangan ini sering di samakan dengan mimpi utopia. Tiada sesiapa yang dapat menuntut kesempurnaan kerana ia tidak mungkin.
Bagaimanapun ini tidak membebaskan kita daripada tanggungjawab untuk menetapkan dan mempertahankan tingkat moral tertentu yang akan memastikan kebaikan – suatu gagasan yang sudah menjadi terlalu asing kepada kita pada hari ini sampaikan hanya ilusi.
Terlalu idealistik dan tidak realistik, ada antara mereka yang berkata. Sekiranya kita mampu menjadikan keperluan untuk memilih yang kurang jahat antara dua kejahatan begitu berharga seolah-olah ia satu-satunya kemungkinan dan pilihan yang berupaya kita imaginasikan.
Apakah yang menghalang kita daripada berusaha untuk mengimaginasikan kebaikan yang lebih besar turut dapat diberikan ruang untuk wujud bersama?
Perubahan juga merangkumi usaha-usaha untuk membina kesedaran kritikal. Usaha ini adalah penting dalam mengukuhkan kuasa rakyat yang akan memastikan kezaliman dan ketidakadilan sentiasa dihadapi dan dicabar.
Menggunakan bahasa yang menindas dalam menangani suara-suara membangkang akan menutup ruang wacana intelektual dan menghalang keperluan mendesak untuk membina kesedaran kritikal dalam masyarakat.
Ia juga akan terus mengukuhkan budaya politik toksik yang terus mengakar dengan dalam di kalangan masyarakat kita.
Bahasa mempunyai kuasa untuk menindas dan juga memberdaya.
Penggunaan bahasa yang menindas yang diteruskan tanpa dicabar dalam wacana politik kita akan membawa kepada matinya imaginasi – satu tragedi bencana yang kita semua perlu berusaha untuk hindari.
* Fadiah Nadwa Fikri adalah seorang penggerak Malaysia Muda.
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.
Sumber Fahami suara kecewa #undirosak — Fadiah Nadwa