Judul : Jangan daftar pemilih di kem belum siap — Bersih 2.0
link : Jangan daftar pemilih di kem belum siap — Bersih 2.0
Jangan daftar pemilih di kem belum siap — Bersih 2.0
3 NOVEMBER — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada pendedahan yang dilakukan oleh Adun-Adun DAP di Johor pada 31 Oktober 2017 mengenai isu 1,079 anggota tentera atau pasangan mereka yang didaftarkan ke Kem Segamat yang masih belum siap dibina.
Bersih 2.0 menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap isu ini kerana ia merupakan suatu kesalahan dan penipuan pilihan raya yang serius.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, seseorang hanya boleh didaftarkan sebagai pengundi di sesebuah kawasan parlimen atau DUN jika mereka tinggal di kawasan tersebut.
Oleh itu, disebabkan Kem Segamat masih belum siap dibina, persoalan serius timbul apabila 1,079 pengundi itu bertukar pendaftaran ke Kem Segamat yang terletak di P140 Segamat, iaitu sebuah kerusi parlimen yang dimenangi oleh Menteri Kesihatan, Datuk Subramaniam dengan hanya1,217 undi.
Selain itu, SPR juga telah mewujudkan dua lokaliti baru yang bertempat di Kem Segamat untuk tujuan ini.
Ini menunjukkan SPR tidak melakukan semakan di lapangan untuk memastikan kawasan tersebut adalah sah dan mempunyai penduduk sebelum mewujudkan lokaliti tersebut.
SPR juga gagal membuat semakan terhadap 1,079 permohonan-permohonan ini seperti mana yang diperuntukkan dalam Peraturan 13 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Kegagalan-kegagalan seperti inilah yang menyebabkan banyak pengundi hantu terkandung dalam daftar pemilih.
Tindakan memindahkan pengundi secara haram dan terancang ke kerusi-kerusi marginal bukan suatu isu baru, dan telah banyak kali didedahkan oleh Bersih 2.0 dan parti-parti politik pada tahun ini, khasnya di Bukit Katil, Lembah Pantai, Kluang, dan Hutan Melintang.
Selain itu, pada bulan Mei 2017, seramai 28,416 pengundi tentera telah didaftarkan secara tiba-tiba melalui proses tuntutan kerana nama-nama tersebut “tertinggal” oleh SPR.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan sahaja tidak mengambil tindakan untuk membetulkan keadaan, malah telah menghentikan pemberian rang daftar pemilih tambahan kepada parti-parti politik dalam bentuk elektronik bagi menyukarkan pengesanan pengundi hantu.
Oleh itu, Bersih 2.0 dengan tegasnya menuntut perkara-perkara berikut dengan segera; SPR dan Kementerian Pertahanan perlu tampil memberi penjelasan tentang sebab dan bagaimana perkara ini boleh berlaku, dan samada perkara sama telah berlaku di kem-kem tentera yang lain.
SPR perlu mengambil tindakan untuk membatalkan pemindahan dan pendaftaran baru ini sebelum daftar pemilihan tambahan diwartakan.
Pihak polis dan peguam negara perlu menjalankan penyiasatan terhadap isu ini kerana ia merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Bersih 2.0 juga menyeru kepada orang ramai untuk membantu memastikan Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang berlangsung secara bersih dan adil.
Orang ramai boleh menyertai kempen Pemantau PRU14 yang telah dilancarkan oleh Bersih 2.0 di www.pemantau.org.
* Tulisan ini asalnya kenyataan media Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online.
Sumber Jangan daftar pemilih di kem belum siap — Bersih 2.0