Judul : Cabaran kendali murid bermasalah ― Azizi Ahmad
link : Cabaran kendali murid bermasalah ― Azizi Ahmad
Cabaran kendali murid bermasalah ― Azizi Ahmad
1 NOVEMBER ― Artikel “Kesungguhan seorang guru” (Utusan Malaysia, 18 Oktober 2017) adalah dirujuk.
Marilah kita mengambil sedikit masa dan melihat cabaran yang dihadapi oleh guru dalam membantu kanak-kanak belajar, berfikir dan membuat pilihan dan keputusan yang tepat dalam hidup.
Mereka dilihat mengajar dengan penuh dedikasi. Mereka adalah agen perubahan, sumber inspirasi dan penemu bakat tersembunyi dalam diri anak-anak.
Keringat, darah dan air mata mereka membantu ramai yang menikmati kerjaya dalam menjalani kehidupan yang berjaya dan memuaskan. Mereka melakukan yang terbaik demi kecintaan kepada anak-anak dan profesion mereka.
Oleh kerana guru menghasilkan generasi yang berwawasan dan berteladan, mereka sebenarnya menyelamatkan dunia daripada kemusnahan dan memastikan hak asasi manusia tidak dicerobohi dan dilindungi.
Ramai juga yang berpendapat bahawa guru adalah mereka yang tidak berintegriti, kredibiliti mereka meragukan, malahan ada yang tidak yakin dengan kemampuan guru dalam memastikan anak-anak bersedia untuk menghadapi dunia yang nyata setelah tamat persekolahan.
Apabila kes anak-anak sekolah terlibat dalam tindakan jenayah seperti rompakan, rogol, kumpulan samseng, penyalahgunaan dadah dan pembunuhan dilaporkan, orang ramai mula hilang kepercayaan terhadap guru.
Tetapi, adakah bijak dan patutkah kita menyalahkan guru atas apa yang berlaku? Adakah disebabkan dasar yang dikatakan berorientasikan peperiksaan menjadikan pelajar terlalu tertekan untuk cemerlang dan menjadi yang terbaik di antara yang terbaik?
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sistem pendidikan telah disemak semula, kurikulum, sukatan pelajaran, subjek, pendekatan dan piawaian baru telah dilaksanakan di sekolah. Usaha-usaha ini dirancang, terutama untuk memenuhi keperluan alaf dan generasi celik teknologi, yang menjalani gaya hidup dan belajar dengan cara yang berbeza.
Realiti ini menimbulkan cabaran besar untuk guru, yang perlu menyesuaikan kaedah pengajaran revolusioner dan kontemporari dalam membentuk pelajar menjadi pemikir kreatif, bebas dan matang.
Berurusan dengan pelajar yang bermotivasi dan tidak bermotivasi adalah menakutkan dan mencabar. Pelajar berilmu dan bersemangat adalah mereka yang penuh dengan tenaga untuk belajar. Mereka menetapkan jangkaan yang tinggi terhadap guru untuk membantu mereka meneroka pengetahuan baru dan mencabar kemampuan mereka untuk berfikir di luar kotak.
Sebaliknya, pelajar yang tidak bermotivasi dan bermasalah gagal atau sengaja tidak mahu memahami bahawa pendidikan akan membantu mereka menyinar dan membimbing mereka untuk berjaya.
Daripada merasai kemanisan dan kepuasan yang tertunda, mereka mencari kesenangan dan keseronokan sementara, membuang masa dan wang ringgit, sambil terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti merokok, melepak, menonton pornografi dan merempit.
Bagi mereka, sekolah untuk ‘ulat buku’, kerja rumah itu penyeksaan dan peraturan sekolah pula halangan yang membunuh kebebasan dan kebahagiaan.
Sedikitnya mereka menyedari bahawa pendidikan membantu mereka menjadi pemikir unggul, yang akan membuat keputusan pintar ketika mereka menguruskan kerjaya, perkahwinan dan kewangan mereka pada masa akan datang.
Pengetahuan adalah penting kerana ia berfungsi sebagai ramuan untuk hati, minda dan jiwa, tidak kira betapa kecil atau besarnya bahagian yang diperoleh oleh pelajar ketika mereka bersekolah setiap hari.
Pendidik sejati sentiasa cemerlang apabila berurusan dengan pelajar yang sukar dan yang mempunyai pelbagai masalah. Mereka tidak akan menghindari atau lari dari tugas mereka atau mudah digoncangkan oleh tekanan kerana mereka percaya bahawa ‘sinar pelangi’ akan mewarnai kehidupan mereka.
* Azizi Ahmad adalah seorang pendidik
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.
Sumber Cabaran kendali murid bermasalah ― Azizi Ahmad