Judul : Fitnah Anwar: Khairy diperintah bayar RM210,000
link : Fitnah Anwar: Khairy diperintah bayar RM210,000
Fitnah Anwar: Khairy diperintah bayar RM210,000
KUALA LUMPUR, 29 Sept — Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan saman yang difailkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin atas dakwaan mengeluarkan perkataan berbaur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai, pada 2008.
Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas mendapati Khairy selaku defendan dalam kes saman berkenaan telah memfitnah Anwar selaku plaintif dan perkataan fitnah yang diucapkan oleh Khairy adalah serius kerana ia membabitkan ahli politik yang dikenali ramai.
“Kenyataan itu juga dibuat pada majlis umum dan ia diterbit dan disebarkan kepada orang ramai,” katanya yang turut memerintahkan Khairy membayar ganti rugi am sebanyak RM150,000 kepada Anwar.
Mahkamah juga memerintahkan Khairy membayar kos RM60,000 terhadap Anwar.
Bagaimanapun, hakim itu menolak tuntutan Anwar bagi mendapatkan ganti rugi teruk selepas mendapati tiada elemen berniat jahat dalam ucapan Khairy.
Mahkamah juga menolak permohonan Khairy bagi meminda pernyataan pembelaannya dalam saman itu dengan memasukkan elemen bahawa kenyataannya merupakan suatu komen berpatutan.
Perbicaraan kes saman fitnah itu telah selesai selepas 12 saksi memberi keterangan bermula pada 19 Sept 2016. Bagaimanapun, Khairy selepas itu menfailkan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaannya.
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebarkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.
Anwar mendakwa klip video itu mengandungi sebahagian ucapan yang dikatakan berbaur fitnah diucapkan Khairy dalam satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Feb 2008.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan, Isnin ini. — Bernama
Sumber Fitnah Anwar: Khairy diperintah bayar RM210,000