Judul : Pengamal perubatan Islam perlu tanam sifat 'Muslim First' - Raja Perlis
link : Pengamal perubatan Islam perlu tanam sifat 'Muslim First' - Raja Perlis
Pengamal perubatan Islam perlu tanam sifat 'Muslim First' - Raja Perlis
RAJA PERLIS Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah pengamal perubatan Islam hendaklah memastikan kaedah rawatan mereka benar-benar berlandaskan Islam atau sunnah sebelum mendakwa ia kaedah rawatan perubatan Islam.Dalam hubungan itu, baginda bertitah pengamal perubatan perlu meletakkan diri mereka sebagai 'Muslim First' dan barulah sebagai doktor atau pengamal perubatan Islam supaya nilai-nilai soleh mengikut ajaran Islam mudah tersebar dan menarik orang lain untuk menghayatinya.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian pada persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) ke-19 bagi 2017 di sini, pada Sabtu.
Baginda bertitah penganjuran persidangan itu dapat memartabatkan ketinggian ilmu dan pembuktian mengikut kaedah Islam dalam setiap urusan kehidupan orang Islam."Kajian mendalam untuk mengubati sesuatu penyakit akan membuatkan pengamal perubatan perlu menghayati dan bersyukur kejadian manusia dan sunnah alam yang mendorong kita meletakkan harapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam urusan penyembuhan," titah baginda.
Baginda bertitah masyarakat juga perlu menyelidik dan mengambil tindakan 'tabayyun' atau mencari kebenaran sehingga jelas sesuatu kaedah rawatan yang didakwa berlandaskan Islam atau sunnah Rasullullah SAW, benar atau sebaliknya.
Tuanku Syed Sirajuddin juga menyentuh berkenaan pengiklanan dan penjualan melalui siaran berbayar seperti produk-produk makanan kesihatan, ubatan dan kosmetik yang tidak berdaftar tetapi mendakwa mampu menyembuhkan bermacam penyakit.
"Dalam hal ini stesen televisyen dan radio bertanggungjawab membuat semakan dengan Kementerian Kesihatan terlebih dahulu demi melindungi kepentingan dan keselamatan masyarakat umum," titah baginda.
Persidangan tersebut yang bermula Jumaat sehingga Ahad, dianjurkan IMAM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Perlis dan Jabatan Mufti Perlis.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Hamdan Bahari dan Presiden IMAM Dr Jeffrey Abu Hassan turut hadir pada majlis tersebut.
-- BERNAMA
Sumber Pengamal perubatan Islam perlu tanam sifat 'Muslim First' - Raja Perlis