Judul : Kenapa biar negara jadi makin ekstrem — Raja Kamarul Bahrin
link : Kenapa biar negara jadi makin ekstrem — Raja Kamarul Bahrin
Kenapa biar negara jadi makin ekstrem — Raja Kamarul Bahrin
29 SEPTEMBER — Penahanan pensyarah terkenal antarabangsa Mustafa Akyol, seorang warga Turki, di lapangan terbang antarabangsa KLIA menggemparkan dan memalukan Malaysia sekali lagi. Tiada banyak berita yang positif dan baik dari Malaysia kebelakangan ini.
Hanya campur tangan bekas perdana menteri Turki Abdullah Gul dan beberapa orang kenamaan dari kalangan istana telah dapat membebaskan beliau untuk berlepas ke Amerika Syarikat di mana beliau adalah seorang pensyarah di Universiti Denver dan pernah juga memberi syarahan di Universiti Oxford.
Beliau tidak pernah ditahan di mana-mana negara sebelum ini dan berpendapat hanya sebuah negara yang ultrakonservatif di benua Arab dijangka boleh bertindak sedemikian rupa, tetapi tidak dijangka boleh berlaku di Malaysia.
Apa telah terjadi kepada Malaysia, negara yang kita pernah kenal penuh dengan toleransi dan pemimpin yang bijaksana terdahulu? Baru-baru ini isu kedai dobi untuk orang Islam sahaja, insiden penahanan seorang lelaki berseluar pendek diambil tindakan dan sekarang seorang pensyarah yang dijemput oleh badan bukan kerajaan Islamic Renaissance Front (IRF) pula ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Soalannya bukan hanya orang persendirian yang melakukan perkara ini tetapi pihak kerajaan di pihak tertinggi juga menjadi pencetus perbuatan ekstrem seperti ini.
Seorang mufti dari Pahang telah menyatakan secara terbuka bahawa ahli parti DAP adalah dari golongan kafir harbi dan boleh diperangi. Ada juga guru agama tertentu secara terbuka menghukum sesama Islam halal darah, di mana mereka ini boleh dihapuskan. Kerajaan berdiam diri tanpa tindakan.
Sebenarnya para ekstremis agama telah berada di kalangan kita dan tidak perlu kita menunggu kemasukan IS (ISIS atau Daesh) untuk membawa masuk budaya takfiri ke dalam negara kita. Kenapa kerajaan mengambil sikap terus berdiam diri?
Kalau kerajaan boleh menangkap mereka yang dituduh kononnya "liberal", kenapa tiada tindakan langsung ke atas mereka yang mengeluarkan kenyataan melampau dan ekstrem seperti tuduhan kafir harbi serta halal darah? Tidak ada kenyataan langsung yang dibuat.
Bukankah kenyataan ekstrem ini lebih berbahaya kerana melibatkan keselamatan nyawa mereka yang dituduh? Nampak gayanya apabila kenyataan ditujukan kepada pihak yang kurang mesra kerajaan dibuat, tidak ada tindakan diambil walaupun betapa bahayanya kepada nyawa yang dituduh.
Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman baru-baru ini telah menyatakan badan Global Movements of Moderates, yang telah ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk mengutamakan konsep sikap kesederhanaan, akan dihantar ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk bercakap tentang sikap antiekstremis dan mengajar nilai kesederhanaan.
Mengapakah kerajaan membenarkan sikap yang ekstrem dan takfiri terus wujud di negara sendiri tetapi menampilkan imej kesederhanaan di peringkat antarabangsa? Ini lebih ketara dengan hampirnya tarikh pilihan raya umum ke-14. Rakyat Malaysia amat keliru dan kecewa, sementara masyarakat antarabangsa memandang sikap kerajaan banyak percangahan.
Sudah sampai masanya Malaysia kembali kepada dasar sikap penuh kesederhanaan dan toleransi yang pernah dihormati dunia dahulu. Sikap kerajaan hari ini mengundang golongan ekstrem tempatan berkembang dan menambah pengaruh mereka. Pertumbuhan pihak ekstrim tempatan ini jauh lebih berbahaya daripada kemasukan pelampau agama seperti IS dari luar. Anak serta cucu kita mungkin akan menjadi mangsa golongan ini.
Islam mengajar kesederhanaan serta toleransi dalam berdakwah dan inilah yang membuat Malaysia pernah dihormati dan dicontohi oleh negara lain sebelum ini. Apa telah terjadi kepada negara Malaysia yang pernah kita kenali dan berbangga suatu masa dahulu?
* Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad, seorang pemimpin kanan Parti Amanah Negara Terengganu, adalah ahli parlimen Kuala Terengganu.
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.
Sumber Kenapa biar negara jadi makin ekstrem — Raja Kamarul Bahrin