Judul : Jangan sembunyi punca kematian, pinta kakak anggota TLDM
link : Jangan sembunyi punca kematian, pinta kakak anggota TLDM
Jangan sembunyi punca kematian, pinta kakak anggota TLDM
KOTA BARU, 30 Sept — Keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat mahu supaya kes kematiannya disiasat dengan rapi oleh pihak berkuasa.
Kakak Allahyarham, Nik Norliliwati, 44, yang reda dengan kejadian itu, mahu supaya penjelasan lebih terperinci diberikan kepada keluarganya.
“Sebagai umat Islam, kita menerima kematian itu dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah SWT, bagaimanapun kami sekeluarga mahu pihak berkuasa menjelaskan lebih terperinci punca kematiannya.
“Jika boleh jangan menyembunyikan apa-apa daripada keluarga kami,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh, di sini, hari ini.
Nik Norliliwati berkata keluarganya mengetahui kematian adiknya yang berusia 28 tahun itu pada 6 petang semalam.
Beliau berkata kali terakhir adiknya itu berjumpa dengannya adalah pada Hari Raya Aidiladha lepas dan ada menyatakan hasrat mahu berhenti daripada perkhidmatan kerana menganggap badannya yang semakin berisi tidak lagi sesuai dengan kerjaya sebagai anggota TLDM.
“Saya menasihatkannya supaya bersabar kerana sudah berkhidmat lebih kurang 10 tahun dan beliau akhirnya akur.
“Selepas itu saya diberitahu beliau membatalkan hasrat itu selepas berjaya mengurangkan berat badan hasil dorongan seorang pegawainya, “ katanya.
Beliau berkata selain arwah adiknya itu, lima abangnya turut berkhidmat sebagai anggota tentera dan seorang anggota bomba.
Polis setakat ini mengklasifikasikan kematian dua anggota TLDM di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Perak, semalam sebagai mati mengejut.
LK 1 PNK Nik Muhammad Baihaqy, 28, dan LK I TLS Muhammad Lailatuiman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia semasa ditahan di pusat tahanan itu. — Bernama
Sumber Jangan sembunyi punca kematian, pinta kakak anggota TLDM