Judul : Jurugambar terima ancaman bunuh, selepas jadi sasaran catatan palsu
link : Jurugambar terima ancaman bunuh, selepas jadi sasaran catatan palsu
Jurugambar terima ancaman bunuh, selepas jadi sasaran catatan palsu
Catatan palsu Facebook itu antara lain mendakwa warga Singapura menolak wanita Melayu sebagai presiden republik berkenaan, dan orang Melayu yang dilabel sebagai lanun perlu disingkirkan dari Malaysia dan Singapura.
PETALING JAYA: Seorang jurugambar, Keow Wee Loong mendakwa keluarganya mendapat ancaman bunuh daripada individu tidak dikenali, susulan catatan palsu di Facebook mengenai warga Singapura menolak wanita Melayu menjadi presiden mereka.
Selain dirinya, beliau ketika dihubungi FMT berkata, isterinya turut menjadi sasaran ancaman pihak tidak dikenali.
Atas faktor keselamatan, Keow membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields malam tadi.
“Tujuan saya membuat laporan polis kerana ia melibatkan 2 negara, antara Malaysia dan Singapura,” katanya sambil menambah beliau mula menyedari nama dan gambarnya disalahgunakan pihak tertentu untuk memuat naik catatan palsu itu di Facebook, semalam.
Catatan palsu itu antara lain mendakwa warga Singapura menolak wanita Melayu sebagai presiden republik berkenaan, dan orang Melayu yang dilabel sebagai lanun perlu disingkirkan dari Malaysia dan Singapura.
“Seorang kenalan saya maklumkan petikan Facebook palsu yang menggunakan nama dan gambar-gambar saya mula tersebar di aplikasi WhatsApp di Singapura,” kata ketika dihubungi FMT.
Susulan itu, beliau dikecam orang Melayu Singapura dan Malaysia.
Keow mendakwa tentera siber parti politik memburukkan keadaan dengan mengambil kesempatan daripada penyebaran catatan palsu itu.
“Mereka spam Facebook saya dengan perkataan perkauman dan menarik pengguna laman media sosial menyerang saya.
“Walaupun saya sudah buat penjelasan, masih ada orang menyerang saya di Facebook,” katanya.
Keow memohon maaf kepada rakyat Singapura kerana catatan palsu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab itu menyentuh isu dalaman republik berkenaan.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Jurugambar terima ancaman bunuh, selepas jadi sasaran catatan palsu