Judul : 5 beradik tunai wasiat teruskan legasi sate kajang Hj Samuri
link : 5 beradik tunai wasiat teruskan legasi sate kajang Hj Samuri
5 beradik tunai wasiat teruskan legasi sate kajang Hj Samuri
Pengasas Sate Kajang Hj Samuri Datuk Samuri Juraimi meninggal dunia di kediamannya di Sungai Ramal Dalam, Kajang dekat sini, 12.05 tengah malam tadi.
Samuri, 73, meninggal dunia akibat kanser hati tahap empat yang dikesan sejak awal tahun ini.
Anak ketiga Allahyarham, Nor Ilyana, 37, berkata penyakit tersebut dikesan selepas bapanya membuat pemeriksaan kesihatan setelah mengadu sakit pada bahagian perut.
“Allahyarham sebelum ini pernah membuat pembedahan jantung dan berjaya, namun awal tahun ini ketika beliau membuat pemeriksaan susulan dengan menjalankan CT Tap Scan (Computed Tomography of Thorax, Abdomen and Pelvis) baharu kami tahu Allahyarham menghidap kanser hati.
“Allahyarham baharu sahaja keluar dari hospital lima hari lepas untuk berehat di rumah namun tengah malam tadi, Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau pergi dalam keadaan tenang dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam kira-kira 8 pagi tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam pada 9 pagi tadi.
Nor Ilyana berkata beliau sekeluarga akan meneruskan legasi perniagaan sate yang bermula sejak 1992 seperti yang diwasiatkan bapanya.
“Sebelum ini memang kami lima beradik sudah melibatkan diri dalam perniagaan sate ini, jadi kami akan meneruskan perniagaan ini seperti biasa,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Jani Mohamad Amir dan lima anak iaitu Norsham, Sofian, Nor Ilyana, Shafeq dan Nurul Aqilah.
Sehingga kini perusahaan Sate Kajang Hj Samuri mempunyai 20 cawangan di seluruh negara dengan lebih 500 pekerja. — Bernama
Sumber: Malay Mail
Sumber 5 beradik tunai wasiat teruskan legasi sate kajang Hj Samuri