Judul : “2 kali Uber cancel application saya gara-gara tidak mahu ke tanah perkuburan”
link : “2 kali Uber cancel application saya gara-gara tidak mahu ke tanah perkuburan”
“2 kali Uber cancel application saya gara-gara tidak mahu ke tanah perkuburan”
Kasihan wanita ini, dua kali tempahannya untuk ke destinasi yang dituju, ditolak mentah-mentah pemandu sebuah perkhidmatan e-hailing baru-baru ini.
Dipercayai selepas kira-kira dua jam berurusan, barulah tempahan ketiga diterima pemandu Grab untuk menghantarnya ke destinasi iaitu tanah perkuburan Islam.
“Alhamdulillah, thank you to Grab Car Encik Azmi dari Cheras, sehingga selesai kerana banyak membantu pagi ini dua kali Uber cancel application saya gara-gara tidak mahu ke tanah perkuburan,” kata pemilik Facebook bernama Shafariza Ariffin, yang dikongsikan seorang pemandu Uber, Mohd Razif Md Talib, rakan kepada Azmi Yusof di Facebook Grab & Uber Community Malaysia pada Jumaat lalu.
Pemilik Facebook tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi mStar Online.
Azmi yang merupakan pemandu Grab terbabit berkata, pada mulanya wanita berkenaan menghubungi dua pemandu apabila membuat tempahan menerusi aplikasi perkhidmatan tersebut memandangkan pemandu syarikat terbabit tidak mengetahui destinasi yang dituju pelanggan lebih awal.
Walaupun tempahan dibuat pada waktu siang, katanya, dua pemandu terbabit tetap menolaknya kerana dipercayai mereka dihantui kisah-kisah seram yang dialami pemandu-pemandu Uber dan Grab sebelum ini setiap kali menghantar pelanggan ke tanah perkuburan.
“Memang ada banyak kisah-kisah seram yang dialami pemandu Uber dan Grab, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia benar-benar berlaku atau rekaan semata-mata.
“Mungkin juga disebabkan pengalaman segelintir pemandu yang pernah terkena tempahan palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu menganiaya mereka dengan membuat tempahan ke kubur tapi sebenarnya tiada pun penumpang yang ditunggu,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Azmi yang telah berkhidmat sebagai pemandu Grab separuh masa sejak setahun lalu berkata, ia bukan pertama kali dia mendapat tempahan untuk menghantar pelanggan ke kawasan tanah perkuburan.
“Dah kira-kira lima kali, bukan sahaja hantar ke kubur, malah ada juga yang minta saya hantar ke rumahnya betul-betul di sebelah kubur pada waktu malam. Alhamdulillah, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Dan Alhamdulillah kerana saya dapat penuhi hasrat pelanggan ini yang mahu menziarah kubur arwah ibu bapanya di Batu 9, Cheras dan Alam Damai sebelum 1 Ramadan berikutan kekangan masanya yang sibuk bertugas dengan syarikat penerbangan,” ujar Azmi lagi.
Ditanya tidakkah dia berasa takut untuk menghantar pelanggan ke kubur, Azmi memberitahu, apa yang penting baginya jangan sesekali menolak rezeki kerana menjadi pemandu Grab itu adalah sebahagian daripada sumber pendapatannya.
Katanya, apa yang lebih dibimbangi bukannya kisah seram pengalaman pemandu lain tetapi keselamatan kerana ia mungkin taktik samun atau rompak.
“Saya percaya rezeki ada di mana-mana meskipun kena hantar pelanggan ke kubur tak kira siang atau malam. Lagipun, di sana nanti pun kita semua akan ke sana juga (meninggal dunia), jadi kenapa perlu takut,” katanya.
Bagaimanapun kata Azmi, dia akan menghubungi pelanggan terlebih dahulu sekiranya mendapat ‘tempahan ke kubur’ bagi mendapatkan kesahihan.
“Jika pelanggan tidak dapat dihubungi, termasuk tiada butiran jelas berkaitan dengan pelanggan di aplikasi, saya akan mendapatkan nasihat daripada khidmat bantuan Grab Centre sebelum saya membatalkan tempahan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini pelbagai kisah pemandu Uber dan Grab yang menerima tempahan palsu untuk ke tanah perkuburan menjadi tular, termasuk pengalaman mereka yang berdepan situasi seram membabitkan destinasi berkenaan.
Sumber: MStar
Sumber “2 kali Uber cancel application saya gara-gara tidak mahu ke tanah perkuburan”