Judul : Isu penceraian, Serina buka mulut: “Hidup perlu diteruskan”
link : Isu penceraian, Serina buka mulut: “Hidup perlu diteruskan”
Isu penceraian, Serina buka mulut: “Hidup perlu diteruskan”
TIDAK ada walau segaris duka pun di wajah manis Serina Redzuawan. Pelakon yang dikenali sejak berbelas-belas tahun lalu masih sama sifat luarannya, penuh ceria dan bibirnya petah berbicara bercerita pelbagai perkara mengenai perjalanan hidupnya.
Ada cerita yang boleh dipaparkan dan selebihnya, dengan rasa hormat Serina meminta untuk tidak disiarkan.
Kata pelakon berusia 34 tahun ini, dalam apa keadaan sekali pun, dia masih perlu menghormati individu yang satu ketika dahulu pernah menginap di ruang hatinya.
Kemelut hidup Serina kini tidak mudah. Perkahwinan yang dibina dengan seorang jejaka Inggeris. Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar pada 2010 menemui titik noktah apabila Serina sendiri memfailkan cerai dengan alasan tidak wujud lagi persefahaman dalam pelayaran rumah tangga mereka.
Dikurniakan dua cahaya mata comel, Tristan Tareef, 6, dan Isabella Saffiya, 5, Serina nekad membuat keputusan tersebut selepas dirasakan sudah tidak bertemu lagi jalan untuk mereka berdamai.
Namun berakhirnya perkahwinan antara mereka bukan bermakna berakhirnya satu kehidupan yang masih lagi jauh perjalanannya. Benar, tidak ada seorang isteri pun yang mahu melihat kehancuran rumah tangga sendiri, Serina menerima semua ketetapan Yang Esa dengan hati dan minda terbuka.
Semua rencana perjalanan hidupnya yang masih muda, Serina melihat dalam perspektif yang luas, positif dan pastinya dia tahu ada hikmah yang tersembunyi.
“Saya reda dengan takdir yang telah tertulis dalam hidup saya, bergelar ibu tunggal pada usia yang muda. Tapi saya tak mahu dilihat lemah dan mengharapkan simpati orang ramai.
“Orang yang senasib dengan saya perlu teruskan hidup mencari rezeki demi anak-anak dan hidup sendiri. Jangan menangis atau mengeluh, bangun dan bangkitlah melawan segala-gala dugaan dan kesusahan.
“Betul, ada masanya memang sukar untuk menguruskan anak-anak seorang diri tetapi ayah mereka tidak melepaskan tanggungjawab terhadap keperluan anak-anak terutama dalam soal pelajaran.
“Cuma saya sebagai ibu yang menjaga mereka sepenuh masa, berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi semua keperluan, kehendak dan kegembiraan Tristan dan Isabella agar mereka tidak rasa berkurang sedikit pun,” kata Serina kepada Mega HITS.
Justeru, dalam kesibukan menjaga keperluan anak-anak, sejak dua tahun lalu juga Serina dilihat sangat aktif dalam pelbagai perniagaan sehingga mencetuskan tanda tanya di hati peminat seni.
Kenapa Serina bermati-matian membuat pelbagai pekerjaan, berniaga kuetiau, menjual pelbagai produk, berlakon, mengacara, menjadi duta dan jurucakap di merata tempat?
Katanya mudah, demi kelangsungan hidup dalam situasi yang dihadapinya ketika ini, istilah malas dan meminta simpati tidak ada dalam hidupnya. Sementelah dari usia remaja lagi, dia berusaha menanggung sendiri hidupnya biarpun si ayah mampu menyediakan segala-galanya.
Sambut raya di Sungai Koyan
Mengenai kehadiran Aidilfitri pula, dia membawa anak-anaknya pulang ke kampung di Sungai Koyan, Raub, Pahang.
“Sudah menjadi tradisi untuk kami menyambut raya di kampung nenek. Lagipun saya seronok membawa pulang anak-anak ke kampung agar mereka kenal budaya Melayu dan bergaul dengan saudara mara.
“Anak-anak saya ini lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi saya memang mengajar mereka bercakap Melayu agar dapat bercakap dengan fasih. Saya mahu mereka menjalani hidup yang seimbang dari segi budaya, pemikiran, ilmu dunia dan akhirat,” kata Serina mengakhiri perbualan.
Setiap wanita perlu kuat, jangan mengalah
Enggan menoleh kepada perjalanan berliku yang dilaluinya, Serina tidak mahu berlama-lama bersedih atau meratapi nasib yang menimpa.
“Untuk apa terlalu berduka pada satu keadaan yang kita sendiri sulit untuk mengawalnya. Soal jodoh bermula dan kemudiannya berakhir bukan pada tangan kita. Bukan kita yang menentukannya.
“Sekuat mana pun kita cuba bertahan atau berselindung daripada semua, akhirnya akan terdedah juga. Saya tidak menyesal kepada ikatan yang gagal kerana saya berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkannya tapi andai ini yang sudah tertulis maka saya terima segala-galanya.
“Saya dan Gavin pun masih berhubung dengan baik kerana kami punya anak-anak. Saya sendiri tidak mahu bergaduh dan bermasam muka kerana dalam apa situasi pun, dia adalah ayah kepada anak-anak saya.
“Dia menjaga keperluan dan kehendak anak-anak dengan sempurna cuma takdir menentukan yang jodoh kami tidak panjang,” katanya dengan tenang.
Namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk kembali berdiri dan berdepan dengan dunia dalam aura yang jauh lebih positif dari sebelumnya.
“Setiap wanita yang mengalami nasib yang sama seperti saya harus kuat. Jangan mudah mengalah. Ingat satu perkara iaitu kita ada amanah Allah SWT untuk dijaga. Jangan sesekali sia-siakan masa hadapan mereka hanya kerana kita menangisi hidup sendiri.
“Selepas yang terjadi ini, saya berjanji kepada diri sendiri yang saya akan memberi sepenuh kasih sayang, ilmu dunia dan akhirat kepada dua buah hati ini.
“Saya pasrah kalau takdir sudah menentukan saya bergelar ibu tunggal. Alhamdulilah, papa dan mama, sahabat dan para peminat sentiasa ada memberi sokongan,” katanya lagi.
Apa sahaja kerja asalkan halal
Kata Serina, bagi yang mengenali dirinya sejak dahulu, pasti tahu bagaimana dia bekerja dan mencari rezeki walaupun mampu hidup mewah bawah tanggungan bapanya, cef terkenal, Datuk Cef Wan.
“Tapi saya bukanlah orang yang begitu. Sejak muda dan masih bujang, saya mencari duit sendiri. Benar papa boleh bantu dan sentiasa ada ketika saya memerlukan tapi saya tidak mahu terus-terusan begitu.
“Selagi ada kudrat dan kemampuan, saya akan mengumpul segenap tenaga untuk menjaga keluarga kecil saya ini dengan pelbagai cabang pekerjaan asalkan halal.
“Mujur saya membina nama dalam dunia seni. Jadi peluang untuk saya mencari rezeki dalam bidang ini masih luas dan orang masih kenal saya.
“Saya tak kisah orang nak kata apa, semua kerja saya nak buat. Berlakon, mengacara, berniaga makanan, jual biskut, buat penghantaran masakan dari rumah, jadi duta kepada produk, jual pelbagai jenis produk dan macam-macam lagi, saya tak malu nak buat.
“Sebab itu orang tengok saya kerja tak berhenti. Alhamdulillah, Allah beri rezeki yang luas kepada saya sebab saya tak malu mencari rezeki.
“Yang penting halal untuk diberi makan kepada kepada anak-anak saya,” kata Serina.
Justeru bagi melancarkan perjalanan perniagaan berasaskan makanan, Serina menubuhkan syarikat Serina’s Simply Delicious yang menjual pelbagai jenis biskut raya seperti tat nanas, biskut makmur, badam, cakar ayam, semperit dan kuih kapit.
“Saya pun buat tempahan menu berbuka puasa dan bersahur yang dimasak sendiri. Kemudian saya hantar sendiri kepada pelanggan sebab mereka mahu berjumpa saya.
“Ilmu memasak ini saya warisi daripada mama dan papa.
“Alhamdulillah dalam keadaan sekarang, semua ilmu yang dibekalkan mereka saya gunakan sebaik mungkin.
“Tak lama lagi, saya akan mengeluarkan ais krim gelato durian D24 pula,” kata Serina yang juga menjadi duta kepada produk penjagaan kesihatan AHB-Asia Herbal dan kopi jenama Karisma.
Tambahnya, bagi sesiapa yang berminat dalam mendapatkan produk-produk keluarannya, boleh sahaja menghubungi nombor 012-3178949 atau mengunjungi gerai jualan biskutnya di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.
Sumber: Utusan Online
Sumber Isu penceraian, Serina buka mulut: “Hidup perlu diteruskan”