Judul : Julius Caesar Diculik Oleh Lanun Cilicia
link : Julius Caesar Diculik Oleh Lanun Cilicia
Julius Caesar Diculik Oleh Lanun Cilicia
Pada abad pertama Masihi, wilayah Anatolia selatan yang dikenali sebagai Cilicia Trachea dipenuhi dengan penyamun-penyamun laut. Aktiviti perlanunan mereka menimbulkan kegerunan dalam kalangan orang-orang Rom. Antara aktiviti mereka yang paling mendapat perhatian sejarah adalah penangkapan yang dilakukan ke atas Julius Caesar pada tahun 75 Masihi. Julius Caesar yang pada ketika itu berusia 25 tahun sedang dalam perjalanan menuju Pulau Rhodes untuk mempelajari seni berpidato. Ketika kapalnya berada di atas perairan Laut Aegean, beliau ditangkap oleh sekumpulan lanun.
Parralel Lives tulisan Plutarch mengisahkan detik-detik penahanan Julius Caesar yang memeningkan kepala lanun-lanun Cilicia itu. Beliau ditahan di Pulau Pharmacusa yang terletak di barat laut Anatolia. Sejak awal lagi Julius Caesar enggan bersikap seperti orang tahanan. Dalam satu keadaan, lanun Cilicia menyatakan bahawa mereka meletakkan nilai tebusannya sebanyak 20 talents. Kenyataan tersebut disambut dengan gelak-tawa Julius Caesar yang mencadangkan 50 talent sebagai amaun yang lebih sesuai. Hal ini membuatkan para lanun kehairanan kerana jarang sekali tawanan menaikkan nilai tebusan dirinya sendiri, kerana seolah-olah tawanan tersebut enggan ditebus dan dilepaskan.
Sepanjang berada dalam tahanan, Julius Caesar bersikap seperti berada di rumahnya sendiri. Beliau sering mengarah-arahkan mereka dan menyuruh mereka untuk diam apabila beliau mahu masuk tidur. Beliau juga menyuruh mereka mendengar ucapan dan puisi yang beliau karang. Di samping itu, beliau juga ikut serta dalam permainan dan latihan para lanun. Namun, beliau sering mengambil bersikap seperti ketua yang memimpin mereka atau apa yang kita sebutkan pada hari ini sebagai bossy.
Sepanjang dalam penahanan itu, Julius Caesar berkali-kali berujar bahawa beliau akan menyalib lanun-lanun itu semua. Ancaman yang dianggap sebagai gurauan oleh para lanun itu ternyata benar-benar berlaku. Selepas 38 hari berada dalam tahanan, Julius Caesar pun dibebaskan selepas para lanun menerima wang tebusan yang diminta.
Sebaik sahaja dibebaskan, beliau dengan segera menyiapkan sebuah angkatan laut dan melakukan kejaran. Tindakan pantas ini berjaya menemukan para lanun tersebut di Pulau Pharmacusa yang sama tempat Julius Caesar ditahan. Kesemua lanun itu pun ditangkap dan diarahkan untuk dihumban ke dalam penjara. Apabila melihat pegawainya bersikap teragak-agak untuk mengenakan hukuman, Julius Caesar sendiri pergi ke penjara dan menyalib kesemua lanun itu. Pada abad-abad kemudian, Rom membentuk armada yang cukup ampuh untuk menghapuskan para lanun.