Judul : Meet The Robinsons (2007): Keep Moving Forward
link : Meet The Robinsons (2007): Keep Moving Forward
Meet The Robinsons (2007): Keep Moving Forward
Disclaimer: Artikel ini mengandungi spoiler.
Artikel ini ditulis khas buat pembaca yang pernah gagal, yang berada di ambang kegagalan mahupun yang belum pernah gagal namun takutkan sebuah kegagalan. Artikel ini juga buat mereka yang terperangkap dan sering terkenang masa lalu sekali gus menghalang diri maju ke hadapan.
Meet The Robinsons merupakan sebuah filem animasi keluaran Disney yang ditayangkan pada tahun 2007. Bagi penulis, filem yang berkisarkan tentang masa hadapan ini, merupakan salah satu filem animasi Disney yang dikira under-rated. Mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan menerusi filem ini adalah amat penting namun sering kita terlepas pandang, khas buat penonton kanak-kanak mahupun dewasa.
Secara ringkas, filem ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki yatim piatu bernama Lewis yang merupakan seorang inventor cilik. Lewis teringin berjumpa dengan ibunya, yang telah meningalkan dirinya yang masih bayi di pintu rumah jagaan anak yatim. Pengembaraannya melepasi garis masa bermula apabila didatangi seorang kanak-kanak lelaki yang cuba menyelamatkan masa depan, iaitu Wilbur. Pengembaraan tersebut mengajar Lewis tentang pentingnya melepaskan masa lalu yang sukar dan belajar untuk terus maju ke hadapan demi mencapai kebahagiaan dan kejayaan.
Rata-rata daripada pembaca pasti membesar dengan satu perasaan yang takutkan kegagalan. Perasaan di mana kegagalan itu dirasakan menutup segala macam kemungkinan, menjadikan segalanya gelap. Hal ini menyebabkan kebanyakan daripada kita sampai ke satu tahap di mana kita tidak mahu mencuba sesuatu yang dirasakan sukar dicapai, hanya kerana takutkan sebuah kegagalan. Mungkin bagi kita, gagal itu merupakan satu kebodohan. Mungkin sejak di bangku sekolah lagi kita dilatih untuk sentiasa betul dan mereka yang gagal dihukum dan dipandang enteng oleh guru-guru juga rakan-rakan. Mungkin kita melihat kegagalan menerusi kaca mata yang terlalu serius sehingga segala macam peluang yang wujud kabur dari penglihatan.
Kegagalan bukanlah salah satu syarat wajib bagi orang yang ingin berjaya. Namun begitu, jika ditanya pada mereka yang telah mencapai kejayaan, pastinya mereka akan berkata bahawa mereka berjaya setelah menemukan kegagalan, paling tidak pun sekali apatah lagi yang gagal berkali-kali. Antara figura-figura yang menemukan kegagalan dalam misi mencapai kejayaan adalah Stephen King, Bill Gates, Thomas Edison dan ramai lagi. Walt Disney sendiri juga pernah dibuang kerja dan diisytiharkan muflis sebelum beliau bangkit semula, namanya gah disebut-sebut dan animasinya meninggalkan kesan pada kanak-kanak mahupun orang dewasa di serata dunia.
“I think it’s important to have a good hard failure when you’re young… Because it makes you kind of aware of what can happen to you. Because of it I’ve never had any fear in my whole life when we’ve been near collapse and all of that. I’ve never been afraid.”
Bagi Disney, adalah penting bagi kita untuk mengetahui makna sebuah kegagalan sejak kecil kerana ia akan membantu meningkatkan daya tahan apabila meningkat dewasa. Apabila kita mengenal kegagalan pada usia muda, kita akan lebih berani dan kuat untuk berdepan dengan masa hadapan yang sememangnya akan lebih mencabar.
Pokok pangkalnya, gagal bukanlah kegagalan sebenar. Kegagalan sebenar adalah apabila kita langsung tidak cuba berusaha kerana takutkan kegagalan. Kejayaan adalah apabila kita mampu bangkit semula setelah gagal.
Menerusi filem Meet The Robinsons ini, Lewis merupakan seorang kanak-kanak yang gigih berusaha untuk memastikan inovasinya, iaitu sebuah mesin masa, berhasil. Namun begitu, apabila mesinnya gagal berfungsi, dia mula putus asa dan hilang keyakinan diri.
Malah, mesin PB & J (Peanut Butter & Jelly) yang diciptanya juga tidak berfungsi dengan betul sehingga menyebabkan sesi temu bual dengan bakal ibu bapa angkatnya tidak berakhir dengan baik. Namun begitu, Lewis berjumpa dengan keluarga Wilbur yang meraikan kegagalan dan membangkitkan semangatnya untuk terus berusaha.
Ahli keluarga Wilbur tidak melihat kegagalan sebagai satu limitasi, bahkan melihatnya sebagai peluang untuk memperbaiki diri dengan lebih baik. Dalm erti kata lain, motto hidup mereka, iaitu ‘keep moving forward’ sedikit sebanyak mengajak Lewis untuk turut sama maju ke hadapan walaupun setelah mengalami kegagalan.
Motto ‘keep moving forward’ itu juga membantu Lewis melupakan hasrat untuk berjumpa ibunya di masa silam, walaupun setelah berjaya mengembara ke masa lalu. Hal ini kerana, apapun yang terjadi pada masa lalu telah berlalu dan realitinya Lewis perlu bertanggungjawab meneruskan hidup demi kebahagiaan masa hadapannya sendiri. Mereka yang terperangkap di masa lalu akan kekal dan tidak berganjak, sedangkan realiti kehidupan berlalu laju meninggalkan mereka.
Konklusinya, filem Meet The Robinsons ini merupakan suatu peringatan yang baik dan mendalam bagi penonton, sekali gus filem yang perlu ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai anak kecil digalakkan menonton kerana filem ini memperlihatkan bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran hakiki. Justeru, ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak mencuba dalam pelbagai perkara dan memberi semangat yang sewajarnya apabila mereka gagal.
Guru-guru juga boleh menonton filem ini sekali gus mengajar anak didik agar kuat dan kembali bangkit berdiri teguh setelah jatuh di samping menyedarkan mereka agar tidak jemu berusaha sehingga berjaya. Anak-anak muda, terutamanya yang sedang berhempas-pulas dalam mencapai impian dan mencari kebahagiaan, perlu menonton filem ini sebagai satu pembakar semangat di mana dalam situasi apa pun kita berada, kita perlu tinggalkan kejahanaman serta kepahitan masa silam, berhenti mangasihani dan menyalahkan diri sendiri mahupun orang lain dan sentiasa bergerak terus ke hadapan.
Memetik kata-kata Walt Disney yang juga disertakan di pengakhiran filem,
“Around here, however, we don’t look backwards for very long. We keep moving forward, opening up new doors and doing new things, because we’re curious. And curiosity keeps leading us down new paths.”
Bacaan lanjut: