Judul : Perak kecundang di Larkin, JDT selesa di persada Liga
link : Perak kecundang di Larkin, JDT selesa di persada Liga
Perak kecundang di Larkin, JDT selesa di persada Liga
KUALA LUMPUR: Hasrat Perak untuk merapatkan mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak kesampaian apabila tunduk 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.Sebelum perlawanan berkenaan, pemain dan penonton bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan terhadap kemangkatan bonda Sultan Johor, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah.
Sebaik wisel pertama dibunyikan, skuad bimbingan Raul Marcos Loghi terus melancarkan serangan ke kubu Perak dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol seawal minit keempat menerusi import baharu JDT, Fernando Marquez yang tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama peribadinya.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi memburu gol namun JDT lebih berbisa apabila berjaya menggandakan jaringan menerusi Jorge Santos Silva pada minit ke-83 untuk memadamkan sisa-sisa perjuang skuad The Bos Gaurus.
Sementara itu, pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah Kuala Lumpur cemerlang mengutip tiga mata berharga apabila membenam Terengganu FC I 3-0.Gol skuad The City Boys disumbangkan oleh Zhafri Yahya pada hujung babak pertama, Guilherme De Paula Lucrecio (minit ke-46) dan Paulo Josue Sturmer memastikan kemenangan milik mereka selepas menyumbat gol ketiga pada minit ke-81.
Di Ipoh, Mohd Faisal Abdul Halim menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan (minit ke-93) untuk membantu Pahang mengalahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 2-1 di Stadium Perak.
Bagaimanapun, PKNP FC melakukan kejutan awal apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi pemain pertahanan dari Lativia, Ritus Krjauklis.
Tersentak dengan jaringan awal, Pahang hanya mampu bangkit pada babak kedua untuk mencipta kemenangan menerusi jaringan penyerang import dari Gambia, Mohamadou Sumareh pada minit ke-74 sebelum Mohd Faisal menghadiahkan tiga mata penuh.
Sementara itu, dalam perlawanan Liga Premier, Sabah diaibkan di hadapan penyokong sendiri apabila tewas 3-1 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas.
Jaringan UKM FC dilakukan oleh Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman pada minit pertama, Michael Chukwubunna Ijezie (minit ke-33) dan Sein Nam (minit ke-90+3) manakala jaringan pasukan tuan rumah disumbangkan oleh Hector Omar Ramos Lebron pada minit ke-14.
Di Stadium Shah Alam, Felcra FC dan Felda United terpaksa berkongsi mata apabila terikat 1-1 dengan jaringan pada babak kedua perlawanan.
Felda United membuka tirai jaringan Christie Jayaseelan pada minit ke-76 sebelum Anselmo de Silva menjadi penyelamat Felcra FC apabila berjaya menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian. -- Bernama
Sumber Perak kecundang di Larkin, JDT selesa di persada Liga