Judul : Gerakan 'biawak hidup' dalam BN - UMNO Perak
link : Gerakan 'biawak hidup' dalam BN - UMNO Perak
Gerakan 'biawak hidup' dalam BN - UMNO Perak
UMNO Perak menyifatkan tindakan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong mendesak supaya mesyuarat majlis tertinggi diadakan bagi memutuskan status UMNO dalam komponen Barisan Nasional (BN) sebagai biadap dan tidak mengenang budi.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata ia seharusnya diberikan perhatian serius memandangkan kejayaan Gerakan terutama dalam memenangi kerusi pilihan raya sebelum ini banyak dibantu oleh UMNO.
Beliau berkata, Andy seharusnya lebih bersopan dan melihat semula kepada kekuatan Gerakan yang diketahui kurang mendapat tempat dikalangan masyarakat terutama kaum Cina.
"Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendong oleh parti-parti lain terutamanya UMNO, dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa.
"Kemenangan calon-calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu oleh jentera pilihanraya UMNO dan pengundi Melayu yang menyokong BN, termasuklah semasa Presidennya Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Khusairi berkata Gerakan juga tidak memainkan peranan yang baik terutama dalam membantu UMNO dan parti lain dalam komponen BN memenangi kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Sebaliknya kemenangan calon-calon BN yang lain, terutamanya dari parti UMNO langsung tidak membabitkan bantuan berkesan dari Gerakan yang amat lemah jentera pilihanrayanya. "Oleh itu para pemimpin Gerakan terutamanya kepimpinan pemudanya tidak layak untuk membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir UMNO dari komponen itu," katanya.
Yong dalam satu kenyataan pada 12 Jun lalu menyifatkan, parti komponen BN tidak perlu meninggalkan gabungan itu sebaliknya satu mesyuarat khas perlu dibuat bagi mengkaji semula kedudukan UMNO yang dilihat terpalit dengan pelbagai isu termasuk politik wang.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu anggota UMNO negeri supaya terus memperkukuhkan parti itu agar ia menjadi satu alternatif untuk rakyat.
"Apapun tindakan yang diambil semestinya melalui muafakat antara kita. Tindakan tergopoh-gopoh akan merugikan kita," katanya.
Salleh berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha menentukan proses pemilihan parti yang berlangsung pada 30 Jun ini akan berjalan lancar.
"Berbeza pendirian politik bukannya satu kesalahan dan tidak semestinya bermusuh. Kita amalkan politik matang demi negara dan rakyat Malaysia tercinta," kata Salleh dalam catatan terbaru blog beliau hari ini.
Sementara itu, Salleh berkata UMNO Sabah menghormati keputusan empat parti di Sarawak yang keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN).
Katanya di Sabah masih ramai anggota dan penyokong parti yang masih setia dengan perjuangan UMNO dan tidak akan meninggalkan parti itu hanya kerana kegagalan membentuk kerajaan.
Semalam, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar daripada BN dan mewujudkan gabungan baharu, Gabungan Parti Sarawak (GPS).-13/6/2018
Sumber Gerakan 'biawak hidup' dalam BN - UMNO Perak