Judul : Jangan nak melampau sangat - Mohamad Hasan
link : Jangan nak melampau sangat - Mohamad Hasan
Jangan nak melampau sangat - Mohamad Hasan
SEREMBAN: Pihak tertentu diingatkan supaya tidak bertindak keterlaluan hingga berani menyentuh isu sensitif yang boleh menyinggung perasaan sesuatu kaum di negara ini.Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan diraih pada PRU14 tidak boleh dijadikan sebagai ‘tiket’ untuk berbuat sesuka hati.
“Betul (mereka) dah menang, tapi jangan melampau sangat. Kita mempunyai garis sempadan yang selama ni dihormati. Kita pun tak usik orang lain.
“Jadi jangan usik agama Islam dan jangan persoalkan status orang Melayu. Kalau terus diperkotak-katikkan, dikhuatiri akan timbul perasaan tak puas hati,” katanya.
Menurutnya, kenyataan dikeluarkan secara terbuka atau melalui media sosial perlu dibuat lebih berhati-hati untuk mengelakkan perkara yang akhirnya sukar untuk dibendung.“Banyak dah kita lihat dan baca, ada kenyataan yang sungguh biadab mempersoalkan status orang Melayu dan agama Islam di tanah air.
“Nanti kalau orang Melayu marah dan hilang sabar, kita akan berada dalam keadaan yang susah nak dibayangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran Perdana anjuran Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti NS) di bangunan NSWO, di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) dilaporkan menuntut kemasukan pelajar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka bagi semua kaum.
Selain itu, kerajaan melalui sejumlah ilmuwan dan cendekiawan Islam akan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang atau dikembalikan kepada tujuan asal penubuhannya.
Sumber Jangan nak melampau sangat - Mohamad Hasan