Judul : `Tuah hantar rakaman video hantar saat-saat akhir'
link : `Tuah hantar rakaman video hantar saat-saat akhir'
`Tuah hantar rakaman video hantar saat-saat akhir'

pix dan video Farizul Hafiz Awang sent dalam sistem
KUANTAN: "Saya hantar video rakaman beberapa jam sebelum tempoh penyertaan ditutup.
"Cuma saya buat kelainan sedikit dengan menyelitkan elemen kreativiti dalam penyampaian video berkenaan mungkin menjadi tuah bagi diri saya," kata Noorjahan Sultan, pemenang Anugerah Pearson Anugerah Pearson ELT Teacher, kategori Asia dan Ocenia 2018 menewaskan 38 calon lain.
Program itu termasuk empat kategori lain iaitu, Afrika dan Asia Barat; Eropah dan Asia Tengah; Utara dan Amerika Tengah serta Amerika Selatan.
Pengasas modul bacaan berirama mudah untuk murid prasekolah belajar Bahasa Inggeris 'Let Rhyme' itu berkata, beliau menghantar penyertaannya beberapa jam sebelum tarikh penyertaan ditutup tepat jam 12 tengah malam 31 Disember lalu.
Anak jati Galing, Kuantan berusia 47 tahun itu bersyukur dan tidak menyangka dipilih memenangi anugerah itu yang turut disertai ribuan warga pendidik dari seluruh dunia.
Ibu kepada tiga anak yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan di Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang, berkata beliau perlu menjawab dua soalan yang diberikan penganjur dalam bentuk video yang dirakam sebelum dihantar menerusi emel.
"Video yang saya hasilkan memang sangat biasa jika hendak dibandingkan dengan yang dihantar tenaga pengajar lain, cuma saya buat kreativiti dalam penyampaian sebelum menjawab soalan yang dikemukakan.
"Memang tidak sangka saya akan dipilih selaku pemenang kerana ribuan video penyertaan dihantar kepada penganjur yang masing-masing memberikan jawapan mengenai soal pendidikan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Noorjahan berkata, pencapaiannya menjadi anak Malaysia pertama memenangi anugerah itu turut ditujukan kepada warga pendidik seluruh negara sekali gus mampu mencetus semangat untuk terus komited mempelbagai dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran kepada murid dan pelajar masing-masing mengikut gaya tersendiri.
"Malah, modul Let's Rhyme yang diperkenalkannya sejak 10 tahun lalu kini turut digunapakai di sebuah institusi pendidikan di Brunei yang mana ia menekankan pembelajaran Bahasa Inggeris secara mendidik dan berhibur," katanya.
Beliau yang berpengalaman selama 23 tahun dalam bidang pendidikan adalah pelopor bagi modul pembelajaran Bahasa Inggeris 'Let's Rhyme' yang berjaya memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Antara pencapaian lain yang pernah dirangkul ialah Ikon Guru Kebangsaan 2016 dan pernah menjadi finalis Anugerah Guru Global 2016 selain beberapa pengiktirafan antarabangsa.
Sejak dimuat naik penganjur di laman sesawang Youtube kira-kira dua minggu lalu, video rakaman itu sudah ditonton lebih 8,000 tontonan dan video berdurasi dua minit itu turut dijadikan promosi kepada pertandingan berkenaan oleh penganjur.
"Selepas memenangi pertandingan ini saya akan ditaja untuk ke Brighton, United Kingdom bagi menghadiri persidangan Organisasi Kebangsaan Guru Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (IATEFL) dan Pengajaran Bahasa Inggeris Kepada Penutur
Bahasa Lain (TESOL) pada 10 hingga 13 April ini.
Sumber `Tuah hantar rakaman video hantar saat-saat akhir'