Judul : Mangsa banjir pindah ke bukit, rumah rakit (VIDEO)
link : Mangsa banjir pindah ke bukit, rumah rakit (VIDEO)
Mangsa banjir pindah ke bukit, rumah rakit (VIDEO)
GUA MUSANG, 1 Dis — Seramai 50 orang daripada 11 keluarga di Kampung Limau Kasturi di sini, terpaksa menyelamatkan diri ke bukit di kampung itu sejak malam tadi berikutan air Sungai Galas naik mendadak ekoran hujan lebat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Limau Kasturi, Mohd Skoni Mat berkata penduduk terbabit berpindah ke bukit berkenaan pada pukul 8 malam tadi apabila persekitaran rumah mereka dinaiki air limpahan sungai berkenaan.
“Penduduk terbabit tidak sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 2 yang terletak agak jauh dari kampung itu kerana laluan terputus akibat banjir,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata terdapat penduduk yang berpindah ke rumah rakit yang dibina lebih awal sebagai persiapan menghadapi bencana alam tersebut.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata pihaknya telah menasihati penduduk supaya berpindah lebih awal ke PPS kerana kawasan mereka berisiko dilanda banjir.
“Jika mereka berpindah bukan di PPS adalah sukar bagi pihak berkuasa menyediakan bantuan, tambahan pula berpindah ke bukit sudah tentu merumitkan kita untuk meninjau keperluan mereka,” katanya. — Bernama
Sumber Mangsa banjir pindah ke bukit, rumah rakit (VIDEO)