Judul : Maklumkan kepada mangsa kebocoran data ― Fahmi Fadzil
link : Maklumkan kepada mangsa kebocoran data ― Fahmi Fadzil
Maklumkan kepada mangsa kebocoran data ― Fahmi Fadzil
21 NOVEMBER ― Saya sambut baik kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari yang berkata bahawa kementerian mempunyai sumber dan kepakaran mencukupi untuk orang awam mengesahkan sama ada data peribadi mereka telah dicuri.
Walau bagaimanapun, saya ingin mengingatkan Datuk Seri Jailani bahawa bukan orang awam yang telah gagal menjamin tahap keselamatan pangkalan data peribadi syarikat telekomunikasi sehingga mengakibatkan lebih 46 juta data peribadi pengguna dicuri pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kebocoran data peribadi ini juga merupakan kebocoran paling dahsyat dalam sejarah negara kita, yang melibatkan semua syarikat telekomunikasi, sama ada yang masih beroperasi ataupun tidak.
Apa yang jelas, kenyataan-kenyataan menteri serta tindakan-tindakan SKMM berkait skandal besar kebocoran 46 juta data peribadi ini mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan Umno-BN sedang cuba mengaburi mata rakyat untuk mengelakkan orang ramai dari bertanya siapa sebenarnya bersalah dan cuai dalam isu ini.
Mengambil contoh dari industri automotif, apabila berlaku satu isu keselamatan seperti kerosakan beg udara kereta, maka semua pemilik model kereta tersebut akan dimaklumkan melalui surat dan sistem pesanan ringkas SMS untuk segera melakukan pemeriksaan keselamatan.
Mengapa pihak kementerian tidak mengarahkan agar langkah serupa diambil apabila berlakunya skandal besar ini? Atau apakah pihak Kementerian risau bahawa tindakan sebegitu akan membuatkan rakyat sedar betapa besarnya skandal ini?
Oleh itu, saya menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mengambil tanggungjawab penuh di atas kejadian kehilangan 46 juta data peribadi ini.
Kementerian juga perlu mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terkesan dan masih beroperasi agar segera menghubungi semua pengguna yang terkesan, sekurang-kurangnya melalui surat dan SMS.
Seharusnya bebanan kos penghantaran surat dan SMS itu ditanggung syarikat-syarikat telekomunikasi, dan bagi syarikat yang sudah tidak beroperasi adalah wajar untuk SKMM menanggung beban kos tersebut.
Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia seharusnya bersikap lebih proaktif apabila skandal besar kecurian data peribadi ini diketahui umum, dan bukannya mengarahkan SKMM menghalang akses kepada laman-laman web tertentu yang telah membongkarkan skandal besar ini.
* Fahmi Fadzil ialah pengarah komunikasi PKR.
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online.
Sumber Maklumkan kepada mangsa kebocoran data ― Fahmi Fadzil