Judul : Para KL2017: Sukan Para ASEAN 2017 ditutup secara rasmi
link : Para KL2017: Sukan Para ASEAN 2017 ditutup secara rasmi
Para KL2017: Sukan Para ASEAN 2017 ditutup secara rasmi
KUALA LUMPUR: Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) kali kesembilan bertemakan 'Bangkit Bersama' ditutup secara rasmi dalam satu majlis penuh gilang gemilang dan penuh bermakna, sebentar tadi.
Malaysia menamatkan saingan temasya ini di tempat kedua dengan kutipan 90 pingat emas, 85 perak dan 83 gangsa dengan 258 pingat secara keseluruhan.
Kedudukan itu lebih baik berbanding Thailand yang meraih kutipan 236 pingat (68 emas, 73 perak dan 95 gangsa) sepanjang temasya, sementara juara keseluruhan menjadi milik Indonesia dengan 251 pingat (126 emas, 75 perak dan 50 gangsa).
Upacara penutupan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula dengan majlis mengalu-alukan tetamu jemputan serta ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
KONTINJEN Para Negara berarak masuk ke dalam stadium pada majlis penutup Sukan Para ASEAN KL2017 di Stadium National, Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
Majlis kemudian disambung dengan nyanyian lagu Negaraku dan pengumuman perarakan masuk kontinjen 11 negara yang mengambil bahagian serta bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN dan bendera edisi kesembilan.
Saat paling dinantikan penonton ialah ketika maskot rasmi Kuala Lumpur 2017 dikenali sebagai RIMAU berarak masuk mengetuai barisan atlet para yang mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Seterusnya majlis memberi penghormatan kepada Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Naib Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Persekutuan Sukan Para ASEAN, SM Nasaruddin SM Nasimuddin untuk menyampaikan ucapan.
Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Major Jeneral, Osoth Bhavilai turut menyampaikan ucapannya.
Timbalan Perdana Menteri kemudiannya mengisytiharkan Sukan Para ASEAN ke-9, Kuala Lumpur 2017 ditutup secara rasmi.
Tumpuan penonton kembali terarah kepada obor temasya - yang melambangkan semangat kesukanan, hubungan sejagat serta semangat bangkit bersama yang dipadamkan selepas seminggu dinyalakan sejak majlis perasmian pada 17 September lalu.
SM Nasaruddin menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum diserahkan kepada Osoth Bhavilai.
Bhavilai seterusnya menyerahkan bendera itu kepada Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina, Michael Barredo selaku tuan rumah temasya pada 2019.
Sebaik selesai penyerahan penting itu, lagu kebangsaan Filipina dimainkan selain upacara menaikkan bendera negara berkenaan.
Upacara penutupan dimeriahkan dengan persembahan penuh bertenaga bintang antarabangsa, Yuna yang menyanyikan enam buah lagu iaitu Falling, Best Love, Lights & Camera, Terukir di Bintang, Crush dan Rescue.
Majlis diteruskan dengan persembahan bunga api yang dipancarkan memenuhi stadium dan atlet diiringi keluar padang menandakan majlis penutupan selesai sepenuhnya.
Sumber Para KL2017: Sukan Para ASEAN 2017 ditutup secara rasmi