Judul : Bomba siap sedia sepanjang Ramadan dan Aidilfitri
link : Bomba siap sedia sepanjang Ramadan dan Aidilfitri
Bomba siap sedia sepanjang Ramadan dan Aidilfitri
BATU KAWAN: Sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan semua anggota termasuk pegawai kanan untuk bersiap sedia bertugas jika berlaku insiden kemalangan atau kebakaran.Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata ia bagi memastikan kelancaran pasukannya menjalankan tugas kerana menjangkakan kes kebakaran serta kecemasan akan meningkat ketika itu.
"Kami menyediakan jumlah anggota secukupnya menjelang musim perayaan ini kerana kadar kemalangan serta panggilan kecemasan dijangka meningkat.
"Pada tahun ini juga, pegawai dan pegawai kanan yang sebelum ini tidak terlibat dalam operasi akan turut ditugaskan di bahagian itu (operasi) bagi membantu anggota bomba lain," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengarah JBPM Pulau Pinang di sini, hari ini.Pada majlis itu, Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Saadon Mokhtar menggalas tugas sebagai Pengarah JBPM Pulau Pinang yang baharu mengantikan Azmi Tamat yang bersara wajib.
Wan Mohd Nor berkata menjelang musim perayaan nanti, anggota bomba dan penyelamat bukan sahaja bersiap sedia di balai tetapi turut ditempatkan di lokasi tertentu yang terletak agak jauh dari balai bomba dan penyelamat supaya bantuan segera dapat diberikan jika berlaku kecemasan.
"Berapa ramai anggota dan pegawai yang akan bertugas sepanjang operasi khas nanti akan diumumkan pada majlis pelancaran operasi itu minggu depan dan saya percaya jumlah yang terlibat sepanjang tempoh (operasi) berkenaan mencukupi," katanya.
Sementara itu, Saadon, 54, berkata walaupun bakal berdepan cabaran lebih besar, beliau yakin mampu menyambung amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan bantuan pegawai serta anggota JBPM Pulau Pinang.
"Pulau Pinang terkenal dengan kecemerlangan tugas pegawai dan anggotanya dalam menangani pelbagai bencana dan kes melibatkan kemalangan serta kebakaran.
"Saya bangga kerana terpilih menerajui JBPM Pulau Pinang dan akan berusaha meneruskan kecemerlangan yang diperoleh sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
Sumber Bomba siap sedia sepanjang Ramadan dan Aidilfitri