Judul : KR1M 2.0 dilancar 4 Feb
link : KR1M 2.0 dilancar 4 Feb
KR1M 2.0 dilancar 4 Feb

Gambar Nor Raidah Awang
BATU KURAU: Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang distruktur semula sebagai KR1M 2.0 akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Temerloh, Pahang, pada 4 Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata logo baharu KR1M 2.0 akan menggunakan warna biru.
Katanya, pelancaran itu membabitkan semua kedai termasuk 50 yang sudah beroperasi selepas KR1M ditutup September tahun lalu.
"Sebenarnya KR1M 2.0 sudah berjalan, namun kita belum lancarkan secara rasmi lagi.
"Setakat ini kita sudah ada 50 KR1M 2.0 yang ada di beberapa negeri termasuk di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor," katanya selepas majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Kamaruddin, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, setakat ini sambutan diterima sangat baik, namun kebanyakan pembeli tidak tahu kedai dikunjungi sudah menjadi KR1M 2.0.
"Ini kerana papan tanda kedai belum ditukar dan ia akan dipasang pada 4 Februari ini," katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, program Jualan Sentuhan Rakyat Larut yang akan menawarkan jualan lebih rendah daripada harga pasaran akan diadakan di Dataran Selama, esok.
Katanya, program itu membabitkan penyertaan beberapa agensi termasuk Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pasar raya.
"Program ini satu cara untuk kita tangani kenaikan harga oleh orang tengah. Sebab itu, kita bawa FAMA, LKIM dan pasar raya untuk mereka jual sendiri terus kepada pembeli.
"Jika sambutan diterima baik dalam kalangan penduduk setempat, kita akan jalankan program ini setiap minggua atau paling kurang sebulan dua kali," katanya.
Sumber KR1M 2.0 dilancar 4 Feb