Judul : Jaminan Makanan (Food Security) Di Malaysia
link : Jaminan Makanan (Food Security) Di Malaysia
Jaminan Makanan (Food Security) Di Malaysia
Berdasarkan definisi konsep yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2014), food security terdiri daripada tiga teras konsep yang utama, iaitu kebolehdapatan atau ketersediaan makanan, capaian makanan dan penggunaan makanan. Secara asasnya, food security ini diterjemahkan sebagai jaminan makanan yang merujuk kepada jaminan ketersediaan makanan, jaminan capaian makanan dan jaminan penggunaan makanan.
Sementara itu, menurut pengertian konsep yang diberikan oleh United Nations Committee on World Food Security, food security ini adalah bertunjangkan kepada tiga tonggak utama, iaitu ketersediaan, kestabilan dan akses. Keseluruhannya, jaminan makanan atau food security ini boleh ditafsirkan sebagai satu situasi apabila setiap individu, pada sepanjang masa, memiliki akses ekonomi dan fizikal ke atas makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan dan citarasa pemakanan untuk hidup yang aktif dan sihat sepanjang masa.
Apa pentingnya untuk kita tahu berkaitan dengan jaminan makanan ini? Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), jumlah individu di seluruh dunia yang mengalami masalah kebuluran dan kekurangan zat pada tahun 2016 adalah sebanyak 815 juta, dan ia adalah jauh lebih tinggi berbanding 2015, iaitu sebanyak 777 juta orang. Masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan ini boleh dikaitkan dengan pelbagai punca, dan di sinilah pentingnya untuk kita mengetahui tentang jaminan makanan di mana ia boleh menjadi penanda aras berkaitan dengan akses dan ketersediaan makanan yang ada.
FAO sendiri juga telah menyediakan empat petunjuk atau indikator yang boleh digunakan dalam mengenalpasti jaminan makanan bagi sesebuah negara, iaitu kesediaan bekalan makanan, kemampuan harga membeli, kemudahan akses pasaran dan bekalan makanan yang berkhasiat. Dalam konteks masyarakat di Malaysia, jaminan makanan ini boleh dilihat berdasarkan kemampuan dan kesediaan masyarakat Malaysia untuk membeli bahan makanan yang berkualiti, dengan harga yang berpatutan dan pada masa yang diperlukan.
Konsep jaminan makanan
Menurut Noorlidawati & Rozita (2015), sebagaimana yang disarankan oleh FAO, konsep jaminan makanan ini terbahagi kepada empat komponen penting, iaitu:
- Ketersediaan makanan – keupayaan isi rumah untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi dengan kualiti yang sepatutnya. Kuantiti makanan yang mencukupi dan berkualiti ini haruslah dibekalkan daripada pengeluaran makanan secara domestik atau import dan melalui bekalan makanan.
- Akses makanan – akses atau capaian isi rumah terhadap sumber yang mencukupi (hak) bagi mendapatkan makanan yang sesuai untuk menampung keperluan. Kecukupan untuk akses ini merangkumi pengeluaran dan simpanan stok dalam isi rumah, pembelian, hadiah, pinjaman dan bekalan makanan.
- Penggunaan makanan – kemampuan isi rumah untuk mendapatkan nutrien yang mencukupi melalui jumlah makanan yang diambil, keupayaan mendapatkan bekalan air yang bersih serta tahap penjagaan kesihatan bagi memenuhi pemakanan yang baik untuk mencapai keperluan fisiologi. Ini juga termasuk dengan pengetahuan isi rumah atau individu berkaitan dengan pengurusan dan teknik pemprosesan makanan serta penyediaan makanan.
- Kestabilan makanan – setiap individu atau isi rumah mempunyai akses untuk mendapatkan makanan yang mencukupi pada setiap masa. Bagi memastikan kestabilan makanan ini, risiko luar jangka yang boleh mengancam keselamatan makanan harus diambilkira, seperti krisis ekonomi, perubahan cuaca dan sebagainya.
Jadi, merujuk kepada kesemua komponen yang disarankan ini, jelaslah bahawa jaminan makanan atau food security dalam sesebuah komuniti dan negara adalah penting agar setiap lapisan masyarakat memperoleh makanan asas yang berkhasiat, tanpa perlu berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan atau terpaksa membayar dengan harga yang melampau.
Dasar-dasar jaminan makanan di Malaysia
Bagaimana untuk kita memastikan bahawa jaminan makanan yang kita ada pada hari ini dapat dicapai dan terpelihara? Di sinilah terbentuknya peranan yang dimainkan oleh dasar-dasar jaminan makanan yang telah digubal dalam Malaysia. Peranan ini dipikul oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) yang bertanggungjawab dalam pembangunan sektor pertanian. Selain itu, ia juga berperanan dalam merangka pelbagai dasar dan program bagi meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara dan memastikan jaminan makanan dapat dicapai.
Secara asasnya, dasar jaminan makanan sebenarnya telah diwujudkan di Malaysia sebelum merdeka lagi, iaitu melalui Dasar Padi dan Beras Negara. Namun, dasar yang diwujudkan ini hanya memfokuskan kepada penghasilan padi dan beras sebagai makanan ruji bagi rakyat Malaysia. Pada tahun 1984, Dasar Pertanian Negara Pertama (DPN1) telah dilaksanakan di Malaysia. Seterusnya, Dasar Pertanian Negara Kedua (DPN2) telah dilancarkan pada tahun 1992, dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) telah dilancarkan pada tahun 1998, yang berkuatkuasa untuk tempoh antara 1998 hingga 2010.
Rentetan daripada insiden krisis makanan dunia pada tahun 2008, kerajaan telah menggubal Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara, dan diluluskan pada tahun 2008. Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara ini dilaksanakan bagi tempoh antara 2008 hingga 2010. Dasar inilah yang memberi jaminan kepada sumber makanan yang mencukupi kepada negara. Malah, melalui dasar ini juga, Dasar Pertanian Negara lebih diperkasa, kerana bidang pertanian merupakan tunjang utama kepada jaminan makanan di Malaysia ini.
Pada tahun Januari 2012, Dasar Agromakanan Negara (DAN) telah dilancarkan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi, yang menjadi landasan utama dalam pembangunan negara dan mencapai taraf sebuah negara maju berpendapatan tinggi (Mohd Borhanuddin, Amir Husin, Noor Lizza, Md. Yazid, & Juairiah, 2015). Dasar ini boleh dianggap sebagai transformasi daripada Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara, yang dilaksanakan antara tempoh 2011 hingga 2020, di mana dasar ini bertujuan utama bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi, selamat, dan mampu dibeli melalui program peningkatan pengeluaran dan produktiviti. DAN ini memberi tumpuan utama kepada pengeluaran beras sebagai suatu inisiatif kepada jaminan bekalan makanan.
Kesan jaminan makanan kepada masyarakat
Jaminan makanan ini memberi pengaruh yang besar kepada sesebuah negara, di mana melalui pencapaian jaminan makanan yang baik, maka seluruh rakyat akan memperoleh manfaat yang sama rata dalam sumber makanan. Tanggungjawab dalam memastikan jaminan makanan ini dapat dicapai merupakan tanggungjawab setiap negara, di mana berdasarkan tafsiran jaminan makanan di peringkat antarabangsa, ia adalah pertanggungjawaban semua negara untuk memastikan pasaran dan harga makanan yang stabil bagi rakyat.
Jadi apakah kesannya jika jaminan makanan atau food security ini tidak dapat dicapai oleh sesebuah negara? Kekurangan bekalan makanan dan ketidakmampuan untuk mendapatkan bekalan makanan yang berkhasiat boleh membawa kepada krisis makanan. Isu krisis makanan bukanlah suatu isu yang remeh, kerana krisis makanan yang berlaku pada hari ini banyak melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas bagi individu di seluruh dunia. Akibatnya, harga makanan dunia akan meningkat dengan mendadak. Keadaan ini ditambah pula dengan masalah kadar pendapatan yang rendah dan kadar pengangguran yang tinggi menyebabkan sesetengah negara yang dilanda krisis makanan sukar untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi.
Dalam hal ini, bagi memastikan jaminan makanan dapat dicapai dengan jayanya, dasar-dasar dan program-program yang telah digubal seperti Dasar Agromakanan Negara adalah antara platform utama dalam membantu proses jaminan makanan ini. Namun, perlaksanaan dasar ini yang mengurangkan kebergantungan import makanan, meningkatkan produktiviti, kepelbagaian produk dan daya maju daripada pengeluaran tempatan perlu strategi yang teliti agar dapat memberi kesan dalam mencapai jaminan makanan.
Kesimpulan
Jaminan makanan adalah suatu keadaan di mana setiap individu dapat memperoleh sumber makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan yang aktif serta gaya hidup yang sihat. Langkah-langkah proaktif haruslah dilaksanakan secara berterusan dalam memastikan jaminan makanan ini dapat terpelihara dan terjamin untuk seluruh lapisan masyarakat.
Rujukan
Fatimah, M. A., Mohd Fauzi, J., & Mohd Khanif, Y. (2010). Pengenalan Sektor Makanan dan Sekuriti Makanan di Malaysia. Agenda Polisi Sekuriti Makanan Malaysia, (November), 9–10.
Mohd Borhanuddin, Z., Amir Husin, M. N., Noor Lizza, M. S., Md. Yazid, A., & Juairiah, H. (2015). Dasar Pertanian Negara Ketiga (Dpn3) & Dasar Agromakanan Negara (Dan): Analisis Terhadap Makanan Asasi Beras Dan Padi Menurut Islam. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 9, 24–40.
Noorfazreen, M. A., & Asmak, A. R. (2011). Pelaksanaan Dasar Sekuriti Makanan di Malaysia: Kajian Daripada Perspektif Ekonomi Islam. Jurnal Syariah, 19(1), 39–62.
Noorfazreen, M. A., Sarah Dina, M. A., & Mariam Farhana, M. N. (2017). Sekuriti Makanan Menurut Konsep Filantropi Islam. Journal of Islamic Philantropy & Social Finance, 1(2), 42–57.
Noorlidawati, A. H., & Rozita, M. Y. (2015). Jaminan bekalan makanan di Malaysia : Perspektif pemain industri. Economic and Technology Management Review, 10a, 1–10.