Judul : 7 Cara Bisnes Tingkatkan Engagement Media Sosial
link : 7 Cara Bisnes Tingkatkan Engagement Media Sosial
7 Cara Bisnes Tingkatkan Engagement Media Sosial
Kesilapan yang banyak berlaku dalam kalangan peniaga online adalah memandang mudah pada posting di media sosial bisnes mereka. Main post sahaja. Asalkan ada sudah cukup.
Memang diakui untuk mendapatkan pengikut yang setia itu bukan sesuatu yang mudah tetapi ia bukan rumit. Lihat sahaja bagaimana sekarang orang ramai dengan mudahnya menjadi popular kerana memperoleh jumlah pengikut yang ramai dengan cara masing-masing. Pelbagai cara mereka lakukan untuk memastikan pengikut mereka tetap setia mengikut profil mereka.
Jadi sebagai pemilik bisnes online anda juga wajib peka dengan hal ini. Lagi-lagi jika anda 100% menggunakan media sosial sebagai platform untuk berniaga. Kali ini Majalah Niaga kongsikan cara-cara untuk meningkatkan ‘engagement’ dalam page media sosial bisnes anda.
#1 Kerap Kemaskini
Ini adalah syarat wajib yang anda harus akur jika anda mahu ‘engagement’ yang tinggi dalam media sosial bisnes anda seperti Facebook dan Instagram. Anda perlu mengenalpasti konten bagaimana yang mampu menarik minat pelanggan sasaran anda. Jangan terlalu meniru posting orang lain. Lain bisnes lain pendekatannya.
Kekerapan page anda dikemaskini mampu mempengaruhi orang ramai untuk membuktikan page anda aktif dan tidak hambar. Pelanggan akan ragu-ragu untuk membeli jika melihat posting paling terkini pada page adalah beberapa bulan yang lepas. Pelanggan akan fikir anda tidak serius berniaga di platform tersebut maka mereka kurang yakin untuk berurusan dengan anda.
#2 Relevan Dengan Isu Semasa
Kebanyakan page atau akaun yang mempunyai ‘engagement’ yang tinggi mempunyai konten yang memukau. Cuba untuk jadi kreatif dengan mengaitkan posting anda dengan isu semasa atau perkara yang sedang ‘trending’. Percayalah cara ini benar-benar akan memberi kelainan dalam bisnes anda sekali gus menarik perhatian orang ramai.
Apa sahaja perkara yang mungkin viral ketika itu apabila dikaitkan dengan produk atau servis yang anda tawarkan mampu melonjakkan jualan ke tahap yang lebih baik. Ia juga menunjukkan kepada pengikut anda bahawa bisnes anda peka dengan situasi semasa dan membuatkan mereka tetap mengikuti (follow) page anda kerana page anda menarik.
#3 Menonjol
Jangan jadi biasa-biasa kerana sekarang terlalu ramai orang berniaga secara online. Kalau anda hanya diam terkaku sambil menunggu pelanggan datang menyinggah page anda. Jawabnya bisnes anda memang tidak akan tahan lama.
Anda perlu ingat setiap pengguna mengikuti (follow) lebih dari satu page yang menjual produk atau servis masing-masing. Kerana itulah pentingnya untuk bisnes anda menonjol berbanding yang lain.
#4 Interaksi Dengan Pelanggan
Ramai peniaga beranggapan interaksi dengan pelanggan cukup sekadar post gambar dan balas komen-komen mereka di page anda. Kalau anda berfikir demikian maka anda harus bersaing dengan lebih ramai lagi peniaga lain yang melakukan cara yang sama.
Bagi meningkatkan ‘engagement’, panggil individu yang banyak berinteraksi dengan posting anda. Cari jalan untuk menzahirkan penghargaan kepada mereka. Dan jika anda tidak mempunyai masa untuk melakukan itu semua, lantik seseorang untuk melakukannya. Ia penting sebenarnya.
#5 Personaliti
Anda boleh menggunakan khidmat ‘influencer’ atau selebriti untuk mempromosikan bisnes anda. Malah lagi bagus lagi jika anda boleh membangunkan bakat staff anda untuk menjadi wakil media sosial bagi mempromosikan produk atau servis anda. Lazimnya staff pemasaran lebih sesuai untuk ini tetapi jika ada staff lain yang mempunyai potensi, apa salahnya bagi mereka peluang.
Malah jika anda menggunakan khidmat dari tenaga kerja syarikat anda ia lebih menjimatkan berbanding membayar ‘influencer’ atau selebriti. Impak awalnya mungkin tidak sehebat menggunakan individu yang popular tetapi konten itu lebih mengujakan kerana staff anda lebih memahami bisnes anda berbanding orang luar. Tidak mustahil hasil komunikasi yang berkesan mampu meningkatkan jualan bisnes anda.
#6 Kempen & Promosi
Sedangkan page yang viral pun masih menggunakan iklan berbayar. Oleh itu anda perlu sedar bahawa viral itu tidak kekal lama. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang viral. Jadi selama mana anda mampu percaya kuasa viral boleh kekalkan bisnes anda selamanya.
Maka itu jangan lokek untuk peruntukkan sebahagian dana untuk pemasaran iklan berbayar samada FB Ads, Google Ads, IG Ads dan platform-platform lain yang menawarkan pengiklanan secara meluas mengikut pelanggan sasaran anda. Berani untuk laburkan duit demi kelangsungan bisnes yang berterusan.
#7 Masa Yang Tepat
Aspek masa selalu dipandang ringan oleh kebanyakan peniaga online. Hakikatnya ia sangat penting kerana anda perlu tahu pada waktu bila paling ramai orang online supaya iklan yang anda buat dilihat oleh mereka. Lihat juga siapa pelanggan sasaran anda. Letakkan diri anda dalam rutin seharian pelanggan sasaran anda maka anda akan tahu bila waktunya mereka akan online. Ketika itulah anda memulakan serangan.
Contohnya, jika pelanggan sasaran anda adalah golongan bekerja di waktu pejabat maka anda akan tahu waktu pagi sebelum mula bekerja dan ketika waktu rehat lazimnya mereka akan online. Lain pula jika pelanggan sasaran anda suri rumah. Jadi kaji aspek masa ini dengan sebaiknya.
Sumber Informasi: Aj Agrawal
Sumber 7 Cara Bisnes Tingkatkan Engagement Media Sosial