Judul : Harimau Belang Pernah Wujud Di Borneo?
link : Harimau Belang Pernah Wujud Di Borneo?
Harimau Belang Pernah Wujud Di Borneo?
KELIBATNYA sentiasa digeruni oleh manusia kerana sifatnya yang dikatakan ganas dan mampu membaham manusia. Telahan lagi binatang jenis kecil seperti pelanduk dan sebagainya merupakan lauk baginya memandangkan ianya adalah jenis karnivor iaitu pemakan daging. Harimau Belang atau turut dikenali sebagai Pak Belang dikalangan rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan habitatnya sememangnya ada di Malaysia iaitu mencakupi banyak negeri di Semenanjung Malaysia kecuali di pulau-pulau, Perlis, Melaka dan Pulau Pinang. Dan untuk Sabah dan Sarawak malah seluruh Pulau Borneo turut dilaporkan tidak pernah menjadi habitat spesis Pak Belang ini.
Kesahihan penyataan itu mungkin ada benarnya kerana sejak di zaman moden ini sememangnya belum ada lagi rakaman video atau bukti nyata kewujudannya di Borneo melainkan spesis harimau yang lain seperti harimau dahan yang popular mendiami pulau ketiga terbesar di dunia. Dan apa yang menarik sekali walaupun ditidakkan kewujudannya di Borneo lain pula ceritanya apabila kita menyelami sastera rakyat, busana adat, ritual adat, lukisan kuno dan kosakata di dalam dialek etnik yang pelbagai di Borneo membuktikan bahawa Si Pak Belang bukanlah binatang yang asing di Borneo.
1. Harimau belang di dalam sastera rakyat Borneo
Sebenarnya banyak cerita lagenda yang mengaitkan kewujudan si Pak Belang di dalam norma-norma penghidupan masyarakat di Borneo dahulukala. Walaupun ianya sebuah cerita lagenda yang mungkin ditokok tambah bagi mengindahkan jalan cerita si penglipurlara namun bagaimana watak harimau belang itu diwujudkan di dalam pengkisahannya mungkin menarik untuk kita selidiki.
Antara cerita lagenda yang berkaitrapat dengan kewujudan si pak belang adalah satu cerita rakyat yang diwarisi zaman berzaman secara lisan di kalangan masyarakat Dayak Iban di Sarawak iaitu cerita lagenda Keling seorang Panggau iaitu makhluk dari alam ghaib yang dikatakan boleh menjelma menjadi seekor harimau apabila dikehendaki pada waktu-waktu tertentu. Ada satu ketika diceritakan si harimau telah beradu tenaga dengan si kayu belian bagi menentukan siapakah yang boleh memiliki usia yang paling lama untuk hidup di dunia ini.
Dipendekkan cerita setelah beradu tenaga dengan segala kesaktian yang ada akhirnya si kayu belian yang memenangi pertandingan tersebut. Dan dek kerana sebelumnya si harimau bercakap besar tetapi akhirnya kalah menyebabkan si harimau yang malu telah melarikan diri jauh dari Borneo dan perjalanannya dikatakan menghala ke tanah Semenanjung. Melalui cerita lagenda ini juga dikatakan mengapa kayu belian banyak terdapat di hutan belantara Borneo dan bertahan sehingga ratusan tahun.
2. Harimau belang di dalam busana adat masyarakat Borneo
Umum mengetahui bahawa busana atau pakaian tradisional etnik di Borneo sememangnya berkaitrapat dengan segala hal di dalam penghidupan mereka. Material yang digunakan juga kebiasaannya boleh didapati dengan mudah di dalam persekitaran mereka namun penghasilannya pula bukanlah mudah sebaliknya mempunyai proses-proses yang tertentu. Kerana itulah juga busana adat merupakan lambang jatidiri kepada setiap etnik di Borneo.
Di dalam konteks ini ada sejenis busana adat yang masih lagi dipakaikan pada waktu-waktu tertentu di kalangan masyarakat Kenyah Lebu’ Kulit iaitu yang dinamakan “Besunung”. Besunung ini merupakan baju perang yang wajib digunakan saat hendak turun berperang suatu ketika dahulu. Besunung yang dipakai oleh golongan pahlawan Kenyah diperbuat daripada kulit binatang seperti beruang, harimau mahupun kambing. Dikatakan antara sebab “Besunung” yang diperbuat daripada kulit harimau belang adalah yang terbaik kerana ianya sukar ditembusi apabila terkena bilahan mandau atau pedang.
Mungkin tidak ramai masyarakat Kenyah Lebu” Kulit di Borneo yang masih menyimpan besunung yang diperbuat dari kulit harimau belang di dalam almari pakaian mereka sekarang sebagai harta warisan kerana selepas beberapa ketika hanya besunung dari kulit kambing mahupun beruang yang begitu mudah didapati. Dan kewujudan besunung dari kulit harimau belang pernah dikaji dan dilihat oleh Hose dan McDougall seperti yang dilaporkan oleh mereka pada tahun 1912.
3. Harimau belang di dalam ritual adat masyarakat Borneo
Ritual adat masyarakat yang mendiami Borneo juga tergolong di dalam ritual yang unik dan agak berlainan dengan masyarakat lain di dunia. Ini mungkin berkaitrapat dengan anutan dahulukala yang walaupun sekarang rata-ratanya sudah beragama namun ada sesetengah kefahaman animisme di dalam ritual adat masih lagi diteruskan asalkan tidak melanggar norma-norma agama yang dianuti.
Berbicara dari konteks ini juga peralatan yang digunakan untuk ritual juga boleh dijadikan satu pengantara antara tujuan ianya diadakan. Kita mengambil contoh antara ritual yang dahulunya digunakan oleh masyarakat Kenyah iaitu apabila adanya satu perselisihan atau perkelahian yang tidak pernah mampu ditamatkan oleh keluarga atau individu. Ianya mendorong kepada pergaduhan besar sehingga adakalanya boleh membawa kepada kecederaan mahupun korban kepada kedua-dua pihak.
Disaat ianya sudah tidak mampu diselesaikan adakalanya mereka yang lebih berusia atau ketua keluarga masyarakat Kenyah akan mengadakan ritual sumpahan. Dengan menggunakan satu atau dua taring harimau belang bersama-sama dengan sepotong kulit kijang akan direndam di dalam bekas air lalu diangkat menghadap matahari. Tatkala ianya diangkat itulah mantera akan dibaca bagi menyeru Balei atau Bali’ atau roh yang akan bertindak memanggil mana-mana harimau untuk datang menyerang dengan memakan hati, meminum darah, daging disiat-siat hingga ke tulang sum-sum mereka yang bergaduh tidak kesudahan itu.
Dek kerana adanya ritual sumpahan seperti inilah menyebabkan mana-mana masyarakat Kenyah tidak mahu ada pergaduhan yang berterusan sehingga mengecilkan hati orang-orang tua mereka. Sekaligus ianya menunjukkan bahawa apa yang diseru di dalam ritual sumpahan itu pernah juga berlaku sehingga mereka takut untuk ianya akan terjadi lagi.
Seorang pengkaji berbangsa Belanda iaitu Hooijer di dalam kajiannya mengenai ritual-ritual adat masyarakat Kenyah di Sungai Mahakam, Kalimantan pernah mencatitkan bahawa beliau sendiri menjadi saksi satu upacara sumpahan diadakan oleh seorang tua yang begitu kecewa dengan tindaktanduk anak-anaknya yang bergaduh akibat peninggalan harta warisan telah menggunakan taring-taring harimau belang (menurut beliau saiz taring harimau dahan dan harimau belang berbeza) bagi membuat seruan. Kajian ini beliau lakukan pada tahun 1963 yang mana boleh dikategorikan sebagai berlaku di zaman moden.
4. Susuk harimau belang di lukisan kuno atau patung masyarakat Borneo
Orang dahulukala mereka banyak melukis pada dinding-dinding gua ataupun pada ukiran-ukiran kayu di lamin atau rumah panjang mereka untuk menceritakan segala hal yang dilalui mereka seharian. Dan hal yang sama juga terjadi di Borneo apabila susuk-susuk harimau belang dilukis pada batu dan juga ukiran patung. Antara yang boleh dijadikan bukti adalah bagaimana susuk harimau belang diukir di atas batu yang dikenali sebagai Arca Sintang di kalangan masyarakat Dayak Ot Danum di Kabupaten Sintang, Kalimantan Barat.
Betang Tumbang Malahoi merupakan salah satu daripada tempat berhimpunnya sejarah kuno masyarakat Dayak Ngaju yang lokasinya di cabang Sungai Kahayan. Dayak Ngaju antara masyarakat di Borneo yang terkenal dengan ukiran-ukiran kayu yang pelbagai corak dan jenis. Di rumah Betang Tumbang Malahoi misalnya mempunyai beberapa ukiran kayu yang mempunyai susuk harimau belang pada bahagian dinding rumah adat mereka.
5. Harimau belang di dalam dialek masyarakat Borneo
Borneo mempunyai pelbagai kaum serta sub-sub etnik yang banyak dan walaupun dari kaum yang sama kadangkala dialek pula boleh berlainan mengikut kawasan penempatan mereka. Dari konteks ini jika kita menyelidiki dari bahasa yang dipertuturkan oleh masyarakat di Borneo, harimau itu sendiri mempunyai gelaran dalam dialek yang berbeza.
Kita mengambil contoh untuk masyarakat Iban mereka menggelar harimau sebagai Remaung atau bagi masyarakat Banjar Borneo menggelarnya Haramaung. Selain itu ada juga masyarakat yang lain menggelar ianya sebagai Lenjau atau Lencau dan macan. Dan penulis begitu pasti dengan pelbagai etnik yang ada banyak lagi himpunan kosakata bagi memperjelaskan harimau belang di dalam dialek-dialek yang sedia ada di Borneo.
Kesimpulannya berdasarkan kepada lima fakta yang diperjelaskan ini mungkin pembaca semua sudah boleh memperkira bahawasanya harimau belang itu pernah wujud di Borneo suatu ketika dahulu. Ini kerana jika kita menggunakan hukum logik bagaimana orang dahulukala boleh mengetahui kewujudan harimau belang sehingga mampu mencorak sastera rakyat, pakaian yang diperbuat daripada harimau belang digunapakai, melukis rupabentuk harimau belang baik diatas batu atau lukisan dinding rumah panjang malah mempunyai gelaran untuk harimau belang di dalam penuturan mereka jika tidak pernah melihat mamalia tersebut berkeliaran di hutan-hutan di Borneo.
Mungkin ada sebab kenapa ianya pupus di bumi Borneo dan salah satunya cara ianya diburu suatu ketika dahulu yang mana masyarakat Borneo rata-ratanya pakar di dalam memburu dan menangkap binatang di hutan. Dan tidak kurang ritual-ritual yang diamalkan seperti dikatakan suatu waktu dahulu bagi golongan bangsawan atau raja Orang Ulu adalah satu kemestian untuk si ayah atau raja mereka memburu harimau belang bagi diberikan makanan pertama untuk putera yang pertama dilahirkan. Kepercayaan mereka hanya dengan memakan daging harimau belang maka putera itu akan mampu menjadi raja yang perkasa dan tidak gentar dengan mana-mana musuh yang mendatang.
Atau mungkin untuk lebih bersifat sainstifik kita jangan sesekali menolak bahawa dahulukala kita semua ini adalah setanah. Yang mana akhirnya berpisah antara satu sama lain akibat tenggelamnya pentas Sunda sehingga ada yang menjadi bumi Sumatera, Tanah Melayu dan Borneo. Mungkin kelompok besar si harimau belang telah lari ke Tanah Melayu manakala kelompok kecil tinggal mendiami Borneo sehingga akhirnya pupus akibat epidermik atau kerana kerakusan manusia membunuhnya. Wallahualam.
-HB-
#KamekSayangSarawak
Rujukan:
- Was Borneo Once A Land Of Tigers
https://ift.tt/2vEdA1L
- The Borneon Tiger; Speculation On Its Existence
https://ift.tt/2LQNOT3
- Harimau Kalimantan – Sebuah Mitos Atau Fakta?
https://ift.tt/2vGq8FQ
- Harimau Belang
https://ift.tt/2LQryJ3
- Suku Dayak Uud Danum
https://ift.tt/2vCUsRT
- Bentang Tumbang Mahaloi
https://ift.tt/1qrZHhV