Judul : Filem Samurai Yang Menginspirasikan Dunia
link : Filem Samurai Yang Menginspirasikan Dunia
Filem Samurai Yang Menginspirasikan Dunia
Shinobu Hashimoto yang merupakan penulis skrip bagi epik “Seven Samurai” dan “Hidden Fortress” telah meninggal dunia beberapa hari lepas kerana Pneumonia pada umur 100 tahun.
“Seven Samurai” adalah filem yang menginspirasikan filem Hollywood “The Magnificent Seven” yang asal iaitu sekitar 60an dan kemudiannya 2016. Filem ini juga kemudiannya di garap semula entah berapa kali dalam banyak filem dan bahasa di seluruh dunia, manakala skrip “Hidden Fortress” yang ditulis beliau untuk Akira Kurosawa adalah filem yang dirujuk George Lucas untuk konsep dan penceritaan siri francais filem Star Wars.
Namun, ini hanya sebahagian kecil dari karyanya sahaja. Mungkin dua ini yang paling terkenal di seluruh dunia. Setidak-tidaknya ia adalah dua filem yang menarik minat aku untuk mendalami banyak lagi karya skrip Shinobu Hashimoto.
Di samping Akira Kurosawa juga, Shinobu Hashimoto juga menulis skrip untuk filem klasik dan epik sepanjang zaman sekitar 50an-60an iaitu Throne Of Blood, Rashomon, The Bad Sleep Well dan Ikiru.
Dan jangan dilupakan, epik The Sword of Doom arahan Kohachi Okamoto, sebuah filem Samurai yang sarat dengan Ronin, tetapi memiliki penyampaian dan persembahan yang sangat menjauhi konvensional.
Melainkan kau menonton sendiri filem yang satu ini, agak sukar juga menerangkan filem ini dalam bait ayat yang mudah difahami. Cumanya jika mahu dihuraikan juga berkaitan filem ini ialah; ia mengangkat watak antagonisnya sebagai fokus utama, manakala hero Samurai di dalamnya sebagai sekadar watak sampingan.
Ia sesuatu yang amat jarang kita boleh temukan dalam mana-mana pentas perfileman dunia.
The Sword of Doom, skrip oleh Shinobu Hashimoto dan diarahkan Kihachi Okamoto adalah filem genre Samurai namun dalam kelas tersendiri.
Pada aku, The Sword of Doom adalah filem Samurai paling nihilistik pernah aku tonton sehingga hari ini sekalipun ia adalah filem klasik sekitar 60an.
Apa yang paling aku hormati adalah bagaimana Shinobu Hashimoto mengambil peluang untuk memelihara dan menghidupkan falsafah, budaya juga semangat Jepun pada saat dan ketikanya negara Jepun cuba bangkit dari aib kekalahan Perang Dunia Kedua melalui karya-karyanya.
Patriotik dengan caranya yang tersendiri.
Apabila nilai-nilai kehidupan rakyat Jepun, hierarki Maharaja-Golongan Feudal-Samurai-rakyat mereka dirobek Amerika ketika itu dalam era apa yang digelar sebagai “Pengamerikaan Jepun” (Americanization of Japan) pasca Deklarasi Postdam 1945.
Masa sukar untuk Jepun apabila mereka dimalukan secara secara berterusan, digambarkan sebagai kuasa jahat mutlak yang perlu dibenamkan sebaik kalah Perang Dunia Kedua. Pada ketika segenap Jepun terpaksa menangung kepedihan kalah yang biasanya disudahi dengan Harakiri tanda taat setia kepada Maharajanya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Shinobu Hashimoto bersama Akira Kurosawa “memujuk” seluruh Jepun dengan karya mereka.
Pemergian Shinobu Hashimoto adalah umpama pemergian “maharaja Jepun” di dalam dunia filem Jepun. Mungkin sama seperti kita mengagungkan seniman P. Ramlee yang hingga kini tiada pengganti.
Bendera separuh tiang tanda berkabung sepatutnya dikibarkan oleh segenap dunia perfileman Jepun, dan pentas filem Hollywood, tanda penghormatan kepada lagenda berusia satu abad ini.
Di dalam Ikiru, ada satu bait lagu yang dinyanyikan watak utama Kanji Watanabe, seorang penjawat awam yang menyesali kehidupannya apabila akhirnya mengetahui bahawa beliau semakin hampir menemui ajal kerana menghidapi dengan kanser;
Life is brief, fall in love, maiden.
Before the crimson bloom, fades from your lips.
Before the tides of passion, cool within you.
For those of you, who know no tomorrow.
ありがとうございます, はしもと さん!
(Arigato gozaimas, Hashimoto-san!)