Judul : Seram! Hael dedah terperangkap dalam bilik gelap dan sunyi sampai demam panas 2 hari
link : Seram! Hael dedah terperangkap dalam bilik gelap dan sunyi sampai demam panas 2 hari
Seram! Hael dedah terperangkap dalam bilik gelap dan sunyi sampai demam panas 2 hari
Penyanyi dan komposer Hael Husaini mendedahkan dia melalui pengalaman seram apabila terperangkap hampir 40 minit dalam sebuah bilik gelap dan sunyi.
Hael, 28, berkata, perkara itu berlaku pada minggu lalu ketika dia menjalani penggambaran sebuah program hiburan di Johor Bahru bersama beberapa artis lain.
“Pada mulanya saya menyangkakan saya sedang mengikut seorang artis lelaki berjalan ke tandas dan selepas itu saya cuba kembali ke studio. Namun lain jadinya apabila saya termasuk ke sebuah bilik gelap.
“Saya cuba berlari dan keluar tapi tidak boleh, selepas itu saya sedar yang saya sudah terperangkap. Saya cuba jerit sekuat hati dan ketuk dinding bilik dengan kuat tapi tiada seorang pun dengar.
“Kemudian saya cuba hantar mesej WhatsApp kepada seorang kru produksi dengan memberitahu saya tidak tahu berada di mana, malangnya mesej itu tidak sampai kerana tiada line,” ujarnya kepada mStar Online.
Hael berkata situasi itu sangat menakutkan apabila dia juga terpaksa mendengar dengusan dan seretan sesuatu di belakangnya.
Tambahnya, menyedari perkara itu, dia tidak menoleh dan meneruskan jeritan meminta pertolongan.
“Selepas lima minit terperangkap, saya dengar suara dengusan yang kasar dan seperti ada guni terseret betul-betul di belakang saya dan ia semakin dekat.
“Saya terus menjerit dan ketuk-ketuk dinding dan tiba-tiba mesej yang saya hantar sampai kepada kru produksi. Saya dengar mereka turut menjerit nama saya dan jalankan usaha mencari.
“Ketika itu saya hanya berserah dan membaca apa sahaja ayat suci Al-Quran yang terlintas di kepala,” ujarnya.
Tidak lama kemudian, Hael berkata, seorang kru mendengar suaranya dan cuba membuka pintu bilik berkenaan.
Lebih menghairankan bilik yang dimasukinya itu merupakan bilik peribadi yang tidak boleh dimasuki oleh pihak luar tanpa kad akses.
“Saya pelik kerana bilik itu berkunci dan hanya boleh dimasuki oleh individu yang mempunyaI kad sahaja. Saya tidak tahu bagaimana saya dengan mudah memasuki bilik tersebut.
“Alhamdulillah, akhirnya saya dijumpai walaupun ketika itu saya rasakan seperti sudah berjam-jam tersorok,” ujarnya.
Penyanyi lagu Jampi ini berkata, selepas peristiwa tersebut dia mengalami demam panas selama dua hari.
Ia merupakan pengalaman pertama dalam hidupnya berhadapan dengan perkara misteri yang tidak mungkin akan dilupakan.
Sumber: Mstar
Sumber Seram! Hael dedah terperangkap dalam bilik gelap dan sunyi sampai demam panas 2 hari