Judul : Sudut Positif Jika Cukai SST Dilaksanakan Pada Perniagaan Atas Talian
link : Sudut Positif Jika Cukai SST Dilaksanakan Pada Perniagaan Atas Talian
Sudut Positif Jika Cukai SST Dilaksanakan Pada Perniagaan Atas Talian
Sejarah perniagaan yang bermula dengan sistem barter telah berkembang lebih maju dengan corak perniagaan yang berbeza daripada jual beli biasa sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini rancak dengan perniagaan di atas talian (online). Setakat ini tiada isu besar atau masalah yang dibangkitkan tentang perniagaan di atas talian, namun baru-baru ini ada khabar angin yang mengatakan SST bakal dikenakan kepada perniagaan di atas talian. Bagaimana kita mahu menerima dengan hati terbuka dan positif?
1) Pemantauan Perniagaan
Dengan pelaksanaan SST ke atas perniagaan atas talian pemantauan yang lebih jelas dan mudah boleh dilakukan. Cukai yang dikutip adalah mengikut aliran daripada rakyat kepada rakyat juga. Apa yang kita berikan akan dikembalikan akhirnya. Itulah konsep yang perlu difahami agar tidak berlaku rasa tidak puas hati dengan cukai yang mungkin bakal dilaksanakan kelak.
Peniaga yang sejati tidak berkiblatkan wang ringgit atau keuntungan sahaja. Cukai yang bakal dikenakan suatu masa kelak adalah suatu pemantauan agar para peniaga atau usahawan berada di landasan yang betul dalam perniagaan mereka. Dengan ini, dapat mengelakkan daripada berlaku masalah seperti penjualan barangan tidak asli mahupun harga yang terlalu tinggi.
2) Penyeragaman Dengan Bentuk Perniagaan Lain
Para peniaga biasa mahupun di atas talian kedua-duanya dikenakan cukai terhadap barangan mereka seperti cukai import dan kos-kos lain yang perlu ditanggung. Jika pelaksanaan SST dilakukan ia boleh menyeragamkan antara perniagaan biasa dengan di atas talian agar tiada perbezaan yang boleh mendatangkan rasa tidak puas hati.
Dengan kutipan cukai SST yang bakal dikenakan kelak ia dapat menepis stigma bahawa para penjual di atas talian diberikan keistimewaan dan pengecualian berbanding dengan peniaga biasa. Tidak dinafikan juga bahawa para penjual di atas talian mendapat keuntungan yang lumayan malah kadang-kala melebihi peniaga biasa. Untuk itu, biarlah kedua-dua pihak dikenakan implementasi yang sama.
3) Pembangunan Negara dan Ekonomi
Kutipan cukai digunakan ke arah mengurus, mentadbir dan membangunkan negara. Sebagai seorang individu peniaga cukai yang kita jelaskan adalah salah satu untuk membantu negara mahupun masyarakat keseluruhannya. Berbalik kepada fahaman bahawa cukai adalah daripada rakyat kepada rakyat. Mungkin anda berikan dalam bentuk tunai namun anda mendapat fasiliti dan prasarana yang lebih baik untuk perniagaan kelak.
Sebagaimana 94% wilayah di Amerika Syarikat yang mengenakan cukai terhadap pembelian di dalam talian Amazon. Walaupun pernah dikecam teruk oleh Presiden Donald Trump sendiri namun ia tetap ada baiknya juga. Sepatutnya tidak perlu ada beza dengan bayar cukai membeli di kedai fizikal berbanding bayar cukai membeli di atas talian.
4) Persaingan Yang Sihat
Pelaksanaan SST ke atas perniagaan di dalam talian tidak akan melumpuhkan kuasa jual beli pelanggan. Malahan ia akan menyemarakkan lagi proses perniagaan dan jual beli di Malaysia khususnya. Lihat sahaja dengan pelaksanaan GST pada barangan dan perkhidmatan sebelum ini langsung tidak menjejaskan ekonomi peniaga. Walaupun ada yang terjejas namun jualannya tidak berkurangan.
Apabila SST ke atas barangan di atas talian dilaksanakan ia akan mewujudkan suasana perniagaan yang lebih kompetitif dan masing-masing antara peniaga biasa mahupun penjual di atas talian. Ini kerana mereka mengikut panduan yang sama tanpa pengecualian mahupun keistimewaan yang berbeza.
Pelaksanaan SST ke atas barangan di atas talian masih di peringkat perbincangan dan tidak sahih lagi adakah ia akan dilaksanakan. Jika ia benar dilaksanakan kelak, para peniaga seharusnya sudah siap sedia menghadapinya dan tidak terlalu terkejut dengan perubahan ini. Di dalam perniagaan perkara baharu juga perlu, bukan?
Sumber Sudut Positif Jika Cukai SST Dilaksanakan Pada Perniagaan Atas Talian