Judul : Bahasa Rasmi Dan Bilangan Negaranya
link : Bahasa Rasmi Dan Bilangan Negaranya
Bahasa Rasmi Dan Bilangan Negaranya
Bahasa Rasmi adalah sebuah bahasa yang diberi status keistimewaan secara bertulis dalam perlembagaan di sesebuah negara, negeri ataupun bidang kuasa yang lain. Selalunya, bahasa rasmi digunakan dalam kerajaan sama ada dalam pengadilan, perundangan dan pentadbiran. Berdasarkan perlembagaan negara masing-masing, terdapat 178 negara telah menjadikan sekurang-kurangnya satu bahasa rasmi dan 101 daripadanya mengiktiraf lebih daripada satu bahasa.
Dalam kerajaan dan perundangannya, pengiktirafan bahasa rasmi terbahagi kepada dua iaitu secara de jure dan de facto. De facto menerangkan tentang amalan yang wujud dalam dunia sebenar walaupun tidak diiktiraf dalam undang-undang rasmi manakala de jure menerangkan tentang pengiktirafan secara bertulis tetapi sama ada diamalkan ataupun sebaliknya dalam dunia sebenar. Berikut adalah 10 bahasa rasmi sama ada secara de jure ataupun de facto dan bilangan negaranya di seluruh dunia.
Bahasa Inggeris adalah bahasa yang terbanyak. Sebanyak 59 negara telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Amerika Syarikat, India, Pakistan, Nigeria, Filipina dan United Kingdom adalah contoh negara penutur bahasa Inggeris (Anglophone).
Bahasa Perancis adalah bahasa kedua terbanyak. Bahasa Perancis adalah bahasa rasmi dalam 29 buah negara. Perancis, Republik Demokratik Kongo (DRC), Kanada dan Madagascar adalah contoh negara penutur bahasa tersebut (Francophone).
Bahasa ketiga terbanyak jatuh kepada bahasa Arab. Sebanyak 26 negara di dunia telah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi. Mesir, Sudan, Algeria, Iraq, Maghribi dan Arab Saudi adalah contoh negara penutur bahasa Arab (Arabophone).
Bahasa Sepanyol ataupun lebih dikenali sebagai bahasa Kastil ataupun Kastila adalah bahasa keempat terbanyak. Sebanyak 21 negara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Antara negara penutur bahasa Sepanyol (Hispanic) adalah Mexico, Sepanyol, Colombia dan Argentina.
Adik-beradik bahasa Sepanyol iaitu bahasa Portugis adalah bahasa kelima terbanyak di dunia. Sebanyak sembilan (9) negara menjadikan bahasa itu sebagai bahasa rasmi. Brazil, Portugal, Mozambique dan Angola adalah contoh negara penutur bahasa Portugis (Lusophone).
Adik-beradik bahasa Inggeris iaitu bahasa Jerman adalah bahasa keenam terbanyak di dunia. Sebanyak enam (6) negara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Jerman, Austria, Switzerland, Belgium, Luxembourg dan Liechtenstein adalah negara penutur bahasa Jerman (Germanophone).
Bahasa Serbo-Croatia adalah bahasa ketujuh terbanyak di dunia. Sebanyak lima (5) negara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Bahasa Serbo-Croatia adalah bahasa rasmi di Serbia (Bahasa Serbia), Croatia (Bahasa Croatia), Bosnia dan Herzegovina (Bahasa Bosnia), Montenegro (Bahasa Montenegro) serta Kosovo.
Bahasa Itali, bahasa Melayu, bahasa Rusia dan bahasa Swahili adalah bahasa kelapan terbanyak. Sebanyak empat (4) negara telah menjadikan bahasa-bahasa itu sebagai bahasa rasmi. Bahasa Itali adalah bahasa rasmi di Itali, Switzerland, San Marino dan kota Vatikan. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di Malaysia (Bahasa Malaysia), Indonesia (Bahasa Indonesia), Brunei (Bahasa Melayu) dan Singapura (Bahasa Melayu). Rusia, Kazakhstan, Belarus dan Kyrgyzstan telah menjadikan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi. Bahasa Swahili adalah bahasa rasmi di Kenya, Tanzania, Uganda dan Rwanda.
Bahasa Belanda, Hindi, Parsi, Tamil, Quechua dan Cina adalah bahasa kesembilan terbanyak. Sebanyak tiga (3) negara telah menjadikan bahasa-bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Belanda, Belgium dan Surinam menjadikan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi. Bahasa Hindi adalah bahasa rasmi di Fiji, India dan Pakistan. Bahasa Parsi di Iran, Afghanistan (Bahasa Dari) dan Tajikistan (Bahasa Tajik). Tamil di Sri Lanka, Singapura dan India. Quechua di Peru, Bolivia dan Ecuador. Bahasa Cina di China, Singapura dan Taiwan.
Berikut adalah bahasa kesepuluh terbanyak. Sebanyak dua (2) negara menjadikan bahasa berikut sebagai bahasa rasmi. Bahasa tersebut adalah Albania (Albania dan Kosovo), Aymara (Peru dan Bolivia), Bengali (Bangladesh dan India), Berber (Algeria dan Maghribi), Yunani (Greece dan Cyprus), Guarani (Bolivia dan Paraguay), Hausa (Nigeria dan Niger), Korea (Korea Utara dan Korea Selatan), Romania (Romania dan Moldova), Rwanda-Rundi [Burundi (Kirundi) dan Rwanda (Kinyarwanda)], Sotho (Afrika Selatan dan Lesotho), Swati (Swaziland dan Afrika Selatan), Svensk (Sweden dan Finland), Tswana (Afrika Selatan dan Botswana), Turki (Turki dan Cyprus) serta Kantonis [China (Guandong), Hong Kong dan Macau].
Kesimpulannya, banyak negara mempunyai sekurang-kurangnya satu bahasa rasmi menurut perlembagaan. Bergantung kepada perlembagaan dalam negara masing-masing, bahasa yang secara umumnya sama menurut ahli Linguistik telah dinamakan semula kerana pelbagai tujuan sama ada tujuan baik mahupun sebaliknya.
Artikel disumbangkan oleh Alam Bahasa untuk The Patriots.