Judul : "Aku Lalui Emosi Berpantang Yang Menakutkan Jasad Bak Nyawa Ikan, Ada Pula Suara Mengajak Supaya..."
link : "Aku Lalui Emosi Berpantang Yang Menakutkan Jasad Bak Nyawa Ikan, Ada Pula Suara Mengajak Supaya..."
"Aku Lalui Emosi Berpantang Yang Menakutkan Jasad Bak Nyawa Ikan, Ada Pula Suara Mengajak Supaya..."
Wanita ini, Puan Dhuha Rashidi alami pengalaman berpantang yang menakutkan. Selepas tamat tempoh 44 hari, perjalanan emosinya lebih sayu untuk dihadam kisahnya.
“Kau bacalah. Baca karangan panjang ni untuk sekali ini. Kisah benar yang aku alami satu masa dulu. Ambil ikhtibar dari pengalaman aku. Tolong SHARE supaya jadi panduan buat suami atau isteri dan seluruh keluarga sokongan.”
Aku Bersalin Tanpa Ada Guide
Tahun 2012 aku lahirkan Nour yang comel. Seberat 2.1kg saja. Memang ada orang yang tak berani nak pegang Nour waktu tu sebab kecik sangat. Waktu mengandungkan Nour pun aku dah mula lalui ujian demi ujian. Air ketuban pecah pun sebab terlalu aktif ke sana ke mari menghadapi banjir waktu tu. Habis ruang tamu kena masuk air. Alihkan barang yang mana boleh. Ikutkan due lagi 2 minggu lebih.
Aku bersalin tanpa ada guide. Kira macam tak dapat ‘personal touch’ lah dari orang pengalaman. Berbekalkan nasihat emak yang jauh. Aku google tips sewaktu mengandung, sewaktu bersalin dan waktu berpantang. Baca pengalaman orang yang dah pernah bersalin. Ada lah orang kata pengetahuan sikit sebanyak kan.
Bagi perempuan kali pertama bersalin ni, memang akan rasa kekok dengan perubahan tu . Mana taknya sekelip mata je lahirnya insan baru yang menjadi tanggungjawab baru suami dan isteri.
Dari tak biasa berjaga malam untuk tengok baby. Kena lah berjaga malam sebab nak menyusukan, tengok kencing berak dia. Cek perut kembung. Kalau baby yang ada masalah ? Lagi kena pantau.
Bukan setakat itu je. Masalah kesihatan ibu lagi. Masalah kesihatan bayi yang kita tak jangka. Anak tak pandai ‘latch’ betul waktu menyusu. Bila anak tak pandai menyusu, ibu kena sabar banyak sebab nak pastikan anak dapat susu. Perut kembung. Anak meragam. Kena tuam lagi. Ibu pulak dah mula sengal-sengal bisa dalam badan. Fuh!!
Tekanan demi tekanan mula terjadi. Walaupun macam aku cakap tadi. Dah study sesiap dah kan. Tapi pengalaman orang tetap takkan sama dengan pengalaman yang bakal kita lalui.
Waktu macam ni lah emosi ibu berpantang sangat mudah terganggu. Orang yang paling penting untuk beri sokongan waktu-waktu macam ni tentulah suami. Suami ni macam watak utama untuk bantu isteri kuat semangat.
Ni Cerita Kisah Aku
Nour warded selepas beberapa hari bersalin. Waktu tu Aidil Adha. Hampir seminggu kat hospital. Kena jaundis yang agak teruk. Bayangkanlah di hospital, terpaksa pangku dia bila waktu nak menyusu disebabkan oleh kesukaran menyusu dengan baik.
Duduk kat hospital dengan badan menggigil sejuk. Walaupun pakaian berlapis-lapis. Suami tak boleh masuk selalu dalam ward khas. Jalan ke bilik air pun macam kaki rengkot. Orang siap tanya lagi, awak ceaser ke macam teruk sangat je jalan macam tu. Tak lah. Normal. Baby pun kecik. Tapi sebenarnya bila aku fikir balik, yang lebihnya adalah rasa trauma. Ya TRAUMA.
Kata Dr. Grace Lim, pengarah anestesiologi obstetrik di Hospital Wanita Magee daripada Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh, aku baca, trauma sakit waktu proses bersalin ni lah satu perkara penting kena ambil kira sebab boleh menjadi kesan kepada psikology si ibu kalau tak tangani dengan baik.
Sakit proses bersalin tu, sakit contraction tu maksudnya. Dari bukaan 2 sampai 9 tu. Kena faham bebetul.
Trauma proses bersalin ni ditambah dengan kesukaran selepas melahirkan menambahkan aku punya stress. Suami pun dalam penat tu kena juga berkorban datang hospital, bawa apa barang yang aku kirim, untuk kurangkan segala rasa tak selesa.
Kami pergi tengok Nour kat ward khas rawatan baby bila dia terpaksa dimasukkan ke sana. Tengok doktor nurse gelabah semacam pun buat aku berdebar. Anak sendiri kan. Aku rasa dapat ke aku tengok lagi Nour untuk hari esok. Sayuuuu semacam.
Perasaan sayu hiba yang datang tu bukan dibuat-buat. Buka sengaja cipta untuk mengada-ngada. Aku takde mak bapak yang tolong bagi sokongan waktu tu. Takde adik beradik yang datang hospital bagi sokongan.
Suami je yang ada. Tu pun nurse tak bagi masuk dalam, hanya ada waktu tertentu je. Bila tengah malam, rasa nak pergi tandas, aku masuk bilik air, kepala rasa pening. Memang fikiran terawang-awang. Penat kat hospital. Tidur duduk.
Waktu kat hospital tu lagi aku dah terfikir bukan-bukan. Bila kat bilik air macam ada bisikan-bisikan. Suara-suara macam bersembang kat pasar. Terawang-awang. Cepat-cepat aku selesaikan urus diri. Pergi duduk semula kat katil. Pergi tempat yang ada orang. Seram.
Bila keluar wad balik rumah keadaan jadi makin teruk.
Waktu Sorang Sorang Nilah Macam Macam Gangguan Dahsyat
Suami pulak kena mengajar belah malam. Kelas atas kerjasama kami sendiri waktu mulakan hidup lepas kawin. Habis kelas jam 10.
Waktu sorang-sorang ni lah memang datang macam-macam gangguan yang lagi dahsyat. Waktu siang rasa okey . Bila lepas Asar atau maghrib je mula rasa resah. Sampailah membawa ke tengah malam sampai subuh.
Banyak kali aku menangis. Tekanan demi tekanan aku rasai waktu itu yang sebenarnya lebih banyak lagi tapi tak perlu aku ceritakan terlalu banyak. Orang berpantang ni memang mudah lemah semangat.
Tak mampu bergerak aktif. Malas nak susahkan orang. Tapi tak mampu nak buat sendiri makanya makan hati lebih banyak dari menyelesaikan masalah. Bila dah pendam perasaan. Ditambah lagi dengan cepat sentap dan mudah terasa. Itu yang emosi terus menjadi –jadi.
Aku menangis pun bukan sebab apa. Waktu tu fikir suami tak ambil berat lah apalah tau. Padahal suami dah buat banyak benda. Sediakan air mandian. Memasak. Mengemas. Macam-macam lagi lah.
Cuma yang masalahnya, bila terlalu fikir sangat orang tak faham, orang tak peduli, tiada siapa hiraukan, lepas tu ditambah lagi dengan rasa gagal menyusukan anak. Memang emosi rasa tak puas hati. Rasa susah. Sedih. Kecewa. Sukar. Berat. Memang boleh jadi depression.
Pernah terjadi, aku terlelap. Tiba-tiba aku terkejut. Aku rasa Nour hilang. Aku cari-cari mana Nour. Padahal ada je aku tengah riba kan dia. Sedih sangat. Aku ingat lagi.
Orang Datang Tengok Baby Dengan Ayat Ayat Menakutkan
Lagi menyampah apa tau ? Bila ada orang datang ke rumah, konon nak melawat mak dan baby ni ha, tapi yang dibaginya ayat-ayat yang menakutkan.
“Ko jangan nak bersila ke nak bersimpuh ke, kaki tu biar melunjur je, pakai bengkung ketat-ketat, haaa…nanti luka bersalin lambat sembuh nantiiiii.. mak hakak cukup marah tau kalau hakak ni bersila, esoooookkkk.. jangan buat main tau, suami kau pun boleh cari pompuan lain.”
Kau rasa nak lempang ke nak penampo ? Tolonglah orang yang melawat ibu berpantang. Amatlah tak sesuai nak bagi nasihat sampah macam ni. Jaga pertuturan. Bagi semangat yang positif. Bagi dorongan. Doakan yang baik-baik. Waktu tu aku yang stress jadi makin stress. Emosi aku berganda-ganda terganggu.
Lama-lama bertempek lagilah kesedihan-kesedihan baru. Mudah terfikir. Mudah sedih. Mudah menangis. Satu hari tu, aku rasa sedih sangat. Aku sedih sebab rasa susahnya menyusukan anak. Aku alami masalah mastitis. Kau google jelah benda apa tu. Bila suami balik kerja , rasa tak tahan , aku menangis tiba-tiba. Aku rasa down sangat.
Cepat-cepat suami tenangkan aku. Apa yang aku nak cakap kat sini, bila berlaku situasi isteri down waktu pantang, suami memang kena beri sokongan. Sokongan bukan setakat pujuk. Suruh sabar. Suruh istighfar je.
Tapi sentuh tangan isteri. Terus peluk isteri. Baca ayat suci selawat semua kat ubun-ubun isteri. Pegang tangan isteri erat-erat supaya semangatnya pelan-pelan naik balik. Supaya isteri tak rasa down sehingga membawa kepada kemurungan yang teruk. Jangan biar sebab ia boleh jadi bahaya untuk psikologi ibu.
Bila aku tak tahan sakit, terus kitorang pergi beberapa kali ke hospital ambil sample nanah. Tunggu kat emergency pun dari tengah malam sampai subuh. Ya Allah sangat derita waktu tu. Memang masing-masing berkorban waktu. Akhirnya , Nour terpaksa menyusu dengan kakak aku dalam tempoh aku dalam rawatan. Sebab itu lah Nour ada mama dan papa.
Namun, ujian aku bukan takat tu je. Ada lagi keadaan yang aku alami jadi lebih dahsyat.
Ternampak Orang Tua Gemuk Putus Sebelah Kaki Mengesot Di Tangga
Satu malam tu , aku menahan sakit lagi. Ditambah dengan Nour meragam entah apa yang tak kena. Merengek macam gelisah. Menangis tak sudah-sudah. Ayat Quran dah memang pasang selalu. Pintu bilik pulak terbuka luas menghadap ruang tamu atas dan menghadap tangga.
Tiba-tiba aku dengar bunyi rengekan orang minta tolong sambil menangis. Cepat-cepat aku panggil adik aku yang ada kat bilik lain. Kebetulan diorang ada datang. Buat semangat. Suami tengah mengajar malam waktu tu.
Entah macamana aku ternampak seorang tua yang gemuk putus sebelah kakinya mengesot dari tangga bawah naik ke atas. Dalam rasa panik tu, aku jerit sekuat hati, aku jerkah makhluk ni.
Yang aku ingat dia cakap , “Tolonglah kesian dekat keluarga aku, kesian lah dekat adik aku, dia sakit, tolonglah keluarga aku.” sambil tu aku nampak makhluk tua ni mengesot nak masuk bilik aku.
Aku pun marah lah. “Kau jejak badan kau dalam bilik ni, kau memang cari pasal, jangan ganggu aku , jangan ganggu anak aku,”. Ya Allah. Kalau aku jenis penakut dan ikuuuttt je. Aku tak tak tahulah apa yang benda ni akan suruh aku buat. Dah lah aku tengah sakit , down, berpantang pulak tu. Kekuatan yang aku dapat malam tu semuanya dengan petunjuk Allah.
Walaupun aku nampak kuat untuk ‘melawan’ gangguan ni, aku tetap manusia biasa . Aku seorang wanita berpantang waktu itu. Orang tengah berpantang ni kau kena tahu semangat dalamannya lemah. Gangguan yang berulang kali macam ni buatkan aku lebih tertekan. Tak tidur malam !
Setiap malam tentulah kami tak dapat tidur nyenyak. Aku letih. Suami aku pun letih. Pada satu malam tu, entah macamana aku rasa teramat stress. Perasaan ni dah bercampur baur. Ye lah ada je hal tak habis-habis. Penat. Tak cukup tidur. Sakit. Bila semua perasaan tu aku pendam. Tak pandai pulak nak luah. Makin lama makin tak tahan.
Waktu tu suami tengah tidur. Nour terjaga malam dan aku lembik sangat rasa. Lagi aku dengar dia menangis, lagi aku stress. Aku jadi tak boleh dengar tangisan dia. Runsing. Rimas.
Entah macamana aku menjerit dan aku campak Nour kat sebelah aku. Suami aku terkejut dan terjaga dari tidur terus ambik Nour yang menangis. Dia peluk Nour. Sedih sangat bila kenang situasi ni.
Aku ingat aku cakap “ aku tak nak budak ni, aku rimas, aku runsing, aku penat, pergi bawak dia jauh-jauh.” Sambil tu jugak suami aku tenangkan aku. Aku tau dia juga sangat tabah lalui benda ni.
Kau faham tak perasaan aku ni , kawan ?
Aku Alami Anxiety Disorder Yang Teruk
Bila aku tengok perkembangan Nour sekarang aku rasa sangat bersyukur. Bila tengok video waktu kecil dia, aku je yang rasa apa naluri keibuan aku rasa.
Tapi .. tapi.. tapi , walaupun keadaan tu semua boleh berlalu pergi. Tiada lagi gangguan. Tiada lagi rasa runsing. Rupanya, bekas-bekas saki baki masih tersimpan didalam. Emosi dalaman masih tak terubat. Sampai lah aku mendapat masalah anxiety disorder yang teruk.
Tengok gunting rasa nak ambil. Tengok pisau rasa seram nak pegang. Waktu potong sayur kat dapur pun, terfikir bukan-bukan. Aku dah mula rasa aku tak normal. Aku takut masak. Aku takut makan. Aku takut masuk kereta. Aku takut sorang-sorang. Aku takut tidur. Aku takut angkat telefon. Aku lebih suka menyendiri. Aku fikir esok aku mati. Aku duduk atas sejadah menangis sebab takut.
Sangat tak normal. Aku bagitahu suami dan jumpa doktor pergi hospital klinik. Sampai last tu aku terfikir nak jumpa doktor psikiatri. Dah mula buat ujian anxiety online. Survey doctor pakar.
Pernah aku jumpa doktor. Ada yang gelakkan aku. Kata aku tiada penyakit. Pergi buat check jantung sebab asyik ditekan-tekan waktu tidur. Pun normal. Akhirnya, Allah takdirkan aku terjumpa seorang bekas pesakit anxiety. Aku mula mendapat jawapan demi jawapan.
Aku jadi mudah tertekan. Mudah marah. Mudah tak puas hati. Selalu merungut. Itu semua kejap terkawal kejap kacau bilau. Rupanya trauma tersembunyi tu masih ada. Sampai mengandungkan Elham pun berlaku ujian dan dugaan. Aku jatuh bilik air waktu dah sarat mengandung.
Memang sakit sangat sebab hentakan. Lepas tu waktu Elham dah 4 bulan, pun ada tergelincir depan peti ais sebab tak perasaan air jernih kat lantai.
Pernah aku jadi tak tahan , aku stress. Tertekan. Rasa berat. Aku hancurkan mainan diorang. Aku menyendiri. Aku rasa teruk. Aku rasa gagal. Anak anak jadi takut.
Bila tengok anak-anak menangis. Aku rasa tak gunanya diri aku ni. Sampai bila aku nak macamni. Aku tak boleh putus asa. Aku push diri aku.
Aku cakap kat diri aku. Dhuhaaaa ! Bangkit !!!
Bangkit !
Bangkit !
Bangkit !
Aku Belajar Bangkit
Orang tidak tahu bagaimana dan kenapa aku bangkit dan memilih untuk berani. Sehingga segala perlian dan sindiran orang aku malas ambil peduli lagi. Sebab ialah aku pernah kehilangan sebuah JIWA. Tinggal aku masih dianugerahkan sebuah NYAWA.
Satu hari tu, ada seorang lelaki bertubuh sederhana berjubah putih datang dalam mimpi aku. Solat kat sebelah dan suruh aku baca ayat Al-Quran. Dia ajar aku baca Surah Al-Mulk.
Pernah aku mimpi, aku nampak diri aku yang dah mati, tunggu nak kena mandi. Aku dapat rasa diri aku kaku. Tapi tak mampu berkata-kata. Bila aku bangun dan masih ada nyawa lagi. Aku rasa tiada kesempatan untuk berputus asa. Allah bagi peluang lagi.
Pernah satu masa lalu, aku sakit misteri. Tengoklah gambar aku tu. Muka sugul. Pucat teruk. Dua jam lebih ustaz bantu aku yang macam nyawa ikan. Waktu tu ada satu suara yang mengajak aku untuk mati sekali. Tapi macam ada kekuatan dalaman dan keberanian entah apa maksudnya. Peluang nyawa untuk berbakti.
Dari situ, aku terus mencari penawar. Mula mencari diri. Diri yang sejati. Aku mencari siapa aku.
Sampai saat kemuncaknya, aku terjumpa dengan insan yang diizinkan Allah untuk sampaikan kasih sayang Allah melalui terapi penyembuhan hati. Beliau adalah Coach Nora Zyan. Bukan sekali dua. Tapi berkali-kali. Sehinggalah aku jumpa kembali sinar dalam diri. Menggali potensi diri.
Berjumpa beliau bukan satu kemegahan. Tetapi ia semata-mata bukti Allah Maha Pengasih. Allah Maha Penyayang. Allah Maha Pencinta. Allah Maha Menerima Taubat HambaNya. Segalanya atas kuasaNya. Tiada Tuhan melainkan Allah.
Sebab itu aku rasa aku patut menghargai anugerah-anugerah Allah yang hadir dalam hidup aku. Begitu juga kau kawan, hanya dengan mensyukuri dan menghargai boleh bantu kau jadi orang yang tabah dan terus kuat. Allah sayang kau, sebab itu Allah uji begitu dan begini kisah hidup kau.
Bukan Mudah Cari Penawar, Tapi Penyembuhnya Tetap Ada
Bila terbaca kisah ibu yang alami gangguan sehingga meragut nyawa darah daging sendiri apa kau rasa? Tentu sekali tiada jawapan yang pasti mengapa perkara macamni boleh terjadi.
Ada yang faham,benarkah faham. Ada juga yang mendoakan. Ada yang sedih. Ada yang rasa takut. Ada yang geram. Ada juga yang marah. Ada yang tak fikir dulu sebelum cakap terus mengutuk.
Sesiapapun hakikatnya tidak tahu apa sebenarnya yang dilalui oleh individu yang alami situasi begini. Yang utamanya ialah tiada siapa juga yang tahu dari mana titik mula gangguan perasaan itu hadir dalam diri seseorang yang alami masalah ini.
Orang yang tidak ada pengalaman dalam hal gangguan dan tekanan memang boleh memberi pendapat dan nasihat. Kalau nak elak benda ni berlaku, rajin-rajin beristighfar lah, rajinkan solat lah, rajinkan baca Quran lah, dekatkan diri dengan Allah dan bermacam nasihat baik-baik. Ia memang tidak salah.
Namun, nasihat ini bukan jawapan paling tepat untuk situasi khusus bagi wanita yang alami masalah postpartum depression atau anxiety .
Istighfar, baca Quran dan lain-lain tu boleh dikatakan hanya penyembuhan lapisan luaran semata-mata. Yang perlu di betulkan sebenarnya ialah lapisan yang lebih dalam disebalik amalan-amalan di lapisan luar yang ditulis tadi.
Ada pulak yang bunyinya macam ugutan. Ingat sikit, kita ni ada agama. Berdosa tau tak. Oh, yang tidak lalui senang saja berkata-kata. Tapi, ia sebenarnya bukan semudah itu.
Aku sendiri pernah lalui betapa dahsyatnya perasaan yang entah dari mana ia datang. Bisikan-bisikan yang gila. Suara-suara yang memanggil. Kisah berpantang yang menakutkan dan menyedihkan.
Tanpa aku minta. Tanpa aku sedar perasaan itu tumbuh dalam diri. Sehingga Allah beri aku petunjuk jalan untuk pulihkan diri. Bangkit dari kelesuan dan kecelaruan hidup.
Ini Pesanan Aku
Walaupun kisah kita tak sama, tapi ingat, apa saja bentuk-bentuk ujian Allah berikan pada kita, semuanya untuk membuktikan kita hanyalah seorang hamba Nya. Yang satu masa nanti, roh ini perlu kembali kepadaNya.
Pesanan aku :
1. Orang di sekeliling yang terlibat dalam ujian-ujian yang datang tiada seorang pun yang bersalah kerana mereka hanyalah watak yang hadir di sepanjang nyawa masih ada.
2. Buat lelaki , cuba lah buat isteri berasa tenang hidup bersama. Kerana ketenangan dan ikhlas tidak boleh ditunjuk, tapi ia hanya dapat dirasa. Ia bukan ditunjuk dengan wang harta atau benda. Tetapi sesuatu yang dapat dirasa.
3. Buat wanita. Bukan semua orang sesuai untuk kau luahkan masalah. Kalau sudah tahap suami pun bukan tempat sesuai, carilah insan yang betul untuk kau luahkan sesuatu yang tertahan didalam hati. Jangan dipendam sampai jadi penyakit.
4. Tiada penyembuhan dalaman selain kau belajar mengenal hakikat diri. Bila kau kenal siapa diri kau yang sebenar, kau akan tahu siapa yang ciptakan kau. Kau akan kenali Allah umpama itulah kali pertama kau jumpa Dia.
5. Disaat kau rasa tiada tempat untuk bersandar. Ingatlah. Bahawa, ianya benar. Kerana Allah beri kau ujian untuk kau ‘bersandar’ dan bergantung kepadaNya semata.
Dari sinilah jua terwujudnya Khaliframe™ “Dari hati ingin bahagia untuk membahagiakan”
Jadilah wanita kesatriaan mencari cinta Tuhan.
Kau temui keajaiban. Biiznillah.
Nota : Puan Dhuha Rashidi juga sentiasa berkongsi kisah inspirasi dirinya di facebooknya.
Sumber/Foto : Puan Dhuha Rashidi via mingguan wanita
Sumber "Aku Lalui Emosi Berpantang Yang Menakutkan Jasad Bak Nyawa Ikan, Ada Pula Suara Mengajak Supaya..."
Demikianlah Artikel "Aku Lalui Emosi Berpantang Yang Menakutkan Jasad Bak Nyawa Ikan, Ada Pula Suara Mengajak Supaya..."
Sekianlah artikel "Aku Lalui Emosi Berpantang Yang Menakutkan Jasad Bak Nyawa Ikan, Ada Pula Suara Mengajak Supaya..." kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, Karena keterbatasan pengetahuan maupun pengalaman kami, Kami yakin masih banyak kekurangan dalam makalah ini, Oleh karena itu kami sangat mengharapkan saran dan kritik yang membangun dari pembaca demi kesempurnaan artikel ini.