Judul : Panglima Bakir Dari Saribas Diracun!
link : Panglima Bakir Dari Saribas Diracun!
Panglima Bakir Dari Saribas Diracun!
RAKYAT Sarawak sendiri mungkin tertanya-tanya siapakah gerangan individu yang bernama Panglima Bakir dari Saribas kerana agak kurang pendedahan cerita sejarahnya di Sarawak itu sendiri. Namun begitu sekiranya kita rajin menggodek jurnal-jurnal lama sewaktu Brooke di Sarawak sudah tentu nama ini agak popular didendangkan kerana Panglima Bakir dari Saribas merupakan antara pemimpin yang pro Brooke suatu waktu dahulu lebih-lebih merupakan sahabat karib kepada Tuan Muda Charles Brooke (sebelum menjadi Tuan Rajah menggantikan ayah saudaranya James Brooke).
Antara konflik perang yang disertai oleh Panglima Bakir dari Saribas adalah untuk mempertahankan Kubu Lily di Betong pada tahun 1885 bersama-sama dengan Tuan Muda Charles Brooke pada masa itu. Difahamkan Kubu Lily yang menjadi lambang kekuasaan Brooke di Betong cuba untuk diserang oleh seorang pengikut setia Rentap yang bernama Aji Apai Limpa. Ini kerana beliau tidak berpuashati dengan Tuan Muda Charles Brooke dan angkatannya yang telah memusnah dan membakar rumah panjangnya di Nanga Padeh pada tahun 1884. Pada ketika inilah Panglima Bakir dengan angkatan Melayu Saribas telah bersama-sama Brooke untuk mempertahankan Kubu Lily biarpun akhirnya Aji Apai Limpa membatalkan niatnya atas sebab-sebab tertentu.
Dengan nama sebenarnya Ampuan Bakir bin Salleh dan berasal dari Saribas, Panglima Bakir dicatatkan sebagai seorang yang pernah bertugas sebagai panglima atau pengawal peribadi kepada Datu Abang Haji Muhammad iaitu seorang Pegawai Anak Negeri (Native Officer) di Sibu, Bahagian Ketiga Sarawak pada tahun 1875. Turut dinyatakan Panglima Bakir yang terkenal sebagai seorang anak Melayu yang pandai ilmu mempertahankan diri serta bermain senjata merupakan sepupu sekali kepada Datu Abang Haji Muhammad sendiri dan kerana itulah segala hal keselamatan beliau diserahkan di tangan sepupunya sendiri.
Ada satu ketika diceritakan Panglima Bakir mohon untuk bercuti sementara dari tugasannya sebagai Panglima kerana ingin mengembara dengan belayar menggunakan jong atau kapal layarnya melihat negeri orang. Setelah siaga segala kelengkapan untuk belayar maka berangkatlah Panglima Bakir bersama-sama dengan Abang Bujang (anak kepada Datu Abang Haji Muhammad yang baru angkat bujang), Awang Inut (anak Panglima Bakir) dan beberapa orang anak tempatan dari Sibu menuju destinasi utara Pulau Borneo.
Setelah banyak perhentian mereka singgahi sewaktu di dalam pelayaran akhirnya mereka sampai ke utara Borneo iaitu satu pulau yang dinamakan sebagai Pulau Simpang Mengayau. Jika kita merujuk kepada lokasi peta sekarang apa yang disebut sebagai Simpang Mengayau itu sememangnya wujud iaitu terletak di kawasan Kudat, Sabah. Satu kawasan yang terkenal dengan keindahan pantainya serta pelancongannya di Sabah.
Itu cerita sekarang mengenai Simpang Mengayau yang sudah tentu berasak-asak memanggil pelancong menyinggahi tempat mereka namun suatu ketika dahulu ketika semangat jatidiri begitu menebal di kalangan rakyat tempatan, barangsiapa yang bukan orang tempatan akan sentiasa tidak dialu-alukan kedatangan mereka. Dan diceritakan penduduk di Pulau Simpang Mengayau tersangat kebal dan sentiasa berwaspada menjaga pulau mereka dari dimasuki oleh sesiapa. Dek kerana begitu ketat mereka menjaga maka banyak kapal hanya berlabuh di kawasan lautan tidak jauh dari pulau dan jarang yang berani hampir ke jeti pulau.
Namun untuk kes jong Panglima Bakir lain pula ceritanya. Walau begitu ketat dijaga kawasan Pulau Simpang Mengayau, pada satu subuh yang hening tanpa disangka-sangka tiba-tiba sebuah jong atau kapal layar yang mengibarkan bendera Sarawak mampu berlabuh di jeti pulau tanpa disedari. Malah dikatakan tiada seorang pun pengawal jeti Pulau Simpang Mengayau yang melihat bagaimana dan kenapa jong tersebut mampu berlabuh dengan begitu mudah dengan pandangan kasar.
Atas hal yang tidak disenangi ini cukup membuatkan keriuhan di Pulau Simpang Mengayau itu sendiri. Ini kerana mereka almaklum sesiapa sahaja yang berada dan menjadi juragan jong yang mengibarkan bendera Sarawak itu bukanlah pelayar yang sembarangan. Kalau ilmu hanya sekerat mana mungkin boleh menembusi halangan ketat kawalan penduduk Pulau Simpang Mengayau yang juga turut terserlah sebagai antara “orang pulau” yang cukup “ilmu” di dada mereka. Dek kerana itulah, Penghulu Pulau merasakan dirinya tercabar lantas mengundang Panglima Bakir untuk naik ke darat dengan alasan bertukar-tukar fikiran dengan tetamu yang baru tiba.
Jemputan daripada Penghulu Pulau bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan malah jika tidak diterima ianya adalah satu perbuatan yang biadap biarpun hakikatnya Panglima Bakir mengetahui sudah tentu ada hal yang tidak baik berlaku. Dek kerana sebagai seorang muslim yang segalanya berserah dan bertawakal kepada Allah maka beliau bersama Abang Bujang dan Awang Inut menyantuni ajakan Penghulu Pulau tersebut. Sebelum memijak tangga rumah Penghulu Pulau itu lantas Panglima Bakir berpesan kepada anak dan anak saudaranya. Walau apa jua yang terjadi, Abang Bujang dan Awang Inut harus segera pulang ke Sibu tanpa beliau ada sekalipun.
Dipendekkan cerita ketika di rumah Penghulu Pulau, tetamu dari Sarawak dilayan seperti tiada apa yang berlaku malah mereka dijamu dengan pelbagai makanan. Tanpa merasa was-was Abang Bujang dan Awang Inut menikmati segala juadah yang disediakan dengan restu dari Panglima Bakir. Dan tatkala mereka pulang ke jong mereka di jeti, kedua-duanya sudah kekenyangan dan terus masuk tidur. Namun hal ini jauh berbeza dengan Panglima Bakir ini kerana sejak pulang itu juga dikhabarkan beliau sakit perut yang amat sangat dan disusuli dengan muntah darah.
Keesokan harinya baharulah Abang Muhammad dan Awang Inut serta anak kapal yang lain menyedari apa yang berlaku ke atas Panglima Bakir setelah melihat keadaannya yang pucat lesi dan sebagainya. Maka berusahalah mereka untuk mencari ubat bagi merawat beliau sehinggalah Panglima Bakir ketika di dalam separuh sedar mengarahkan anaknya untuk mencabut kayu turus pengikat perahu di jong mereka kemudian hiriskan kulitnya untuk dicampur di dalam air minumannya. Tanpa berlengah dan kasih sayang seorang anak kepada ayahnya melakukan apa sahaja untuk kesembuhan ayahnya.
Keesokannya, Panglima Bakir yang lemah sebelumnya sudah ceria dan kembali bertenaga malah sudah mampu mengimamkan solat Subuh di jong mereka. Dan beliau turut mengarahkan anak-anak buahnya untuk bersedia kerana mereka akan meninggalkan Pulau Simpang Mengayau pada hari itu. Cukuplah hanya tiga hari sahaja berada di pulau tersebut dan tibalah masa untuk kembali ke tanahair bertemu sanak saudara.
Dan sebelum beliau memulakan pelayaran balik, Panglima Bakir tekad untuk mengunjungi rumah Penghulu Pulau. Kedatangan beliau yang tanpa diundang itu telah menjadi kejutan kepada Penghulu dan anak-anak buahnya yang sedia ada. Ini kerana jika diikutkan kepada “rahsia” racun yang dihidangkan di dalam minuman Panglima Bakir, cukup tiga hari maka sudah habislah nyawa si peminumnya namun ini langsung tidak ada pada Panglima Bakir. Penghulu Pulau lantas memohon maaf kepada Panglima Bakir kerana terlalu berdendam ke atas perbuatan jong Panglima Bakir yang boleh memasuki jeti Pulau. Sedangkan ianya bukan disebabkan ilmu kebatinan yang tinggi tetapi kerana kelalaian anak-anak buahnya sendiri.
Di pihak Panglima Bakir pula sebagai seorang yang sudah biasa dengan diplomasi tidak mahu ianya dipanjang-panjangkan ini kerana kita semua bersaudara. Sebelum jong Panglima Bakir meninggalkan Pulau Simpang Mengayau dikatakan beliau bersumpah tidak mengizinkan anak cucunya sehingga tujuh keturunan mendatangi dan melawat Pulau Simpang Mengayau. Tidak lama kemudian, Panglima Bakir dan angkatan jongnya tiba di Sibu dan kembali ke pangkuan keluarga seadanya serta terus menabur bakti untuk keselamatan Sarawak sehingga ke akhir hayat.
Tikar pucuk tikar bangkuang
Tempat duduk Raja Melayu
Ikan busuk jangan dibuang
Pakai merampai sidaun kayu
Berbuat baik aduhai rakan
Ke dalam laut engkau campakkan
Jika tidak dikenal ikan
Tuhanmu Allah kenal ya kah bukan.
-HB-
#kameksayangSarawakbah!
Rujukan:
- http://bit.ly/2DuIMWy
- Borneo Oracle – Fort Lily, Betong
- Sidang temuramah penulis dengan generasi keluarga Orang Kaya Paduka Setia Diraja Abang Haji Bujang bin Abang Haji Muhammad, 21 Januari 2019, Kampung Boyan/Gresik, Kuching, Sarawak