Judul : Idayu bimbang diri dilupakan
link : Idayu bimbang diri dilupakan
Idayu bimbang diri dilupakan
KUALA LUMPUR: Selepas menjuarai program Akademi Fantasia (AF) Megastar, Oktober lalu, Idayu mengaku dirinya tidak putus menerima undangan mengadakan persembahan.
Namun, mungkin kelibatnya di media massa yang kurang menonjol, membuatkan sesetengah pihak berasakan momentum kepulangan semula dirinya ke persada seni kini bagai sedikit sepi.
Sedar dengan situasi dialami beberapa juara program realiti yang kembali suram selepas rancangan disertai berakhir, ia sedikit pun tidak menghalang wanita berusia 32 tahun ini untuk berusaha memahat nama dan memeriahkan industri dunia muzik tanah.
"Saya akui, bukannya mudah untuk seseorang artis bertahan dalam dunia seni. Begitupun, saya harus optimis dan kental melalui semua dugaan serta cabaran yang hadir.
"Ketika ini, semangat saya untuk berkarya berada pada tahap paling tinggi. Jujur, saya memang mengharapkan diri ini dihargai. Pada masa sama, saya juga bimbang andai nama dan bakat ini dilupakan begitu saja," katanya kepada BH Online.
Tegas Idayu , selepas AF Megastar berakhir, dia memang mengatur perancangan rapi agar dirinya tidak lenyap atau hilang daripada industri.
"Saya berharap tuah akan menyebelahi diri ini. Sehingga kini, sambutan yang saya terima amat positif. Lagu single Selamanya juga diterima baik, manakala undangan mengadakan persembahan juga tidak putus-putus," katanya.
Bercerita lanjut mengenai karya ciptaan sahabat baiknya sendiri, Amylea Azizan, Idayu berharap lagu terbabit terus menjadi isyarat kehadirannya ke persada seni bukan sekadar persinggahan.
"Saya bersyukur lagu itu dinyanyikan semula oleh orang ramai dan peminat, di laman sosial masing-masing mahupun di mana-mana acara.
"Saya sudah lama mencuba pelbagai genre dan lagu Selamanya boleh disifatkan ada kelainan dari segi muzik. Ia sangat segar dan semua golongan dapat menerimanya.
"Insya-Allah selepas ini, sebuah lagi single akan menyusul dan ia bakal menghiasi sebuah drama sepanjang 80 episod siaran Astro," katanya.
Sumber Idayu bimbang diri dilupakan