Judul : 74 Kontena bawa masuk daging kambing bercampur daging babi ke Malaysia berita palsu, 6 individu ditahan
link : 74 Kontena bawa masuk daging kambing bercampur daging babi ke Malaysia berita palsu, 6 individu ditahan
74 Kontena bawa masuk daging kambing bercampur daging babi ke Malaysia berita palsu, 6 individu ditahan
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan enam individu dalam enam serbuan berasingan tengah hari tadi selepas didakwa menyebarkan kenyataan palsu kononnya terdapat 74 kontena membawa masuk daging kambing bercampur daging babi ke Malaysia.
Berita yang dimuat naik di beberapa laman Facebook (FB) itu mendakwa 74 kontena berisi daging babi terlepas daripada pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, 17 Julai lalu.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM Datuk Mohd Shafie Harun berkata, bertindak hasil maklumat orang awam SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian melakukan serbuan pada tengah hari, hari ini di enam lokasi termasuk di Pendang, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan empat di Selangor iaitu Hulu Langat, Kapar, Puchong dan Seri Kembangan.
“Siasatan awal mendapati empat wanita dan dua lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an yang ditahan adalah pentadbir laman FB yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu berkenaan.
“Semua individu ini kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran lokasi mereka ditahan selain telefon pintar turut dirampas,” katanya ketika ditemui di IPD Kajang, hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu MAQIS menerusi kenyataan dibuat di portal sebenarnya.my sebelum ini turut menafikan berita tular terbabit.
Ketua Pengarah MAQIS Datuk Mokhtaruddin Husain berkata, hanya empat kontena yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor baru-baru ini dan hanya satu daripadanya bercampur antara daging babi dan kambing.
“Tiga yang lain memalsukan dokumen pengisytiharan kemasukan kerana mengimport daging daripada Sepanyol dan Brazil kerana seharusnya semua daging adalah di import daripada Australia.
“Justeru, orang ramai jangan was-was dengan daging import yang dibeli kerana pihaknya telah memastikan setiap kemasukan daging adalah selamat,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Sumber 74 Kontena bawa masuk daging kambing bercampur daging babi ke Malaysia berita palsu, 6 individu ditahan