Judul : Jelmaan ‘Sudirman’pada penutup Sukan SEA 2017
link : Jelmaan ‘Sudirman’pada penutup Sukan SEA 2017
Jelmaan ‘Sudirman’pada penutup Sukan SEA 2017
Selama ini, personaliti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi tidak pernah menyembunyikan kepada wartawan dan peminatnya bagaimana dia terlalu mengagumi Penghibur Nombor Satu Asia, Datuk Sudirman Arshad.
Kehebatan dan dedikasi Allahyarham Sudirman terhadap seni membuatkan Aznil sentiasa menjadi penghibur masyarakat itu sebagai rujukan utama setiap kali mengadakan persembahan.
Kepada Aznil, sumbangan besar Allahyarham Sudirman katanya, terhadap seni dan pembangunan negara perlu dikenang oleh generasi muda.
Sehubungan itu, apabila ditawarkan beraksi sempena majlis penutup Sukan SEA Ke-29 malam esok di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Aznil lantas terfikir untuk mengembalikan semula ingatan rakyat negara ini terhadap kegemilangan yang pernah dilakar oleh Allahyarham Sudirman.
Selepas melalui perbincangan dan kesepakatan, Aznil memberitahu, beliau memilih dua buah lagu Allahyarham Sudirman iaitu Balik Kampung dan 31 Ogos untuk dipentaskan pada majlis penutup acara sukan yang menghimpunkan atlet-atlet dari Asia Tenggara.
Kata Aznil lagi, objektif utama pementasan itu adalah mengajak seluruh rakyat Malaysia menyedari bahawa idea Allahyarham Sudirman tidak telan dek arus perubahan zaman.
“Mungkin ada di antara generasi baharu tak berpeluang menonton persembahan Sudirman sewaktu Sukan SEA 1989. Jadi, bila mereka (penganjur) nak saya buat persembahan, saya tanpa fikir panjang nak nyanyi lagu Sudirman.
“Saya nak penonton yang hadir di stadium dan penonton di rumah nampak apa yang saya bawa itu adalah idea yang tak telan dek zaman. Maknanya, idea dia masih lagi ke depan dan sehingga sekarang ia masih relevan,” katanya kepada Utusan Online.
Persembahan pengacara nombor satu negara itu juga tentunya akan lebih istimewa kerana beliau akan ditemani oleh anak saudara Allahyarham Sudirman, Atai.
Menurut Aznil, 54, beliau akan bergandingan dengan Atai untuk menjayakan segmen khas mengenang Sudirman dengan menggunakan props yang hampir sama pernah digunakan Allahyarham semasa mengadakan persembahan 28 tahun lalu.
Sementara untuk penyampaian lagu 31 Ogos pula, Aznil memberitahu, beliau akan menyarungkan baju bendera Malaysia berukuran lima meter.
“Lagu ini (31 Ogos) akan dinyanyikan sewaktu di ambang menyambut kemerdekaan negara,” katanya yang sangat berbesar hati kerana mendapat tajaan kain daripada syarikat pengeluar fabrik terbesar negara, Jakel.
Persembahan Aznil pada malam itu akan diiringi oleh sekumpulan pemuzik profesional diketuai Aubrey Suwito.
Bagi memastikan kejayaan persembahan istimewa sempena penutup Sukan SEA Ke-29 dan seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 negara juga, Aznil bersama para penari telah melakukan latihan intensif sejak dua minggu lalu.
Berkongsi saat menerima tawaran untuk mengabadikan sejarah Sudirman itu, Aznil merakamkan penghargaan yang tulus beliau kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bersungguh-sungguh mahu beliau menyertai persembahan untuk malam penutup acara sukan berkenaan.
“Saya rasa terharu dan dihargai bila ketika acara besar begini, nama saya tersenarai. Saya bersungguh dan sanggup untuk berhabis dan melabur untuk berikan satu persembahan yang akan diingati,” kata Aznil penuh semangat.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Jelmaan ‘Sudirman’pada penutup Sukan SEA 2017