Judul : Polis rampas senapang buatan sendiri di rumah kongsi Pati
link : Polis rampas senapang buatan sendiri di rumah kongsi Pati
Polis rampas senapang buatan sendiri di rumah kongsi Pati
Mustafar Ali berkata, ini bukan kali pertama senjata api ditemui dalam operasi imigresen dan ini membuktikan kehadiran warga asing turut menjadi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
VIDEO INSIDE
KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 1 laras senapang buatan sendiri serta 3 laras senapang belum disiapkan dalam pemeriksaan di sebuah penempatan pekerja asing di Kemahang 2, Tanah Merah, malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam pemeriksaan 10.30 malam itu, pihaknya turut merampas sejumlah bebola besi (ball bearing) yang dipercayai dijadikan peluru senapang berkenaan.
“Dalam pemeriksaan itu, semua barangan kes yang dirampas dijumpai dalam satu bangsal yang dijadikan bengkel membuat senjata api berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Beliau berkata, sebaik mendapat maklumat mengenai penemuan senjata api di rumah kongsi pekerja asing berkenaan, sebuah pasukan khas dihantar ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, sebaik pasukan khas itu tiba, semua pekerja asing sudah tiada kerana kawasan berkenaan terlebih dahulu diserbu Jabatan Imigresen yang menjalankan “Ops Kutip”.
Polis percaya rumah kongsi berkenaan menempatkan pekerja asing yang bekerja di kawasan ladang sawit berdekatan dan senjata api itu disyaki dibuat pekerja untuk tujuan berburu.
Di Putrajaya, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata, bengkel senjata api haram berkenaan ditemui semasa pasukan penguatkuasa imigresen memeriksa kawasan kepungan lokasi di bawah “Ops Kutip” di kawasan itu.
“Ini bukan kali pertama senjata api ditemui dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen. Sebelum ini, Jabatan Imigresen turut menemui senjata api dalam serbuan yang dijalankan.
“Ini membuktikan kehadiran warga asing di Malaysia bukan sekadar pendatang asing tanpa izin (Pati) tetapi ia turut menjadi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Mustafar berkata, dalam serbuan tersebut, pasukan pemeriksa Jabatan Imigresen menemui selaras senapang yang sudah siap dan 3 laras senapang masih dalam pembuatan.
Katanya, serbuan dibuat Jabatan Imigresen Kelantan itu diketuai Pengarah Negeri, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dengan 22 anggota berdasarkan maklumat awam dan risikan Jabatan Imigresen terdapat penempatan Pati di kawasan tanah rancangan kelapa sawit tersebut.
Kata Mustafar, seramai 81 pekerja asing diperiksa di lokasi serbuan dan 52 daripada mereka dibawa ke pejabat penguatkuasa Imigresen Kota Bharu kerana gagal mengemukakan pasport.
Pemeriksaan terperinci, pengesahan salinan dokumen perjalanan dan permit kerja mendapati 15 pekerja asing melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana dipercayai tinggal lebih masa.
“Warganegara asing terlibat itu dari Indonesia dan Bangladesh,” katanya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Polis rampas senapang buatan sendiri di rumah kongsi Pati