Judul : Pelukan 'tanda perpisahan'
link : Pelukan 'tanda perpisahan'
Pelukan 'tanda perpisahan'
KUANTAN: Wan Muhammad Mahathir Rafiqi Wan Kamaruzzaman yang memeluk ibunya, Rosnani Ibrahim sebelum berlepas menunaikan umrah pada Khamis lalu seolah-olah menjadi tanda perpisahan mereka.
Wan Muhammad Mahathir Rafiqi 14, maut dalam kejadian kemalangan di Kampung Batu Putih, di sini jam 5 pagi tadi bersama dua kakaknya, Wan Nur Athirah, 27, dan Wan Nur Afifah, 25.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di tepi jalan utama Pekan-Kuantan.
Dua lagi penumpang yang bersama mereka, iaitu ibu saudara, Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya, Nurul Aliani Zawawi, 25, kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ibu saudara mangsa mahu dikenali sebagai Mama, berkata dia sedih melihat gambar dirakam sebelum Rosnani dan suaminya, Wan Kamaruzzaman serta anak keempat mereka, Wan Nor Aqilah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan umrah pada Khamis lalu.
"Wan Muhammad Mahathir adalah pelajar sekolah pondok di Cherating rapat dengan ibunya kerana dia anak bongsu daripada lima beradik.
"Saya tidak sanggup tengok gambar mereka berpeluk buat kali terakhir itu," katanya yang turut berkongsi gambar itu dengan media ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
Ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Melaka ke Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu selepas melawat saudara, terdahulu pada Khamis lalu mereka menghantar Rosnani, Wan Kamaruzzaman dan Wan Nur Aqilah yang menunaikan umrah ke KLIA.
Mama berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 pagi tadi selepas dihubungi Nurul Aliani yang dapat keluar daripada kenderaan mereka yang termasuk ke parit di tepi jalan.
"Dia beritahu saya, tiga adik-beradik itu sudah meninggal dunia dan dia hanya dapat keluar selepas dua jam bergenang dalam air. Ibunya (Salmah) dapat dikeluarkan tidak berapa lama selepas itu.
"Luluh hati saya sebaik mendengar berita itu. Tidak tahu macam mana hendak beritahu ibu bapa mereka yang sedang mengerjakan umrah," katanya.
Dia berkata, jenazah tiga beradik itu yang kini dibedah siasat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur, Binjai, Kemaman.
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Wan Nur Afifah terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar batu penghadang dan termasuk ke dalam parit.
"Ia hanya disedari apabila orang awam melalui jalan itu pada jam 7.15 pagi, cuaca ketika kejadian adalah hujan dan berlaku di permukaan jalan rata," katanya yang mengesahkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber Pelukan 'tanda perpisahan'