Judul : Guru lemas dihanyut air deras
link : Guru lemas dihanyut air deras
Guru lemas dihanyut air deras
LIMBANG : Seorang guru ditemui lemas manakala suaminya selamat selepas mereka dihanyutkan arus deras air yang naik di Jambatan Bakol, Jalan Kubong, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa Norsiah Yusok, 52, dan suaminya Duroh Sinjan, 54, ditemui kira-kira satu kilometer dari pos kawalan bomba pada jam 5.03 pagi.
Bagaimanapun, ketika ditemui pasukan mencari dan menyelamat, Norsiah, wanita tempatan berbangsa Bisaya disahkan sudah meninggal dunia manakala suaminya, warga Brunei, selamat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebuah kereta dihanyutkan arus deras pada jam 2.50 pagi.
"Sejurus menerima panggilan itu, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang digerakkan ke lokasi.
"Tiba di lokasi pada jam 3.35 pagi anggota terus mencari kenderaan mangsa dan menemui kereta jenis Proton Persona itu pada jam 3.36 pagi, namun kedua-dua mangsa tiada di dalam," katanya.
Pencarian diteruskan ke dalam hutan berhampiran jambatan itu dan kedua-kedua mangsa ditemui anggota bomba dan penduduk kampung pada jam 5.03 pagi.
Katanya lagi, kedua-dua mangsa dipercayai keluar dari kenderaan mereka apabila enjin kereta tiba-tiba mati dan tidak dapat dihidupkan semula selepas terkena air.
"Ketika mereka keluar, arus deras datang lalu menghanyutkan mereka ke kawasan hutan berdekatan," katanya.
Sumber Guru lemas dihanyut air deras