Judul : Gol lewat Brignoli kecewakan AC Milan
link : Gol lewat Brignoli kecewakan AC Milan
Gol lewat Brignoli kecewakan AC Milan
MILAN: Penjaga gol, Alberto Brignoli menghadiahkan pendatang baharu Benevento mata pertama dalam kempen Serie A musim ini sekali gus merencatkan penampilan sulung Gennaro Gattuso selaku jurulatih AC Milan, malam tadi.
Keputusan seri 2-2 itu diraikan penuh meriah oleh Benevento seakan merangkul kemenangan ke atas kelab gergasi Itali itu.
Ketika Milan tampak bersedia untuk mengutip tiga mata penuh, tandukan Brignoli ketika perlawanan memasuki minit kelima masa kecederaan memberikan tuan rumah mata pertama selepas 15 perlawanan.
"Seseorang di bangku simpanan memberitahu saya untuk pergi ke depan, saya datang dan melompat dan memejamkan mata saya," kata Brignoli.
Giacomo Bonaventura membuka tirai jaringan untuk Milan pada minit ke-38 dalam aksi di Stadium Vigorito itu tetapi ia disamakan oleh George Puscas lima minit selepas babak kedua bermula.
Nikola Kalinic kembali meletakkan Milan mendahului tujuh minit selepas itu tetapi pelawat terpaksa beraksi kurang seorang pemain selepas Alessio Romagnoli dilayangkan kad kuning kedua 15 minit sebelum permainan berakhir.
Di minit-minit akhir permainan ketika Benevento tampak bersedia untuk mengharungi kekalahan ke-15, Brignoli melonjak tinggi untuk menyambar sepakan percuma yang akhirnya mencetus keraian besar di stadium.
"Kami perlu memperbaiki prestasi dan juga mentaliti kami tetapi saya tidak menyalahkan pemain," kata Gattuso yang dilantik jurulatih baharu Milan menggantikan Vincenzo Montella minggu ini.
"Mereka sudah memberikan segala-galanya apabila terpaksa beraksi 10 pemain. Kami melepaskan gol yang menyakitkan."
Rekod Benevento mengatasi catatan lama yang sebelum ini dipegang Manchester United iaitu tewas 12 perlawanan berturut-turut sejak permulaan musim yang dilakukan pada 87 tahun lalu. - AFP
Sumber Gol lewat Brignoli kecewakan AC Milan