Judul : Berkayuh dalam kesejukan dari Iran ke Croatia
link : Berkayuh dalam kesejukan dari Iran ke Croatia
Berkayuh dalam kesejukan dari Iran ke Croatia
SELEPAS 70 hari mengayuh basikal di lapan negara Balkan, bermula di Tehran, Iran pada 21 September lalu, akhirnya Wira Daratan, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman menamatkan misi kayuhan solonya di Venice, Itali Khamis lalu.
Hasan Nawawi, 63, berkata misi kali ini sekadar memenuhi impian berbasikal di negara Balkan khususnya Serbia, Bosnia Herzegovina dan Croatia yang tidak dapat dikunjungi ketika percubaan 2001-2002 yang lalu kerana bergolak.
"Sebenarnya penjelajahan mengelilingi dunia pada 2001-2002 yang lalu sudah lengkap satu pusingan, hanya hajat untuk melalui negara Balkan tidak kesampaian. Ketika itu saya dan Ahmad Ridhwan (adik) dinasihatkan mencari laluan lain, maka terpaksa kami mengikuti Greece seterusnya ke bahagian barat Itali.
"Jadi, selepas 16 tahun dan sudah menamatkan perkhidmatan, timbul minat untuk menyambung kembali misi penjelajahan berkenaan. Manisnya, misi kali ini saya bersendirian dan dapat dilakukan tanpa masalah yang besar," katanya kepada BH.
Menurut bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Datuk Bandar Ipoh itu, minggu terakhir kayuhan begitu mencabar memandangkan destinasi yang disinggahi mempunyai latar belakang serta sejarah tersendiri.
"Sebagai contoh bandar pelabuhan Omis di Croatia, suatu ketika dahulu amat terkenal sebagai perkampungan lanun ganas yang menguasai Laut Adriatik.
"Jika sebelum ini saya hanya mengetahui aktiviti pelanunan Omis menerusi pembacaan buku, majalah dan menonton filem Barat, kini saya sendiri menjejakkan kakinya di bumi kumpulan penjenayah terkenal berkenaan.
"Melihat rupa bentuk muka buminya yang berbukit bukau menghadapi Laut Adriatik, meyakinkan saya bahawa bandar pelabuhan Omis sememangnya strategik. Malah, terdapat sebuah menara batu setinggi 10 meter di atas bukit Omis yang pastinya digunakan lanun untuk melihat pergerakan kapal pihak berkuasa.
PENGUSAHA motel, Kristijan Begic banyak menceritakan perihal sejarah lanun Omis kepada Hasan.
"Ini diakui seorang pengusaha hotel di Omis, Kristijan Begic yang saya temui dan menurutnya keadaan yang berbukit bukau dan banyak pintu gua di situ memungkinkan digunakan lanun untuk bersembunyi suatu ketika dahulu. Bagaimanapun, tidak pula beliau memberitahu saya akan kewujudan harta karun yang disembunyikan di situ atau pernah ditemui orang ramai," katanya.
Kata Begic lagi, lanun Omis memerintah Laut Adriatik lebih tiga abad sehinggalah pada 1420 kegiatan mereka seluruh Dalmatia kecuali Omis, jatuh ke tangan Republik Venesia yang memiliki pasukan angkatan laut terkuat ketika itu.
"Hampir 24 tahun lanun Omis mempertahankan diri sebelum ia jatuh sepenuhnya sekali gus menandakan berakhirnya penguasaan lanun. Kini hanya tinggal sejarah yang menguntungkan kami kerana ramai pelancong datang ke sini untuk melihat sendiri peninggalan mereka," katanya.
Bagi Hasan, mengayuh di laluan pantai Croatia untuk ke Makarska nyata memberi kelebihan kerana cuaca 10 Celsius menyamai cuaca di Istanbul, Turki dan kurang meletihkan.
"Saya ingatkan laluan pantai landai dan mudah, sebaliknya bergunung ganang hampir 12 kilometer. Laluan di lereng bukit begitu menyukarkan dan menguji kemahiran kita terutama apabila berselisih dengan kenderaan lain.
"Akhirnya saya sampai juga di bandar Makarska ketika jam 5.15 petang dalam suasana gelap. Malangnya, ketika itu hujan juga turun menyebabkan keadaan menjadi sejuk, nasib baik dalam bilik ada alat pemanas.
"Keesokannya, seawal jam 10 pagi lagi saya sudah berada di atas basikal dengan hasrat untuk segera sampai di bandar Split kira-kira 90 kilometer jauhnya. Dalam cuaca mendung saya berkayuh laluan di atas bukit sejauh 2 kilometer sebelum turun ke pantai dan menemui dua penunggang Belanda yang hendak ke Greece," katanya.
Kira-kira 30 kilometer hendak sampai ke Split, beliau tertarik dengan keindahan sebuah rumah besar di atas bukit dan apabila dihampiri tertulis Apartment Perak.
"Tertanya-tanya juga adakah rumah ini milik orang Perak, atau pemiliknya sengaja menamakannya. Yang penting, terubat juga hati saya ada juga nama Perak di Croatia," katanya.
Katanya, seperti percubaan ke Makarska, kayuhan ke Split juga gagal kerana cuaca sejuk, gelap dan hujan mengakibatkan pakaiannya basah kuyup.
"Saya terpaksa menginap di Omis dan bertemu dengan Begic yang fasih berbahasa Inggeris dan Jerman. Banyak juga maklumat mengenai Omis diberitahunya, termasuk laluan ke Split yang agak landai.
"Walaupun jaraknya 23 kilometer, namun berkayuh ke Split mengambil masa satu setengah jam. Begic juga memberitahu untuk ke Rejika perjalanannya agak jauh kira-kira 382 kilometer dan memakan masa lima hari. Dia menyarankan saya menaiki bas kerana ia boleh membawa basikal di atasnya," katanya.
Hasan berkata, ketika beliau sampai di Rejika kira-kira jam 9 malam dan bermalam di bandar berkenaan, sebelum keesokannya menyambung kayuhan ke Ilirska Bristica, Slovenia dalam cuaca sejuk sekitar 5 Celcius.
Dari bandar Ilirska Bristica, beliau sejauh 80 kilometer untuk sampai ke Trieste, ikut laluan pantai di Utara Itali. Ketika sampai di Trieste matahari sudah terbenam walaupun jam menunjukkan 4.45 petang, bagaimanapun bagi orang Itali, ia waktu malam.
PESISIR pantai Trieste menjadi laluan Hasan untuk ke Venice, Itali.
"Ditambah lagi, badan semakin sejuk memandangkan suhu -5 Celcius dan baju pula basah akibat berpeluh. Berbekalkan lampu basikal, saya mencari hotel bajet kerana hotel yang ada bertaraf tiga bintang.
"Akhirnya saya temui hotel bayarannya 35 Euro. Memandangkan sudah sejuk saya terus menerpa masuk bilik dan memasang alat pemanas," katanya.
Katanya lagi, hasrat untuk mengumpul cop imigresen Slovenia dan Itali tidak kesampaian kerana kedua-duanya adalah negara Kesatuan Eropah (EU), memakai cop yang sama.
Beliau berkata, hasrat untuk menginap di sebuah hotel di Latisana tidak kesampaian kerana kesemuanya penuh dan beliau mengambil keputusan untuk berkhemah.
"Jam 1 pagi, saya terjaga kerana kesejukan dan terpaksa menggoyangkan kaki serta badan bagi memanaskannya. Seawal jam 7 pagi saya sudah mengemaskan segala peralatan kerana tidak mahu orang melihatnya.
"Saya menyambung kembali kayuhan sejauh 60 kilometer untuk sampai ke bandar Mestre. Fuh! Lega hanya tinggal empat kilometer untuk sampai ke Venice dan terbayang keindahan bandar yang penuh romantik itu," katanya.
Menurut Hasan lagi, beliau akan berehat sehingga 8 Disember di Venice dan menunggu kehadiran isterinya untuk bercuti di Eropah sebelum balik ke Malaysia.
Hasan dijangka hadir di Hari Karnival BH 60 Tahun di Padang Kilat TNB, Bangsar pada 16 Disember ini.
Sumber Berkayuh dalam kesejukan dari Iran ke Croatia