Rabu, 31 Oktober 2018

Meet The Robinsons (2007): Keep Moving Forward

Disclaimer: Artikel ini mengandungi spoiler.

Artikel ini ditulis khas buat pembaca yang pernah gagal, yang berada di ambang kegagalan mahupun yang belum pernah gagal namun takutkan sebuah kegagalan. Artikel ini juga buat mereka yang terperangkap dan sering terkenang masa lalu sekali gus menghalang diri maju ke hadapan.

Meet The Robinsons merupakan sebuah filem animasi keluaran Disney yang ditayangkan pada tahun 2007. Bagi penulis, filem yang berkisarkan tentang masa hadapan ini, merupakan salah satu filem animasi Disney yang dikira under-rated. Mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan menerusi filem ini adalah amat penting namun sering kita terlepas pandang, khas buat penonton kanak-kanak mahupun dewasa.

Secara ringkas, filem ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki yatim piatu bernama Lewis yang merupakan seorang inventor cilik. Lewis teringin berjumpa dengan ibunya, yang telah meningalkan dirinya yang masih bayi di pintu rumah jagaan anak yatim. Pengembaraannya melepasi garis masa bermula apabila didatangi seorang kanak-kanak lelaki yang cuba menyelamatkan masa depan, iaitu Wilbur. Pengembaraan tersebut mengajar Lewis tentang pentingnya melepaskan masa lalu yang sukar dan belajar untuk terus maju ke hadapan demi mencapai kebahagiaan dan kejayaan.

Rata-rata daripada pembaca pasti membesar dengan satu perasaan yang takutkan kegagalan. Perasaan di mana kegagalan itu dirasakan menutup segala macam kemungkinan, menjadikan segalanya gelap. Hal ini menyebabkan kebanyakan daripada kita sampai ke satu tahap di mana kita tidak mahu mencuba sesuatu yang dirasakan sukar dicapai, hanya kerana takutkan sebuah kegagalan. Mungkin bagi kita, gagal itu merupakan satu kebodohan. Mungkin sejak di bangku sekolah lagi kita dilatih untuk sentiasa betul dan mereka yang gagal dihukum dan dipandang enteng oleh guru-guru juga rakan-rakan. Mungkin kita melihat kegagalan menerusi kaca mata yang terlalu serius sehingga segala macam peluang yang wujud kabur dari penglihatan.

Kegagalan bukanlah salah satu syarat wajib bagi orang yang ingin berjaya. Namun begitu, jika ditanya pada mereka yang telah mencapai kejayaan, pastinya mereka akan berkata bahawa mereka berjaya setelah menemukan kegagalan, paling tidak pun sekali apatah lagi yang gagal berkali-kali. Antara figura-figura yang menemukan kegagalan dalam misi mencapai kejayaan adalah Stephen King, Bill Gates, Thomas Edison dan ramai lagi. Walt Disney sendiri juga pernah dibuang kerja dan diisytiharkan muflis sebelum beliau bangkit semula, namanya gah disebut-sebut dan animasinya meninggalkan kesan pada kanak-kanak mahupun orang dewasa di serata dunia.

“I think it’s important to have a good hard failure when you’re young… Because it makes you kind of aware of what can happen to you. Because of it I’ve never had any fear in my whole life when we’ve been near collapse and all of that. I’ve never been afraid.”

Bagi Disney, adalah penting bagi kita untuk mengetahui makna sebuah kegagalan sejak kecil kerana ia akan membantu meningkatkan daya tahan apabila meningkat dewasa. Apabila kita mengenal kegagalan pada usia muda, kita akan lebih berani dan kuat untuk berdepan dengan masa hadapan yang sememangnya akan lebih mencabar.

Pokok pangkalnya, gagal bukanlah kegagalan sebenar. Kegagalan sebenar adalah apabila kita langsung tidak cuba berusaha kerana takutkan kegagalan. Kejayaan adalah apabila kita mampu bangkit semula setelah gagal.

Menerusi filem Meet The Robinsons ini, Lewis merupakan seorang kanak-kanak yang gigih berusaha untuk memastikan inovasinya, iaitu sebuah mesin masa, berhasil. Namun begitu, apabila mesinnya gagal berfungsi, dia mula putus asa dan hilang keyakinan diri.

Malah, mesin PB & J (Peanut Butter & Jelly) yang diciptanya juga tidak berfungsi dengan betul sehingga menyebabkan sesi temu bual dengan bakal ibu bapa angkatnya tidak berakhir dengan baik. Namun begitu, Lewis berjumpa dengan keluarga Wilbur yang meraikan kegagalan dan membangkitkan semangatnya untuk terus berusaha.

Ahli keluarga Wilbur tidak melihat kegagalan sebagai satu limitasi, bahkan melihatnya sebagai peluang untuk memperbaiki diri dengan lebih baik. Dalm erti kata lain, motto hidup mereka, iaitu ‘keep moving forward’ sedikit sebanyak mengajak Lewis untuk turut sama maju ke hadapan walaupun setelah mengalami kegagalan.

Waqaf Saham

Motto ‘keep moving forward’ itu juga membantu Lewis melupakan hasrat untuk berjumpa ibunya di masa silam, walaupun setelah berjaya mengembara ke masa lalu. Hal ini kerana, apapun yang terjadi pada masa lalu telah berlalu dan realitinya Lewis perlu bertanggungjawab meneruskan hidup demi kebahagiaan masa hadapannya sendiri. Mereka yang terperangkap di masa lalu akan kekal dan tidak berganjak, sedangkan realiti kehidupan berlalu laju meninggalkan mereka.

Konklusinya, filem Meet The Robinsons ini merupakan suatu peringatan yang baik dan mendalam bagi penonton, sekali gus filem yang perlu ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai anak kecil digalakkan menonton kerana filem ini memperlihatkan bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran hakiki. Justeru, ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak mencuba dalam pelbagai perkara dan memberi semangat yang sewajarnya apabila mereka gagal.

Guru-guru juga boleh menonton filem ini sekali gus mengajar anak didik agar kuat dan kembali bangkit berdiri teguh setelah jatuh di samping menyedarkan mereka agar tidak jemu berusaha sehingga berjaya. Anak-anak muda, terutamanya yang sedang berhempas-pulas dalam mencapai impian dan mencari kebahagiaan, perlu menonton filem ini sebagai satu pembakar semangat di mana dalam situasi apa pun kita berada, kita perlu tinggalkan kejahanaman serta kepahitan masa silam, berhenti mangasihani dan menyalahkan diri sendiri mahupun orang lain dan sentiasa bergerak terus ke hadapan.

Memetik kata-kata Walt Disney yang juga disertakan di pengakhiran filem,

“Around here, however, we don’t look backwards for very long. We keep moving forward, opening up new doors and doing new things, because we’re curious. And curiosity keeps leading us down new paths.”

Bacaan lanjut:

Kenapa Mereka Berdua Tidak Boleh Diangkat Menjadi Sultan Melaka?

Follow penulis : https://ift.tt/2qkuL6l

Sebelum kita bahas mengapa mereka berdua ini tidak boleh diangkat menjadi Sultan, kita perlu tahu dulu kenapa dan bagaimana negeri Melaka pada hari ini kehilangan Sultan.

Sultan terakhir Melaka yang memerintah secara de jure ialah Sultan Mahmud Shah. Kuasa dan kedaulatan Sultan Mahmud di Melaka telah hilang apabila penjajah Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511. Melaka dulu negerinya besar bukan seperti saiz Melaka kini. Hampir keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian Sumatera serta kepulauan Riau adalah kerajaan Melaka suatu ketika dahulu. Portugis hanya menguasai kawasan sekitar perlabuhan Melaka yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Mahmud pada ketika itu sahaja. Kawasan yang dipanggil “Kota Melaka” itu bukanlah mewakili seluruh wilayah besar kerajaan Melaka.

Sultan Mahmud terpaksa membuat serangan balas sambil berundur hinggalah baginda sampai di Pagoh (kini sebahagian dari negeri Johor) untuk bersemayam di sana. Sultan Mahmud melantik puteranya Sultan Ahmad sebagai Sultan Melaka secara de facto untuk mengambil semula Melaka dari Portugis. Namun, Sultan Ahmad gagal menjalankan tugas tersebut lalu Sultan Mahmud membunuh puteranya ini pada tahun 1513.

Sultan Mahmud terus berundur ke selatan sehinggalah tiba ke Kampar, Riau, Sumatera(kini sebahagian dari negara Indonesia) pada tahun 1526. Pada tahun 1528, Sultan Mahmud mangkat di Kampar namun dua orang puteranya mewarisi pemerintahan di saki baki wilayah baginda. Sultan Alauddin Riayat Shah putera Sultan Mahmud mengasaskan kesultanan Johor manakala Sultan Muzaffar Shah putera Sultan Mahmud mengasaskan kesultanan Perak. Kini, zuriat Sultan Melaka yang masih wujud hanya dari jurai Kesultanan Perak. Kerana itulah Kesultanan Perak menjadi penyimpan kepada Keris Taming Sari dan Cura Si Manjakini. Manakala dari jurai Kesultanan Johor telah terhenti. Kesultanan Johor kini adalah keturunan Temenggung.

Memang ada cubaan mengambil semula Melaka dari tangan Portugis seperti yang dilakukan oleh Kesultanan Johor dan Acheh dalam Perang Tiga Segi. Namun mereka tidak berjaya menerobos kota A Famosa. Melaka tetap dikuasai oleh Portugis. Yang berjaya mengalahkan Portugis bagi mengambil Melaka adalah Belanda (VOC) iaitu pada tahun 1641. Johor yang nak memenangi Perang Tiga Segi ini meminta bantuan Belanda iaitu salah satu kuasa besar eropah untuk bekerjasama melawan Portugis. Tapi setelah menang, Belanda mungkir janji apabila Melaka tidak diserahkan kepada Johor sebaliknya Belanda yang kuasai.

Pada tahun 1824, Belanda dan British membuat perjanjian untuk membahagi kawasan pemerintahan dimana kawasan Malaysia kini dibawah taklukan British manakala kawasan Indonesia kini dibawah taklukan Belanda. Melaka dijadikan Negeri-Negeri Selat (NNS) yang diperintah British melalui SHTI mula pada tahun 1826. Kemudian pada tahun 1867, SHTI menyerahkan pemerintahan NNS terus kebawah Ratu England selaku Koloni Mahkota British. Melaka selaku NNS diperintah oleh seorang Gabenor iaitu pemerintah tertinggi di Melaka.

Pentadbiran Gabenor di Melaka berterusan sehinggalah ke zaman Malayan Union. NNS bersama Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB) dan Negeri Melayu Bersekutu (NMB) membentuk Persekutuan Tanah Melayu. NMTB dan NMB memiliki Sultan masing-masing. Namun NNS tidak memiliki Sultan sebaliknya Gabenor. Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perlembagaan negara menyatakan Melaka selaku NNS ditadbir oleh wakil Persekutuan selaku ketua dan pemerintah bagi Negeri Melaka yang dikenali sebagai Yang Di-Pertua Negeri atau dahulunya disebut Gabenor.

Waqaf Saham

Yang di-Pertua Negeri Melaka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Melaka sebagaimana Perlembagaan Negeri Melaka. Yang Di-Pertua Negeri merupakan ahli Majlis Raja-Raja. Yang Di-Pertua Negeri di NNS menjalankan fungsi yang sama dengan Sultan-Sultan di NMTB atau NMB. Bahkan, Yang Di-Pertua NNS boleh memberi pingat kebesaran sepertimana yang dilakukan oleh Sultan-Sultan negeri lain. Namun, Yang Di-Pertua Negeri tidak boleh mengundi untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong dan tidak boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja. Ini kerana kedudukan Yang Di-Pertua NNS tidak sama dengan kedudukan para Sultan walaupun mereka semua ahli Majlis Raja-Raja.

Kerana itulah Ketua Negeri di NNS digelar Yang Di-PerTUA bukannya Yang Di-PerTUAN. Panggilan YDP NNS pula adalah Tuan Yang Terutama (TYT) bukannya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) atau Duli Yang Teramat Mulia (DYTM). Mereka yang bertaraf Yang Di-PerTUAN adalah seperti Raja-Raja Negeri Melayu. Kebanyakkan Raja di negeri Melayu digelar Sultan kecuali Perlis digelar Raja dan Negeri Sembilan digelar Yang Di-PerTUAN Besar atau dahulunya Yamtuan Besar. Antara lain yang juga setaraf ialah Yang Di-PerTUAN Besar Negara Brunei iaitu Sultan Brunei yang merupakan satu-satunya sultan Melayu yang berdaulat tetapi tidak menyertai Persekutuan Malaysia.

Walaubagaimanapun, kedudukan Yang Di-Pertua Melaka ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu di Indonesia kini yang hanya menjadi Ketua Adat Melayu tanpa sebarang daulat, kuasa politik mahupun pengaruh sehinggakan darjah kebesaran yang mereka kurniakan tidak terpakai atau diakui di Malaysia.

Sekarang baru boleh kita nilai sama ada dua orang dia atas boleh diangkat sebagai Sultan Melaka atau tidak.

Syarat nak jadi Sultan di Negeri Melayu selalunya mestilah Lelaki, Melayu, Islam, Berketurunan Raja Melayu, Tidak Gila dan mungkin ada beberapa syarat khusus lagi mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing. Sebagai contoh Sultan Perak yang mempunyai Sistem Giliran dan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang mempunyai sistem Undang Berempat.

Walaupun seseorang itu memang sah keturunan Sultan Melaka sekalipun, tetapi jika tidak memenuhi syarat dalam peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri, maka tetap orang itu tidak boleh ditabal. Apatah lagi ianya bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang menyatakan bahawa Melaka adalah NNS bukan Negeri Melayu yang Beraja. Sebaliknya Melaka diketuai oleh wakil perseketuan yang digelar Yang Di-Pertua Negeri. Hal ini telah termaktub jelas. Walaupun seseorang itu ada sijil pengiktirafan dari Mahkamah Dunia sekalipun, orang itu tetap tidak boleh diangkat.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak mempunyai hak untuk mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Melaka. Isu tuntutan takhta Sultan Melaka berada di bawah tatacara Perlembagaan dan undang-undang negara ini bukan melibatkan soal perebutan antarabangsa sehingga ia perlu dibicarakan di ICJ. Jika memang ada pengiktirafan Mahkamah dunia pun tetap tidak valid, apatah lagi jika sijil pengiktirafan itu palsu. Bahkan, apatah lagi jika ianya hanyalah sekadar pengakuan diri sendiri tanpa sebarang bukti. Setakat nak gebang di Facebook boleh lah.

Nak jadi Sultan Melayu ni hendaklah seseorang itu diper-Tuan-kan oleh rakyat Melayu. Ianya ada kaitan dengan Konsep Ikatan Daulat sepertimana yang dipersembahkan oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Seseorang itu jika benar merupakan seorang Raja yang sah, sudah pastu mempunyai tanda-tanda yang akan terzahir. Individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka kini bukan sahaja tiada tanda-tanda tersebut, bahkan mereka tidak mewarisi atau memiliki sebarang regalia kerajaan Melayu silam pun sama ada Keris Kerajaan, Cokmar atau sebagainya.

Bahkan, Sultan-Sultan Berdaulat di Malaysia tidak mengurniakan mereka sebarang regalia bagi simbolik membolehkan mereka mengasaskan institusi Kesultanan Melaka Moden. Bahkan, mereka tidak memiliki apa-apa gelaran kekerabatan atau darjah kebesaran sebagai tanda pengakuan terhadap kedudukan orang yang mendakwa diri mereka Sultan Melaka ini. Oleh itu, mereka tidak boleh diangkat menjadi Sultan Melaka sama ada secara de jure mahupun de facto atau sebagai Ketua Adat.

Kedudukan Raja Melayu di Indonesia lebih terakui jika dibandingkan dengan individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka. Ini kerana setidaknya Raja Melayu di Indonesia tetap diakui sebagai pewaris raja walaupun tanpa sebarang kuasa. Tetapi, individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka ini susur galur mereka sendiri pun boleh dipertikai.

Helios 522: Penerbangan Terakhir Yang Berhantu

Penerbangan terakhir MH370 pada 8 Mac 2014 dan MH17 pada 17 Julai 2014 merupakan siri-siri kemalangan dalam dunia penerbangan komersial yang amat jarang berlaku dan sudah pasti menjadi igauan khususnya kepada rakyat Malaysia yang merasai kehilangan sejumlah 93 orang warganegara.

Bagi rakyat di Cypria pula, sebuah negara kecil di Eropah yang terletak di Lautan Mediterranean, 14 Ogos 2005 menandakan satu tarikh hitam yang melibatkan kehilangan nyawa 107 orang warganegaranya apabila sebuah pesawat komersial di bawah syarikat penerbangan tempatan, Helios terhempas di kawasan berbukit Grammatiko, Greece. Pesawat Helios 522 dari model Boeing 737-31S itu digelar ‘Pesawat Berhantu’ kerana keadaannya beberapa detik sebelum terhempas adalah sangat menyeramkan.

Pesawat Helios 522 telah dijadualkan untuk terbang dari Larnaca, Cypria ke Prague, Republik Czech dan transit di Athens, Greece. Sehari sebelum pesawat itu terhempas, ia telah melakukan penerbangan dari Heathrow ke Larnaca. Semasa penerbangan, kru pesawat telah terdengar bunyi bising seperti sesuatu dihentak-hentak di pintu belakang kanan pesawat. Oleh itu, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Larnaca, mereka meminta jurutera untuk memeriksa pintu tersebut. Jurutera telah membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan tekanan dengan menukar sistem tekanan kepada mod ‘manual’. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa tiada masalah di bahagian pintu tersebut dan pesawat dibenarkan untuk berlepas. Namun, kecuaian terjadi apabila jurutera tersebut gagal untuk menukar sistem tekanan kepada mod ‘Auto’ setelah selesai menjalani pemeriksaan.

Kapten kapal, Hans-Jurgen Merten dan pegawai pertama Pambos Chalarambos berlepas bersama 115 penumpang dan 4 kru pada jam 6.07 pagi waktu tempatan. Kru pesawat memberitahu menara kawalan Nicosia bahawa kapal akan terus mendaki sehingga 2,000 kaki setelah 3 minit di udara dan diterima oleh menara kawalan. Kru pesawat seterusnya membuat permintaan untuk mendaki sehingga 34,000 kaki sebagai ketinggian penerbangan mereka sehingga ke Athens. Permintaan itu juga turut diterima oleh menara kawalan. Komunikasi ini dianggap komunikasi terakhir antara kru pesawat dan menara kawalan.

Setelah 6 minit dalam penerbangan, isyarat kecemasan altitud berbunyi apabila pesawat berada di altitud 12,040 kaki. Kru di dalam kokpit menganggap bahawa terdapat kesilapan pada sistem amaran ‘take-off configuration’ kerana bunyinya yang sama. Di kabin penumpang pula topeng oksigen terkeluar secara automatik memandangkan tekanan kabin yang rendah. Topeng oksigen terkeluar secara automatik ketika pesawat berada di altitud 18,000 kaki. Satu isyarat amaran suhu tinggi berbunyi, menyebabkan kru kapal terpinga-pinga dan mula menghubungi pusat operasi Helios.

Waqaf Saham

Kapten kapal yang menyangka bahawa sistem pendingin hawa tertutup secara automatik bertanya jurutera di radio mengenai lokasi ‘circuit breaker’ untuk sistem itu. Jurutera menjawab ‘circuit breaker’ berada di belakang tempat duduk kapten. Jurutera juga bertanya sama ada panel sistem tekanan berada dalam mod ‘Auto’ namun dijawab kembali dengan soalan mengenai lokasi ‘circuit breaker’ terbabit. Tekanan yang rendah menyebabkan kru kapal mengalami hipoksia, iaitu kekurangan oksigen di dalam badan dan menyebabkan mereka menjadi bercelaru dan akhirnya tidak sedarkan diri. Pesawat itu pula terus mendaki sehingga ke ketinggian yang ditetapkan pada 34,000 kaki. Pusat operasi cuba menghubungi kru kapal tetapi tiada respon diterima.

Pesawat mula memasuki ruang udara Athinai pada jam 6.37 pagi tetapi tiada respon diterima apabila cuba dihubungi oleh menara kawalan Athinai. Sistem Autopilot membolehkan pesawat berada di altitud yang sama dan menggunakan laluan yang ditetapkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Athens. Ketika ini, pesawat sepatutnya turun ke altitud yang lebih rendah sebagai persiapan untuk mendarat tetapi ia tetap berada di altitud yang sama. Menara kawalan Athinai telah cuba menghubungi pesawat sebanyak 11 kali namun masih tiada respon. Akhirnya, mereka memberitahu menara kawalan Athens dan Tentera Udara Hellenic, Greece tentang situasi Helios 522.

Pada jam 8.23 pagi, dua jet pejuang F-16 dari Tentera Udara Hellenic berjaya memintas pesawat komersial tersebut dan juruterbang cuba mencari kerosakan pada fiuslaj pesawat namun tiada kerosakan atau kebakaran yang ditemui. Juruterbang jet cuba menghubungi kru pesawat melalui frekuensi radio tentera tetapi tetap gagal. Menurut juruterbang F-16 tersebut, dia mendapati tiada orang di tempat duduk kapten dan melihat pegawai pertama tidak bergerak di tempat duduknya. Juruterbang juga melihat tiada sebarang pergerakan di kabin penumpang dan mendapati beberapa orang penumpang memakai topeng oksigen di mulut mereka. Keadaan yang sunyi di dalam kabin persis sebuah filem seram. Juruterbang jet cuba menggunakan bahasa isyarat untuk mendapatkan perhatian kru kapal namun tidak berhasil.

20 minit kemudian, juruterbang F-16 melihat pergerakan seseorang yang memakai baju biru muda dan jaket gelap memasuki ruangan kokpit pesawat dan duduk di tempat duduk kapten. Orang itu ialah pramugara Andreas Prodromou yang masih sedarkan diri dengan menggunakan balang oksigen mudah alih. Beliau yang juga memiliki lesen penerbangan komersial UK cuba mengawal pesawat tersebut dan melambai ke arah juruterbang jet. Malang tidak berbau apabila enjin sebelah kiri terpadam kerana kekurangan minyak dan pesawat mula kehilangan altitud. 10 minit kemudian, enjin sebelah kanan pula terpadam, menyebabkan kehilangan altitud yang mendadak.

Akhirnya, pesawat tersebut terhempas di lereng bukit pada jam 9.03 pagi, menyebabkan keseluruhan fiuslaj pesawat berkecai dan dijilat api. Kesemua 121 penumpang dan kru pesawat mati di tempat kejadian.

Menurut siasatan, kecuaian jurutera dan kru kapal yang tidak memastikan panel tekanan pesawat dalam mod ‘Auto’ merupakan punca mereka kekurangan oksigen dan mengalami hipoksia. Kesan dari kejadian itu menyebabkan CEO, COO, ketua juruterbang dan ketua jurutera syarikat Helios dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun oleh mahkamah Greece atas tuduhan bunuh. Autopsi ke atas mayat juga mendapati penumpang dan kru pesawat sebenarnya masih hidup sebelum pesawat terhempas.

Rujukan:

  1. Weir, Andy (2006, 19 Disember). Behind Closed Doors, The Guardian. Rujukan dari https://ift.tt/2qkuHn7
  2. Psyllides, George (2015, 9 Ogos). The Downing of Flight 522, Cyprus Mail Online. Rujukan dari https://ift.tt/2QdOoZm
  3. Accident Investigation and Aviation Safety Board (AAIASB) (2006). Aircraft Accident Report. Athens, Republic of Hellenic, Ministry of Transport and Communication.

Artikel disumbangkan oleh Zudin Fahmi untuk The Patriots. 

Sejarah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ahli Sunnah Wal Jamaah (Ahli Sunnah) ialah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad menerusi para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in yang setia bersama mereka dalam prinsip- prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Rasulullah bersabda, “Sebaik-baik umatku adalah pada masaku. Kemudian orang-orang yang setelah mereka (generasi berikutnya), lalu orang-orang yang setelah mereka.” (HR AL-BUKHARI)

Salafussoleh dari sudut bahasa bermakna para pendahulu yang soleh. Yang dimaksudkan dengan istilah Salafussoleh adalah para pendahulu kaum muslimin dari kalangan sahabat Nabi, tabi’in (para murid sahabat) dan tabi’ tabi’in (para murid tabi’in). Dengan demikian Salafussoleh adalah tiga generasi terawal dari kaum muslimin.

Ahli Sunnah memakai manhaj Salafussoleh sebenar yang wujud dalam tiga kurun terbaik. Diamalkan sejak zaman Salafussoleh sehinggalah sekarang. Keabsahan sanad ilmu dan thaqafah yang dipegang aqidah ini bersambung daripada seorang ulama’ kepada ulama’ yang lain sampailah kepada Rasulullah. Ianya adalah sebuah manhaj yang diperakui keasliannya. Bukannya sebuah mazhab yang dibuat-buat.

Syekh Dr. Sa’id Ramadhan Al-Buthi menyatakan, “Al-Salafiyyah ialah satu tempoh masa yang diberkati dan bukanlah sebuah mazhab Islam.”

Ahli Sunnah diperakui kebenarannya oleh jumhur ulama’ dan diterima majoriti kaum Muslimin, menjadikannya Sawād al-A’zam yang dijamin Nabi.

Rasulullah bersabda, “Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya. Hendaklah kamu mengikuti al-Sawad al-A’zam, yang bermaksud sekumpulan majoriti orang yang berhimpun mentaati pemerintah dan menurut jalan yang lurus.”

Sufyan Ats-Tsouri berkata, “Melalui al-Sawad al-A’zam, mereka dinisbahkan sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Kaedah Ahli Sunnah selari dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah dan para Sahabat. Tidak terlalu ekstrem kepada kekerasan sehingga sentiasa mahu mengkafirkan golongan yang bercanggah pendapat dengan mereka dan mereka juga tidak terlalu ekstrem kepada kelembutan sehingga memberi laluan kepada golongan yang menyeleweng dari al-Quran dan Sunah. Mereka mampu mengawal perbezaan pandangan ijtihad mereka untuk menjaga kesatuan umat.

Sejarah menjelaskan siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jasanya tidak dapat dinafikan. Kita dapat lebih menyedari kepentingan akidah ini apabila memahami kecelaruan dan fitnah yang melanda kaum muslimin sebelum manhaj Salafussoleh disusun menjadi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sejarah Abad Pertama Hingga Ketiga Hijrah

Ketika Rasulullah masih hidup, umat Islam tidak mengalami polemik iktikad yang serius kerana sebarang permasalahan dapat terus diajukan kepada baginda dan diselesaikan segera. Kesepaduan ummah terjamin melalui kesepakatan di hadapan Rasulullah. Akan tetapi, keadaan berubah apabila Nabi Muhammad wafat. Kaum munafiq, gerakan murtad dan nabi palsu mula berani menampakkan taring setelah ketiadaan baginda.

Seawal-awal salah faham di kalangan ummah ialah tentang siapakah yang paling layak menjadi khalifah menggantikan Rasulullah. Segelintir pihak mendakwa bahawa Saidina Ali yang paling layak. Setelah bermesyuarah, para sahabat memutuskan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Ketegasan Saidina Abu Bakar meredakan beberapa konflik yang melanda.

Di zaman Saidina Uthman, berlaku pembunuhan khalifah ke-3 itu yang didalangi oleh orang munafiq. Peristiwa ini mencetuskan kontroversi apabila ummah menuntut agar pembunuh sebenar dihukum mati. Ketika Saidina Ali menjadi khalifah ke-4, fitnah semakin marak apabila gerakan dari Syam menekan pembelaan Saidina Uthman. Salah faham yang ditiup oleh kaum munafiq akhirnya mencetuskan Perang Siffin & Perang Jamal.

Di zaman ini munculnya firqah Syiah, Khawarij & Murjiah.

• Syiah ialah firqah yang melampau dalam memuja Saidina Ali. Mereka menolak kepemimpinan Saidina Abu Bakar, Umar & Uthman. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Saba’.

• Khawarij ialah firqah yang melampau dalam membenci Saidina Ali. Mereka mulanya menyokong Saidina Ali tetapi kemudian menolak kepimpinannya selepas majlis Tahkim dalam Perang Siffin. Golongan ini mula terbentuk pada akhir abad ketujuh Masehi di selatan Iraq. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Wahab Ar-Rashidi.

• Murjiah ialah firqah yang beriktikad bahawa perbuatan maksiat tidak memberi mudarat kalau sudah beriman, sepertimana membuat kebaikan tidak bermanfaat kalau kafir. Pemimpinnya ialah Hasan bin Bilal Muzni, Abu Sallat Samman, dan Diror bin ‘Umar.

Selepas ketiadaan Khulafa’ Rasyidin ke-4, Saidina Hasan yang menggantikan ayahnya Saidina Ali, telah menyerahkan takhta khilafah kepada Saidina Muawiyah bagi mencegah perpecahan ummah yang lebih parah. Maka bermulalah Khilafah Umayyah yang membuka wilayah Islam dengan lebih luas.

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman asing. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Jajahan baru membawa bersama pelbagai fahaman luar yang memasuki negeri Islam. Bangsa arab kini menempuh cabaran baru iaitu serangan pemikiran. Falsafah greek tanpa disaring telah mencetuskan kerancuan pemikiran. Ditambah lagi dengan beberapa sarjana yang telah terpesong akibat membelakangi sanad keilmuan.

Munculnya perpecahan tersebut akibat penafsiran yang berbeda pada apa yang telah disampaikan Rasulullah. Mereka mengambil satu nas dari al-Quran atau Hadits dan meninggalkan nas yang lain, sehingga apa yang mereka faham tidak sama dengan apa yang para Sahabat faham daripada Rasulullah. Oleh kerana ini, sanad talaqqi begitu penting.

Di zaman ini munculnya firqah Muktazilah, Qadariah, Jabbariyah, Najariah dan Musyabbibah Mujassimah.

• Muktazilah ialah firqah yang berfahaman bahawa Tuhan tidak mempunyai sifat, bahawa manusia membuat pekerjaannya sendiri, bahawa Tuhan tidak dapat dilihat dengan mata dalam syurga, bahawa orang yang mengerjakan dosa besar diletakkan di antara syurga dan neraka, dan mikraj Nabi hanya dengan roh sahaja dan lain-lain. Pemimpinnya ialah Wasil bin ‘Ata dan ‘Umar bin ‘Ubaid.

• Qadariah ialah firqah yang beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa Allah. Pemimpinnya ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi.

• Jabariyah ialah firqah yang beriktikad bahawa manusia itu dipaksa dan digagahi sepenuhnya oleh Allah, manusia itu langsung tidak berkemampuan melainkan Allah dan manusia seperti kapas dan debu yang ditiup angin. Segala buruk dan baik itu Allah yang melakukannya ke atas manusia. Pemimpinnya ialah Jaham ibn Safuan dari Khurasan.

• Najariah ialah firqah yang beriktikad kuasa perbuatan yang dinamakan makhluk boleh memberi bekas, menafikan rukyah Allah dengan nyata di hari akhirat, menganggap al-Quran itu baharu dan mendakwa iman cukup dengan pengakuan sahaja. Pemimpinnya ialah Abil Khusein bin Muhammad al Najar.

• Musyabbibah Mujassimah ialah firqah yang beriktikad Tuhan juga bersifat seperti manusia, ada tangan, mata, kaki, duduk di atas kerusi dan sering turun naik di antara langit dan bumi secara fizikal. Mengatakan bahwa Tuhan itu bertempat dan menyerupai sifat-sifat makhluk-Nya. Pemimpinnya ialah Abu Abdillah al-Hasan bin Hamid bin Ali al-Baghdadi al-Warraq, Muhammad bin al Husain bin Muhammad bin Khalaf bin Ahmad al-Baghdadi al-Hanbali dan Abu al-Hasan Ali bin Abdullah bin Nashr az-Zaghuni al-Hanbali.

Waqaf Saham

Di zaman Khalifah al-Ma’mun, al-Mu`tasim dan al-Wathiq, kerajaan memayungi firqah Muktazilah. Mereka memaksa rakyat mengakui al-Quran sebagai makhluk dan memenjarakan sesiapa yang ingkar.

Kemunculan

Bagi mengelakkan ummah terus terjerumus ke lembah kesesatan, maka lahirlah ulama’ yang mengumpulkan manhaj asli Salafussoleh dan bertegas melawan penyelewengan aqidah dan pemikiran.

Imam Abu Hasan ‘Ali Al-Asy’ari lahir di Basrah tahun 260 Hijrah dan wafat dalam tahun 324 Hijrah. Imam Abu Mansur Muhammad al-Maturidi pula lahir di Basrah sekitar tahun 238 Hijrah dan wafat tahun 333 Hijrah. Kedua-dua imam Ahli Sunnah ini termasuk dalam kalangan Salafussoleh.

Imam Al-Asya’ari pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali al-Jubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy’ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari memperkemaskan aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut.

Syekh Dr. Sa’id Ramadhan Al-Buthi berkata, “Sesungguhnya Imam Asya’ari tidak memulakan pendapat bida’ah, tidak mencipta mazhab, dan sebenarnya yang dilakukan ialah menyusun mazhab Salafussoleh, berjuang untuk kebenaran yang diwariskan oleh Rasulullah dan sahabatnya, ia diiktiraf oleh semua imam-imam tafsir, hadis dan feqh pada zamannya.”

Pengaruh

Al-Mutawakkil ialah khalifah yang memainkan peranan penting dalam kejayaan golongan Ahli Sunnah mendominasi dunia Islam. Semasa awal pertabalan al-Mutawakkil menjadi khalifah, aliran Muktazilah memegang kekuasaan dalam hampir kesemua bidang sama ada pemerintahan dan pentadbiran negara, institusi- institusi pendidikan, pusat-pusat perubatan, perdagangan. Aliran ini juga turut mendominasi akidah golongan berpendidikan tinggi, intelek-intelek dan kelas-kelas masyarakat yang mempunyai pengaruh.

Aliran Ahli Sunnah menguasai masyarakat bawahan dan kebanyakannya terdiri daripada kadi, pendakwah, ulama fiqh dan orang-orang yang mengikuti mereka. Al- Mutawakkil bersekutu dengan Ahli Sunnah kerana mendapati faedah dan keuntungan daripada tindakannya itu. Perintah telah dikeluarkannya untuk menyingkirkan Muktazilah dari kerajaan.

Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’irah.

Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Semakin berkembang lagi pada masa keemasan Madrasah An-Nizhamiyah di Baghdad dan didukung oleh Al-Mahdi bin Tumirat. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Sultan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Khilafah Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain. Sultan Muhammad al-Fateh juga beraqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia menyebar luas pada zaman Wazir Nizhamul Muluk di zaman Bani Saljuk. Aqidah ini juga didokong oleh ulama’-ulama’ di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Al-Firqoh An-Najiyah

Rasulullah bersabda, “Yahudi telah berpecah-belah menjadi 71 golongan, maka satu di Syurga dan tujuh puluh di Neraka, dan Nashara telah berpecah belah menjadi 72 golongan, maka satu di Syurga dan tujuh puluh satu di Neraka, dan demi yang jiwaku di tangan-Nya sungguh ummatku akan berpecah belah menjadi 73 golongan, maka satu di Surga dan tujuh puluh dua di Neraka, dikatakan “Wahai Rasulullah siapa mereka itu?”, beliau berkata: “Mereka adalah al-Jama’ah.” (HR AHMAD)

Rasulullah bersabda, “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.” (HR IMAM MALIK)

Rasulullah bersabda, “Senantiasa terdapat kelompok dari ummatku yang mengibarkan (menampakkan) kebenaran, tidak merugikan mereka orang-orang yang menghinakannya sampai datang keputusan Allah, sedangkan mereka tetap dalam keadaan demikian.” (HR MUSLIM DARI TSAUBAN)

Firqah al-Nâjiyah merupakan nama lain dari Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Jamâ’ah al-Muslimin, Thaifah Manshûrah, al-Ghuraba’, dan Ahl al-Hadîts atau Ahl al-Atsar. Semuanya merupakan kesatuan makna dan tidak terpisah-pisah. Adapun nama-nama yang disebutkan itu menunjukkan karakteristiknya yang beragam.

Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu istilah yang jelas untuk menunjukkan ke atas seseorang yang bermanhajkan Al-Salaf As-Soleh dengan berpegangkan Al-Qur’an dan Sunnah dan peninggalan-peninggalan yang diriwayatkan daripada Rasulullah serta daripada para sahabat, bagi membezakan daripada mazhab-mazhab Bid’aah dan pengikut hawa nafsu semata.

Dan sekiranya disebutkan istilah ini (Ahli Sunnah Wal Jama’ah) di dalam kitab-kitab Ulama’, maka yang dimaksudkan dengannya ialah Al-Asyã’irah, dan Al-Mãthuridi dan Ashabul Hadis. Ini kerana, merekalah yang lebih mendalami hal keadaan Rasulullah dan mereka tidak menggantikan apa-apa atau mengubahnya sepertimana perbuatan dari selain mereka yang cenderung kepada kesesatan dan berlebih-lebihan.

Rasulullah telahpun menyifatkan Al-Firqoh An-Najiyah sebagai satu golongan yang terbesar (majoriti) daripada kalangan ummah. Dan penyifatan ini bersesuaian ke atas Asya’irah dan Mathuridi serta Ashabul Hadis. Maka sesungguhnya mereka adalah sebanyak-banyak ummat Islam.

Imam Jalal Al-Dawani berkata, “Al-Firqoh An-Najiyah adalah Asya’irah, iaitu mereka mengikuti pada dasar-dasar yang dibawa oleh Syeikh Abu Hasan Asya’ari.

Jikalau aku berkata: Bagaimana dihukumkan bahawasanya Firqoh An-Najiyah ini adalah Asya’irah? Dan tiap-tiap firqoh mendakwa bahawa ia adalah Najiyah?

Aku katakan, bersesuaian dengan hadis,yang mengatakan bahawa sesungguhnya mereka itu – yakni Firqoh An-Najiyah – mereka beriktikad dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi dan para sahabat Baginda.

Dan iktikad itu adalah suatu perkara yang batin,ia tidak dapat diketahui kaifiat caranya melainkan dengan pemberitahuan daripada tuan empunya diri.

Dan Nabi telah mengkhabarkan mengenai iktikad baginda melalui hadis-hadis qouliah dan kemudiannya diambil oleh para sahabat baginda, dan mereka mengkhabarkan pula kepada sekalian ummah dan seterusnya, Asya’irah mengambil hadis-hadis soheh tersebut. Dan mereka beriktikad dengan maksud pengertian yang sebenar tanpa mengubahnya dari makna murod yang dikehendaki oleh Nabi. Oleh demikian itulah mereka dikatakan sebagai Asya’irah.

Maka sesungguhnya mereka berpegang dalam akidah mereka dengan hadis-hadis Soheh yang diambil daripada Rasulullah dan daripada para sahabat baginda. Dan mereka tidak membolehkan memandang sekadar sisi luar hadis melainkan pada hal keadaan dhoruri. Dan mereka tidaklah mengikuti akal semata sedang meninggalkan dalil nas sebagaimana Muktazilah.”

Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Imam ‘Abdul Qohir Al-Baghdadi:

“Sesungguhnya Nabi ketika menyebutkan bahawa ummatnya akan terpecah kepada tujuh puluh tiga firqoh dan turut mengkhabarkan bahawa salah satu firqoh daripadanya adalah Najiyah. Ditanya pula mengenai Firqoh An-Najiyah dan berkaitan sifatnya, maka ia diisyaratkan kepada mereka, yang mana mengikuti landasan Rasulullah dan para sahabat. Dan tidaklah kita dapati pada hari ini daripada pecahan ummah yang bersepakatan dengan para sahabat selain daripada Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang mana terdiri daripada fuqoha’ ummah dan mutakallimi as-sifatiah.”

Kemudian dia membuat penjelasan bahawasanya tidak akan selamat baki daripada firqoh-firqoh yang lainnya dan menggariskan penyelewengan mereka daripada manhaj Rasulullah dan para sahabat.

Dan daripada penjelasan ini, bahawa orang-orang yang mengikuti para sahabat adalah sesiapa yang beramal dengan apa yang telah dibenarkan oleh riwayat-riwayat yang soheh pada hukum-hukum dan rahsia-rahsia mereka. Dan begitulah sunnah Ahli Sunnah tanpa wujud kelompok yang bid’aah. Dan membenarkan kesohehan pada apa yang telah kita sebutkan iaitu sudah pasti selamatnya mereka yang mengikuti jalan Nabi begitu jua orang-orang yang mengikuti para sahabat. Dan segala puji bagi Allah atas demikian itu.

Al-Baghdadi menjelaskan pembahagian Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada lapan bahagian iaitu:

  1. Mereka yang terdiri daripada ahli ilmu tauhid dan ilmu kalam termasuklah yang dikatakan sebagai sifatiyyah yang bebas dari segala unsur tasybih, ta’til dan bid’ah golongan Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najjariah dan sebagainya.
  2. Mereka yang terdiri daripada imam fiqh sama ada yang cenderung kepada aliran ahl al-ra’y mahupun aliran ahl al-hadis. Mereka ini berkeyakinan kepada perkara usuluddin dengan aliran sifatiyah yang membicarakan sifat-sifatNya yang azali tanpa tasybih dan ta’til yang bebas daripada unsur Qadariyah dan Muktazilah. Mereka ini termasuklah Imam Malik, Imam al-Syafi’ie, al-Auza’ie, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, pengikut al-Thaur, pengikut Ahmad bin Hanbal, ahli al-Zahir. Dan mereka ini tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bid’ah dan hawa nafsu.
  3. Mereka yang menguasai bidang ilmu periwayatan hadis dan sunnah Nabi Mereka boleh membezakan yang sahih dan batil, mengetahui sebab al-jarh wa ta’dil (kredibiliti perawi), dan mereka tidak memasukkan apa-apa pun ke dalam ilmu mereka daripada perkara bid’ah yang menyesatkan.
  4. Mereka yang menguasai ilmu berkenaan bahasa Arab dan sasteranya, antaranya ilmu Nahu dan sarf. Mereka adalah pakar bahasa antaranya ialah al-Khalil, Abu ‘Amr bin al-‘Ala, Sibawaih, al-Farra’, Akhfash, al-Asma’I, al-Mazini, Abu Ubaid dan seluruh imam nahu sama ada ulama Basrah atau Kufah yang tidak mencampurkan sesuatu ke dalam ilmu mereka sesuatu daripada bid’ah Qadariah, Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya mereka cenderung ke arah nafsu dan kesesatan maka ia bukanlah termasuk golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun kata-katanya adalah hujah dalam ilmu bahasa.
  5. Mereka yang menguasai ilmu berkenaan qiraat untuk al-Quran dan tafsir al-Quran, penakwilannya adalah berasaskan mazhab-mazhab ahli sunnah tanpa berpegang dengan penakwilan ahli nafsu yang sesat.
  6. Mereka adalah para zuhud sufi yang memerhatikan maka ia mendapat ilmu, yang diuji maka diambil iktidar daripadanya, redha dengan keteapan ke atasnya, mengetahui bahawa segala penglihatan, pendengaran dan hati akan dipertanggungjawabkan dan dihisab dengan neraca kelak. Mereka menafikan tasybih, mazhab mereka adalah tafwidh (penyerahan terhadap Allah) kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, penyerahan kepadaNya, tenang dengan apa yang direzekikanNya.
  7. Mereka yang berada di barisan hadapan dalam jihad melawan musuh-musuh Islam, menjaga kesucian Islam, sanggup meninggalkan rumah dan isteri merka dan jelas pada mereka mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  8. Mereka yang zahir kebanyakan syiar Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalamnya, bukannya syiar ahli hawa nafsu yang sesat.

Pengiktirafan

  • Syeikh Abdul Qadir Jailani berkata, “Terdapat 73 golongan seperti yang diberitakan oleh Sayyidina Rasulullah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang benar.”
  • Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata, “Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang berjaya dan golongan ini menimbang dan memuktamadkan pemikiran mereka berdasarkan al-Quran.”
  • Syeikh Ahmad Tayeb berkata, “Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah Asya’ari dan Maturidi dalam iktikad, dan mengikuti mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) dalam fiqh, dan mengikuti tasawuf yang sejati secara ilmu, akhlak dan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) menerusi tarekat pimpinan Imam Junaid Baghdadi dan sesiapa yang berjalan di atas kaedahnya daripada imam yang mendapat petunjuk.”
  • Muhammad Hasyim Asy’ari berkata, “Adapun Ahlussunnah Wal-Jama’ah adalah kelompok ahli tafsir, ahli hadis, dan ahli fikih. Merekalah yang mengikuti dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi Muhammad saw dan sunnah Khulafa’ Rasyidin setelahnya. Mereka adalah kelompok yang selamat (al-firqah al-najiyah). Mereka mengatakan, bahwa kelompok tersebut sekarang ini terhimpun dalam madzhab yang empat, yaitu pengikut Madzhab Hanafi, Syafi’i, Maliki, dan Hanbali.”
  • Imam Tajuddin As-Subki berkata, “Ketahuilah bahawasanya Abu Hasan tidak berlebih-lebihan dalam pandangan dan tidaklah mereka-reka suatu mazhab, akan tetapi ia adalah berpandukan mazhab Salaf. Memperjuang apa yang telah diperjuangkan daripada para sahabat-sahabat baginda Rasulullah. Maka dinasabkan melaluinya, yang mana demikian adalah berasaskan lingkungan jalanan salaf. Dan berpegang dengannya serta mendirikan hujah-hujah dan dalil-dalil kukuh ke atasnya, maka jadilah ia suatu ikutan pada jalanan tersebut yang mana jalan mendapatkan petunjuk, dinamakan sebagai Asya’irah.”
  • Sa’id Hawwa berkata, “Sesungguhnya umat Islam sepanjang zaman mereka mempunyai para imam dalam akidah, fiqh dan tasawuf. Maka imam mereka dalam akidah ialah seperti Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi…”
  • Imam Muḥammad Aḥmad al-Safarīnī al-Hanbali berkata, “Ahli Sunah Waljamaah mempunyai tiga firqah. Mereka adalah; Al-Athriyyah: iaitu imamnya Aḥmad bin Ḥ Al-Ashā’irah: iaitu imamnya Abū Ḥasan al-Ash’arī. AL-Maturidiyyah: iaitu imamnya Abū Manṣūr al-Maturidi.
  • Syeikh al-‘Allamah Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad berkata “Ketahuilah bahawa sesungguhnya mazhab Asya’irah dalam akidah ialah di atas jumhur ulama umat Islam, maka yang dinisbahkan kepada mereka yang mengikuti jalan mereka (Asya’irah) merupakan para ulama ummah sejak zaman berzaman, dan mereka ini merupakan imam-imam ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu tafsir dan qiraat, ilmu fiqh dan usulnya, ilmu hadis dan disiplinnya, ilmu tasawwuf, ilmu bahasa dan ilmu sejarah.”
  • Uthman el-Muhammady berkata, “Yang dimaksudkan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah ajaran dan amalan yang berasal daripada Nabi dan para sahabatnya sebagaimana yang ternyata daripada hadith yang menyebut umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, yang selamat hanya satu, iaitu mereka yang dipanggil sebagai jemaah yang selamat dan benar, yang berpegang kepada dasar hidup nabi dan para sahabatnya, mereka itulah Ahli Sunnah Wal Jamaah”
  • Khalif Muammar berkata, “Penting untuk kita ketahui bahawa Asha’irah melalui ilmu Kalam telah banyak berjasa menangkis dan meranapkan hujah-hujah Mu’tazilah, Syi’ah dan kelompok sesat yang lain. Ini kerana hanya golongan Asha’irah-Maturidiyyah yang mempunyai alat untuk melawan hujah dengan hujah secara intelektual sesuatu yang tidak dimiliki oleh ulama’ Ahli Hadith. Selain daripada itu ilmu usul al-fiqh telah banyak mengambil manfaat daripada ilmu Kalam. Kitab al-Burhan oleh Imam al-Juwayni dan kitab al-Mustasfa oleh Imam al-Ghazali menurut Ibn Khaldun adalah dua kitab yang paling berpengaruh dalam ilmu Usul al-fiqh dalam dunia Islam dan keduanya menggunakan ilmu Kalam. Kitab al-Mustasfa bukan sahaja menjadi rujukan mazhab al-Shafi’i tetapi juga diterima pakai oleh mazhab empat yang lain. Sehingga ulama’- ulama’ yang bermazhab Maliki di Tunis, Maghribi, di Barat dunia Islam turut mensyarahkannya. Kerana itu dapat disimpulkan bahawa tindakan memperkecilkan dan mengkeji ilmu Kalam adalah tindakan mundur ke belakang bahkan dapat merosakkan asas-asas peradaban Islam.”

Rujukan:

  1. Sirajuddin Abbas. 2017. I’tiqad Ahlussunnah Wal-Jama’ah. Pustaka Aman Press Sdn Bhd.
  2. Ratib Alami. Dari Siapa Ilmu Diambil. Pelima Media.
  3. Manar al-Fathoni
  4. Sejarah Aqidah Asy’ariyah dan Maturidiyah. https://ift.tt/2qkuy33
  5. ALIRAN AL-ASY‘ARI DAN AL-ASYA‘IRAH: PERKEMBANGAN, PENGARUH DAN KESANNYA DALAM DUNIA ISLAM KHUSUSNYA DI ALAM MELAYU. http://eprints.um.edu.my/3668/1/Al-Asy’ariyyah_Dalam_Dunia_Islam_dan_Malaysia.pdf
  6. AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DAN PEMAKAIANNYA DI MALAYSIA: ISU DAN CABARAN. https://ift.tt/2QdOccA
  7. KERTAS KERJA : PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)[1]. https://ift.tt/2qm91XI
  8. Diskusi Isu Akidah Dan Pemikiran Semasa Di Malaysia. https://ift.tt/2Q84fIR
  9. USAHA MEMARTABATKAN AKIDAH AHLI SUNNAHWAL JAMAAH SEBAGAI PEMANGKIN KELANGSUNGAN MASYARAKAT ISLAM MADANI DI MALAYSIA. http://eprints.uthm.edu.my/4761/1/usaha_memartabatkan_akidah…Islam_Madani_Di_Malaysia.pdf
  10. AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH; PENGERTIAN, SEJARAH, DAN TOKOH. https://ift.tt/2qm5Cs2
  11. SEJARAH PERKEMBANGAN AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH. https://ift.tt/2QdOf8g
  12. ASAL USUL ASWAJA ATAU AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH. https://ift.tt/2ql249j
  13. Sejarah Aliran Mazhab Tauhid: Khawarij, Murjiah, Mu’tazilah dan Ahlusunnah wal Jamaah. https://ift.tt/2Q84io1
  14. International Conference. Who are the Ahl al-Sunna? A clarification of the methodology of the Ahl al-Sunna wa’l-Jama`a in relation to tenets of faith, jurisprudence and spirituality and the effects that deviating from it has on world affairs. https://ift.tt/2qkuD6R
  15. Islamic conference in Chechnya: Why Sunnis are disassociating themselves from Salafists. https://ift.tt/2QdOjVy
  16. Over 100 Sunni scholars declare Wahhabis to be outside mainstream Sunni Islam – Chechnya. https://ift.tt/2qkuEaV
  17. STORM IN A TEACUP: A STATEMENT ON THE CHECHNYA CONFERENCE. https://ift.tt/2QdOm3G

 

Jack Of The Lantern: Dongeng Yang Dibudayakan

Apabila tibanya Hari Halloween pada 31 Oktober, maka umat Kristian di dunia dari pelbagai negara menyambutnya mengikut budaya setempat masing-masing. Malam yang dipenuhi kanak-kanak yang berkostum watak fiksyen seperti hantu dan adiwira sambil membawa bekas untuk mengisi gula-gula.

Pada malam tersebut, masyarakat yang meraikannya pasti tidak terlepas untuk menghiaskan rumah-rumah mereka dengan labu yang diukir dengan berwajah dan diletakkan di dalamnya lilin yang sedang terbakar. Budaya ‘Jack of the Lantern’ ini menjadi sebuah kewajiban bagi mereka setiap kali menyambut perayaan Halloween. Tetapi tahukah anda, kalau diikutkan sejarah asalnya, bangsa Celtic tidak menggunakan buah labu sebaliknya mereka menggunakan turnip (sayuran spesis lobak).

Kita putar kembali ke zaman dahulu, yang di mana kisah dongeng Irish mengisahkan tentang sejarah kemunculan legenda Jack of the Lantern tersebut:

1. Stingy Jack merupakan seorang lelaki tua yang suka mempermainkan manusia dengan pelbagai usikannya tidak terlepas juga terhadap keluarganya dan kawan-kawannya.

2. Mengikut kisah dongeng tersebut, pada suatu hari Stingy Jack mempermainkan seekor syaitan dengan mencabar syaitan tersebut untuk memanjat sebatang pokok epal. Apabila syaitan tersebut sudah berada di atas puncak pokok, maka dengan pantas Jack mengukir lambang salib di dahan pokok epal tersebut. Akibatnya, syaitan tersebut tidak mampu turun, lalu Jack dengan bijakknya membuat satu perjanjian dengannya, iaitu:

A. Tidak menganggu Jack selama 10 tahun.

B. Tidak mengambil jiwanya setelah dia mati.

Maka, syaitan tersebut pun bersetuju, lalu Jack menghapuskan ukiran salib di dahan pokok epal itu.

3. Setelah beberapa lama kemudian, Jack pun meninggal dunia dan rohnya pun ke syurga. Ketika sampai di pintu syurga, Saint Peter menghalang Jack untuk masuk ke syurga dengan alasan yang Jack bukannya manusia yang baik dan suka melakukan kejahatan kepada manusia. Maka, Jack pun turun ke neraka dan bertemu dengan syaitan yang pernah dia mempermainkan. Syaitan tersebut pun menunaikan perjanjiannya yang pernah diikat dengan Jack pada suatu ketika dahulu. Syaitan pun bersetuju untuk menghantar Jack pulang ke bumi.

Waqaf Saham

4. Syaitan tersebut mengambil beberapa percikan api dari neraka dan memberikan kepada Jack yang berfungsi untuk menunjukkan jalan ke bumi semula.

5. Makanan kegemaran Jack adalah lobak dan dia sering membawanya ke mana sahaja dia pergi sehinggakan rohnya pun turut membawa turnip tersebut.

6. Api yang diberikan oleh syaitan kepada Jack diletakkan di dalam turnip tersebut dan ianya menjadi pelita untuk Jack mencari jalan pulang ke bumi.

7. Sehingga ke hari ini, Jack sentiasa berjalan tanpa henti di atas muka bumi sambil membawa pelita turnipnya tersebut.

Daripada kisah dongeng ini, bangsa Celtic selalu mengukir turnip ke dalam bentuk-bentuk mengerikan dan meletakkan lilin yang terbakar di dalamnya. Budaya ini dilakukan supaya Jack tidak datang untuk menganggu mereka.

Ketikamana orang Irish dan Scotland berimigrasi ke Amerika Syarikat, mereka juga membawa tradisi hari Halloween tersebut.

Apabila mereka menemui buah labu iaitu buah yang sering dijamah oleh penduduk asli Amerika (Red Indian), mereka pun mengambil buah labu yang senang untuk diukir berbanding turnip. Maka dari situlah, budaya mengukir turnip ditukar kepada buah labu. Dan budaya ini masih diamalkan oleh orang Irish dan Scotish setiap kali tibanya hari Halloween.

Nama Jack of the Lantern lama-kelamaan berubah menjadi gelaran terkenal, Jack o Lantern.

Sumber:

1. History Channel: History of the Jack O’ Lantern.

2. Pumpkin: The Curious History of an American Icon oleh Cindy Ott.

Selasa, 30 Oktober 2018

Pengurusan Sumber Manusia: Bagaimana Mengekalkan Kesetiaan Staf Kepada Syarikat?

Perniagaan melibatkan banyak aspek pengurusan yang salah satunya termasuklah sumber manusia. Usahawan sentiasa disarankan untuk tidak melakukan kerja sendirian kerana ia mengakibatkan pengurusan yang tidak efektif. Oleh itu, pentingnya untuk mengambil beberapa staff sebagai sokongan kepada perniagaan yang anda jalankan.

Banyak isu yang melibatkan pekerja tidak kira dalam apa bidang sekalipun. Pekerja juga mempunyai hak mereka yang tersendiri. Jika kebajikan mereka dijaga sebaiknya pasti tidak akan timbul sebarang konflik antara majikan atau tugasan mereka. Apa yang boleh usahawan sebagai majikan (pemilik bisnes) boleh lakukan untuk memastikan staff setia dengan anda.

1. Berikan Insentif

Ganjaran boleh diberikan dalam banyak bentuk misalnya pakej percutian, kewangan, penilaian prestasi dan lain-lain yang berkaitan. Insentif yang diberikan ini bukan sahaja sebagai satu bentuk penghargaan kepada pekerja bahkan ia boleh memberikan semangat kepada individu itu sendiri. Pekerja akan lebih bersemangat untuk melakukan yang lebih baik untuk keseluruhan organisasi.

Anda boleh membuat perancangan untuk tempoh memberikan ganjaran tersebut. Ia boleh dilakukan secara bulanan dan dengan memberikan kepada individu tertentu yang menepati piawaian. Tidak ada salahnya memberikan ganjaran untuk membalas segala jasa pekerja. Ia juga sebagai suntukan semangat untuk pekerja terus berusaha maju untuk anda dan perusahaan.

2. Lebihkan Penglibatan Staf

Staf akan merasa dipinggirkan jika diri mereka kurang dilibatkan di dalam urusan syarikat. Ini bakal menimbulkan rasa tidak puas hati di dalam kalangan staf anda. Seeloknya majikan boleh mengajak para staf untuk terlibat aktif dalam apa sahaja agenda syarikat. Keterlibatan sama staf akan memastikan mereka lebih memahami matlamat dan hala tuju syarikat. Jika tidak pasti mereka akan kabur tentang misi yang ingin dicapai syarikat.

Penglibatan aktif staf bukan sahaja tanda mereka diterima baik oleh organisasi bahkan dengan semua maklumat yang ada ia akan memungkinkan staf untuk tidak hanya melakukan tugasnya sahaja bahkan boleh membantu syarikat secara holistiknya. Perkara negatif seperti rasa tidak puas hati dan dipulaukan juga dapat dihindari.

3. Berikan Latihan Secara Berterusan

Walaupun pekerja anda sudah mahir tetap perlu berikan latihan untuk mereka. Latihan ini adalah untuk memastikan pengetahuan dan kepakaran mereka sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Penting juga latihan ini agar ilmu pengetahuan sentiasa di upgrade menjadi lebih baik. Antara latihan yang boleh ditawarkan adalah yang melibatkan bidang pekerjaan staf anda.

Selain daripada itu boleh berikan latihan luaran seperti kelas pengurusan etika pekerjaan, pengurusan tekanan dan sebagainya. Ilmu yang umum ini sangat berguna untuk melahirkan pekerja yang produktif.

4. Ucapkan Penghargaan

Ini paling mudah tetapi paling sukar untuk dilakukan. Mungkin agak sukar kerana ia melibatkan gap antara pekerja dan majikan. Tetapi untuk membina hubungan mesra dan sebagai tanda menghargai staf anda murahkanlah ucapan terima kasih dan jangan lupa untuk memberikan penghargaan kepada mereka.

Bukan semua penghargaan perlu diberi dalam bentuk kewangan sahaja sebaliknya dengan ucapan terima kasih dan penghargaan dengan cara pujian yang ikhlas akan menimbulkan rasa senang di dalam hati pekerja. Sebagai majikan yang bijak dan matang anda tidak rugi apapun dengan mengatakan penghargaan dan pujian kepada staf anda.

Mungkin selama ini kita terlepas pandang soal menghargai staf sehingga menyebabkan ramai staf yang lari dan tidak setia dengan kita. Pengurusan staf sangat penting agar mereka kekal setia dan menjadi tulang belakang yang terbaik untuk kita dan perusahaan yang dijalankan. Jika kita menjaga staf dengan baik, staf akan berikan yang terbaik.



Sumber Pengurusan Sumber Manusia: Bagaimana Mengekalkan Kesetiaan Staf Kepada Syarikat?

Senin, 29 Oktober 2018

Interstellar: Membedah Sebuah Mahakarya Sains Fiksyen

FAQ Isu Semasa ICERD

1. Kenapa membantah cadangan ratifikasi ICERD dalam suku pertama 2019?

a) kerana ICERD bercanggah dengan perlembagaan
b) dibuat membelakangkan Sultan
c) dibuat tanpa rundingan awam
.

2. Kenapa perlu perkenan Sultan dan rundingan awam?

Kerana perkara yang bercanggah dengan perlembagaan itu menyentuh kuasa Sultan dan hak sebahagian besar lapisan rakyat.

Satu proses yang telus (transparent) dan melibatkan semua stakeholder (yang berkepentingan) sepatutnya dilaksanakan. (Transparency and due consultation). Jangan membelakangkan Sultan.
.

3. Bolehkah ratifikasi bercanggah dengan perlembagaan?

Tidak boleh. Kalau dilakukan juga kita harus mengambil tindakan di mahkamah untuk mengenepikannya.
.

4. Pernahkah Kerajaan melakukan sesuatu bertentangan perlembagaan ?

Pernah. Mahkamah telah beberapa kali mendapati sesetengah peruntukan undang2 atau perbuatan kerajaan melanggar perlembagaan.
.

5. Negara Arab pun dah ratifikasi? Tak da masalah pun?

Terpulang kepada keadaan tempatan. Kita di sini terlalu peka berkenaan isu sebegini yang selalu menjadi arus dan naratif perdana awam. Media memainkan isu ini sebagai isu utama dan menjadikannya sensitif untuk rakyat.

Contoh perbezaan nilai sensitif diakibatkan media: di sini media membawa naratif panggilan kepada sebahagian kaum sebagai pendatang adalah rasis. Di Amerika (sebelum trump terutamanya) media membawa naratif bahawa menjadi pendatang adalah satu yang membanggakan. Maka apabila Obama menjadi President mereka bangga mengaku mereka adalah pendatang.

Di kebanyakan negara Arab, naratif dari media berkenaan hak asasi manusia, adalah kebanyakaannya adalah terkawal.
.

6. Bolehkah ICERD diratifikasi dengan pengecualian/ reservation?

Waqaf Saham

Setiap konvensyen dibolehkan membuat pengecualian/reservasi. Cuma setakat ini hanya Komas menyatakan bagaimana ia dikecualikan. Mengikut mereka Artikel 153 perlembagaan kita termasuk dalam takrifan pengecualian artikel 1.

Jawapan ini sebenarnya tidak jujur dengan tindak tanduk mereka. Di bawah artikel 1 tersebut, sekiranya ia dikecualikan ia bukan lagi dianggap diskriminasi kaum. Tetapi setiap laporan tahunan mereka yang lepas menyatakan mana2 sokongan kepada A153 merupakan satu insiden diskriminasi kaum.

Yang lain tidak menyatakan bagaimana mereka akan melakukan pengecualian/ reservasi. Pada pandangan saya pengecualian untuk malaysia adalah substantif termasuk takrifannya. Di bawah ICERD tidak boleh ada pengecualian yang tidak konsisten dengan tujuan ICERD dan boleh dibantah oleh negara lain. Maka Artikel 153 boleh menjadi cemuhan antarabangsa.
.

7. Bukankah menentang ICERD racist dan dianggap menentang diskriminasi kaum?

Tidak. Kita semestinya hendaklah berpegang kepada anti diskriminasi kaum. Ini termaktub di dalam perlembagaan. Sebagai warga Malaysia kita berpaksikan prinsip ini. Tiada pengecualian kecualilah yang dibenarkan di bawah perlembagaan.
.

8. Apakah diskriminasi yang dibenarkan?

Ramai yang tidak tahu umat Islam melayu juga mengalami diskriminasi di bawah perlembagaan. Misalnya undang2 shariah. Akibat undang2 shariah, sesuatu perbuatan itu salah atau tidak bergantung kepada agama/ kepercayaan seseorang.

Misalnya umat islam kalau tidak puasa melakukan satu kesalahan jenayah tetapi untuk bukan islam ianya tidak. Ini sebenarnya diskriminasi. Tetapi ini dibenarkan oleh perlembagaan. Ia merupakan kompromi perlembagaan kita yang mengambil kira tradisi, kehendak dan sejarah kita.

Artikel 153 juga sama. Ia merupakan satu kompromi perlembagaan mengambilkira hak dan sejarah tempatan termasuk di Sabah Sarawak.
.

9. Apakah tindakan seterusnya?

Satu rundingan atau perdebatan awam wajib dibuat sebelum ratifikasi dilakukan pada awal tahun hadapan. Yang paling penting perundingan dengan majlis raja2 mesti dimulakan dan perkenan mereka diperolehi.

Oleh kerana ICERD ini bercanggah dengan perlembagaan, mereka yang mahukan ia diratifikasi hendaklah mendapat “buy in” (penerimaan) dari semua stakeholder (yang berkepentingan) yang terlibat.

Tidak boleh “bulldoze”.

Kita ulang

Tidak boleh “bulldoze”.
.

10. Bagaimana saya boleh ikut serta tandatangan bantahan ratifikasi ICERD tersebut?

Boleh tandatangan bantahan ratifikasi tersebut di petisyen atas talian di sini:
>>https://chn.ge/2OKfHgU
>>https://chn.ge/2OKfHgU
>>https://chn.ge/2OKfHgU

Mohon juga ajak dan sebarkan kepada kawan-kawan yang lain.
.

Sekian.
Sekali lagi den mohon, Sebarkan.

Membangkang Falasi “Ketuanan Melayu” Yang Diangkat Syed Saddiq

Syed Saddiq ada mengarang sebuah rencana panjang mempertahankan dirinya daripada cemuhan demi cemuhan yang dilontarkan ke atas dirinya. Malangnya selepas meneliti rencana itu, aku dapati ia lebih banyak falasi daripada sebarang hujah mempertahankan dirinya. Kenapa aku rasakan ia sebuah falasi? Hayati luahan hati aku yang aku karang menegur Syed Saddiq.

Ketuanan Melayu ni satu ideologi yang wujud pada Zaman Malayan Union dahulu. Itu ialah idelogi yang dilaungkan oleh orang Melayu untuk melawan satu bentuk penjajahan yang lebih dasyat oleh British dalam meragut hak mereka, Ketuanan Melayu dilaungkan pada waktu itu adalah untuk mempertahankan hak mereka sebagai tuan di Tanah Melayu. Hak orang Melayu sebagai pribumi dalam pada MU cuba meragut semua hak-hak tersebut.

Atas nama ideologi sebagai seorang pribumi dan tuan yang memiliki tanah Melayu ketika itu, British terpaksa mengekalkan status quo orang Melayu sebagai pribumi dalam perlembagaan. Atas sebab itu pertukaran kerakyatan antara orang Cina dan India ialah mereka harus menghormati “ketuanan” orang Melayu sebagai pribumi.

Ketuanan Melayu adalah sebuah ideologi. Biarpun ada 1 juta Melayu menghisap dadah, biarpun ada 1 juta Melayu merempit dan buang bayi, ia bukan indikator untuk mengatakan bahawa ia sudah mati selagi ada Melayu lain memeluk ideologi nasionalism dan konservatif ini.

Ia seolah-olah kau mengaitkan umat Islam dengan segala keburukan yang berlaku seperti kebuluran, pengeboman berani mati, atau saling bersengketa antara umat lalu kau dabikkan bahawa “Islam Sudah Berakhir.” Islam tidak berakhir selagi ideologi ajarannya masih lagi dipeluk oleh sebahagian muslim yang lain yang tidak seperti yang dilabelkan ke atasnya.

Ya, kalau retorik ketuanan itu dilaungkan oleh UMNO dulu yang bermula dari zaman PM ke-4 dulu, tetapi walau seretorik mana, idelogi tetap wujud. Bila bertukar pemimpin, bukan bermaksud ia sudah tamat sebab hak sebagai tuan dan pribumi di Tanah Melayu ini tetap perlu dijaga oleh kebanyakan pemimpin. Bukannya kebanyakan pemimpin menjual naratif Melayu Lemah, dengan disogok dengan pelbagai falasi kejahatan, kebangsatan, kebebalan Melayu lalu ditanyakan…

“Apakah kita masih menjadi Tuan?”

Walau sebangsat mana pribumi Melayu di Tanah Melayu ini, ia tidak pernah menafi sejarah. Kalau atas alasan kebangsatan itu digunapakai, minoriti red indian di USA, minoriti native american di benua Amerika tetap juga lebih bangsat keadaannya, ia tidak pernah menafikan mereka tuan sebenar benua Amerika, membina beratusan tamadun sebelum golongan kulit putih sampai.

Waqaf Saham

Kalau ikutkan logik akal si Saddiq ni, orang Melayu ketika Malayan Union pun tidak layak mempertahankan ketuanan mereka sebab ketika itu mereka dalam keadaan terbangsat sebuah bangsa pernah capai iaitu menjadi BANGSA DIJAJAH.

Lagipun kelompok Melayu yang diletakan dengan pelbagai masalah itu bukanlah yang disasarkan dalam idelogi “ketuanan Melayu” ini. Mereka itu tidak layak pun untuk merebut Ketuanan Melayu yang dilaungkan. Syed Saddiq nak tahu siapa yang paling layak dalam kita bercakap mengenai Ketuanan Melayu?

1) Para anak Melayu kita yang masuk ke institut pengajian awam dan sekolah di bawah MARA atau pun MRSM. Malangnya si penghisap dadah,nak masuk kolej atau universiti di bawah MARA atau MRSM pun belum tentu mereka lepas.

2) Mereka yang didabik oleh Syed Saddiq dalam hujah barunya nak dapat masuk universiti macam UiTM atau universiti awam yang lain pun belum tentu mereka lepas. Ini nak masuk saja, bukan ambil jurusan profesional.

3) Mereka yang didabik itu kalau mahu berniaga dan meminjam daripada dana-dana yang disediakan untuk orang Melayu dan Bumiputera yang lain.

4.) Apakah mereka itu yang mampu membeli rumah yang diberi potongan harga sebagai seorang Bumiputera?

5.) Apakah mereka itu orang yang mengangkat dan mempertahankan sejarah dan kebudayaan Melayu?

6.) Apakah mereka itu juga orang yang bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu?

Bila orang Melayu dalam keadaan bangsat seperti yang dilaung Saddiq ni, tugas kau bukan menafikan pemilikan mereka sebagai pribumi pada negara ini, tetapi berusaha untuk mencapai tahap ketuanan itu. Kalau pemimpin terdahulu dakwa kau sebagai retorik dalam melaungkan kata-kata ini, tugas kau bukan mengatakan ia sudah berakhir, tetapi tugas kau adalah untuk membuktikan bahawa kau bukan retorik seperti pemimpin terdahulu UMNO terdahulu.

Syed Saddiq, sukanya aku ingatkan kau berada di bawah sebuah parti yang mengangkat perjuangan Malay Nationalism dan Konservatif Melayu. Seharusnya perjuangan kau sebagai ketua pemuda parti kau harus bersandarkan ideologi kanan ini, bukan lari jauh sampai ke kiri. Bukannya bersuara bagi pihak kiri yang sudah lama mengidam untuk menggugurkan azimat yang dipeluk oleh nenek moyang orang Melayu in.

Akhir sekali, hayatilah kata-kata daripada Prof Dr Teo Kok Seong yang menegur politikus di luar sana yang salah mengerti maksud ketuanan Melayu itu sendiri. Malulah diri kita yang merupakan seorang Melayu, tetapi memperlekehkan ideologi ini, sedangkan dalam masa yang sama, seorang yang tidak ada titik darah Melayu dalam badannya, bangkit menegur dan mempertahankan ideologi ini.. Ingat, Ketuanan Melayu bukan bermaksud konsep hamba dan tuan, sebaliknya ia adalah idelogi yang mengangkat orang Melayu sebagai pribumi di Alam Melayu ini.

Selepas Tumbangnya Melaka…

Selepas tersebarnya khabar kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kisah-kisah tentang kekayaan dan kemegahan Melaka disahkan kebenarannya. Ia kemudiannya terus tersebar luas ke seluruh dunia terutamanya rantau Eropah.

Khabar dari Melaka ketika itu secara automatik memberi gambaran bahawa ia turut mencerminkan juga tentang kemewahan dan kemakmuran kerajaan-kerajaan Melayu lain di nusantara ketika itu, menarik minat lebih ramai lagi utusan empayar Eropah untuk datang sendiri bagi melihat apa yang dikatakan pelayar dan penjelajah mereka tentang cerita-cerita eksotika Nusantara.

Perlu diperjelaskan dahulu, antara hikmah kejatuhan Kota Melaka, ia tidaklah pula menjatuhkan kerajaan Melayu lain di sekitar Tanah Melayu dan Nusantara ketika itu.

Ia malah menjadikan pusat pentadbiran kerajaan Melayu Islam lain berkembang dan meluaskan pengaruh, bertebaran terus ke segenap Nusantara. Kejatuhan Melaka malah menyebarluaskan potensi waris-waris dari Melaka sendiri untuk membuka kerajaan Melayu Islam yang baharu di tempat lain.

Alhamdulillah, selepas Melaka, kerajaan Johor, Pahang, Perak dan Sumatera dibuka, menjadi kaya dan makmur atas rahmatNya memberikan kesuburan tanah dan kekayaan hasil bumi, strategik kedudukan geografi juga pentadbiran kerajaan yang adil, efisien selain aktiviti ekonomi juga perdagangan antarabangsa yang rancak.

Pusat pentadbiran kerajaan Melayu pasca kejatuhan Melaka memang telah berpindah selepas itu. Perkembangan dalam tempoh 100 tahun pertama pasca kejatuhan Melaka ke tangan Portugis tidak dinafikan memacu perkembangan dan kemajuan banyak kerajaan Melayu Islam di kepulauan Nusantara.

Namun perkembangan ini tetap dicemburui Eropah. Selepas Portugis menjajah Melaka, Belanda misalnya melalui VOC cuba mendapatkan laba dari kepulauan Jawa, Sulawesi dan kemudiannya Maluku. Mereka menjajah dan menjarah kerajaan dan tanah subur di situ untuk kepentingan ekonomi mereka sendiri, sambil memperhambakan sekalian rakyat asalnya.

Kerajaan Eropah lain dengan titah raja masing-masing tidak mahu ketinggalan melihat atau mengaut laba demi kepentingan sendiri di atas kehebatan kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara ini.

Perancis misalnya tidak mahu ketinggalan. Mensasarkan Aceh demi potensi perdagangan, selain mahu menghalang perluasan kuasa oleh VOC Belanda di Nusantara.

Selepas Perjanjian Angoulême ditandatangani pada 1619, konflik antara Raja Louis XIII dengan ibunya sendiri iaitu Permaisuri Marie de Medici berakhir. Tamatnya perang saudara di Perancis ini memberi peluang kepada mereka untuk memberi fokus kepada hubungan antarabangsa dan perdagangan luar negara dengan kerajaan lain melalui jalan laut.

Seorang Laksamana Perancis, Augustin de Beaulieu telah dititahkan oleh Raja Louis XIII untuk membawa armada Perancis meneroka hingga ke Asia Tenggara dan Nusantara, ketika itu dikenali sebagai Hindia Timur (East Indies).

Ia bertujuan untuk mencari prospek laluan perdagangan baharu bagi Perancis yang sedang pulih dari kesan perang saudara malah lebih penting lagi, ekspedisi bersenjata ini dikerah untuk menghalang perkembangan jalan laut oleh Belanda.

Ekspedisi ini membawa Augustin de Beaulieu ke Aceh pada 1621 (ada rujukan menulis 1620). Tiga kapalnya iaitu de Montmorence, de Esperance dan Hermitage berlabuh di Aceh, membawa bersamanya utusan surat dan hadiah-hadiah khusus dari Raja Louis XIII untuk Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, raja yang memerintah kerajaan Aceh Darussalam ketika itu.

Di dalam laporan Laksamana Augustin, ada ditulis tentang apa yang ditemukan dan dilihat oleh beliau sendiri sepanjang ekspedisi mereka berlabuh di Aceh;

“Bahawa banyak sekali penduduk Aceh yang tahu membaca dan mengira. Mereka juga menggemari sastera, pembersih yang jelas dapat dilihat melalui pakaian dan rumahnya. Kemahiran bertukang adalah bakat orang Aceh, pertukangan besi, tembaga dan membina kapal, kepakaran mereka amat mengagumkan. Di laut, berdirinya kapal-kapal perang Aceh yang jauh lebih besar dari kapal-kapal perang yang pernah dibina oleh orang-orang Eropah pada zaman itu.”

Waqaf Saham

“Telah kusaksikan sendiri, bahawa kapal pertengahan sahaja ada 120 kaki panjangnya. Orang Aceh amatlah pakar membuat kapal perang, cantik tapi berat, sangat lebar dan tinggi pula. Di dalamnya terdapat bilik-bilik. Dayung-dayungnya panjang dan ringan. Setiap dayung dikayuh dua orang. Kapal-kapal perang itu dipelihara baik-baik sehabis perang. Setiap kapal disediakan beberapa meriam besar.”

“Setiap kapal boleh membawa 700 hingga 800 tentera, dan mereka mampu pula bertugas berdayung berganti-ganti kalau angin tidak kuat. Gajah-gajah cukup banyak. Haiwan ini amat penting sekali dan diperlukan di dalam peperangan. Kapal-kapal yang akan dinaikkan ke pantai untuk digalang dan disimpan, gajahlah yang menariknya. Ditaksir tidak kurang daripada 900 ekor banyaknya gajah kepunyaan Sultan sendiri. Semuanya tahu menjalankan tugas di dalam peperangan, sudah terlatih untuk lari, membelok, berhenti, duduk berlindung dan sebagainya;”

“Mudah sahaja dijumpai tukang-tukang besi yang ahli, apa lagi tukang-tukang membina kapal banyak sekali. Pun banyak sekali dijumpai tukang-tukang yang pandai menuang tembaga. Sebagai pegawai Sultan sahaja di dalam istana (Istana Darud Dunia) didapati tidak kurang daripada 300 orang tukang emas, dan banyak sekali tukang-tukang kayu. Ada sejumlah 1500 hamba sahaja yang cukup dipercayai dan yang segera dapat menjalankan perintah dengan tanpa berfikir-fikir dan bimbang. Mereka itu kebanyakan asal dari orang asing (Habsyi).”

“Istana dikelilingi oleh lapangan kira-kira satu setengah batu berbentuk bulat telur. Melewati istana mengalir sungai yang airnya jernih sekali. Kiri kanannya banyak tangga untuk turun mandi berkecimpung ke dalamnya. Sebelum sampai ke ruang istana sebenarnya, harus dilalui dahulu empat buah pintu gerbang. Terakhir sengaja dipertebal temboknya daripada batu-batu tebalnya 50 langkah. Di empat penjuru didapati empat buah menara tinggi. Sesudah dinding terakhir, didapati lapangan luas. Di situlah nampak sejumlah 4000 tentera dn 300 gajah yang bertugas di dalam.”

Laksamana Augustin de Beaulieu menerangkan dengan terperinci struktur sosio budaya dan latar belakang kemajuan ekonomi Aceh ketika itu. Dinyatakan juga kekgumannya dengan binaan kapal dan Istana Darud Dunia semasa kegemilangan zaman emas Aceh semasa baginda Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam bersemayam di atas takhta.

Di akhir ekspedisi ini de Beaulieu berjaya mendapatkan kebenaran perdagangan malah diberikan kebenaran untuk membina kilang di Aceh demi hubungan ekonomi antara dua kerajaan ini.

Resam kolonial Barat datang ke rantau sebelah sini meninjau peluang perdagangan dan ekonomi, datang dengan ekspedisi dan armada kapal, membawa pulang cerita dan peluang pelbagai, prospek untuk tanah air mereka sendiri.

Kebanyakannya hadir begitulah jalan ceritanya. Portugis dan Belanda tiba juga asalnya mahu berdagang juga. Misi Perancis ini juga lebih kurang sama, namun walaupun terdapat perselisihan dan konflik sesama empayar Eropah ini, namun tujuan asal mereka sama iaitu untuk meluaskan pengaruh, ideologi dan agama. Misi gold, gospel dan glory.

Perancis misalnya bertembung dengan armada Belanda di Selat Melaka dalam satu pertempuran di perairan berhampiran pantai Sumatera semasa ekspedisi Augustin de Beaulieu. Namun selepas sebuah kapal mereka ditawan Belanda, mereka kembali berunding lantas setuju menandatangani Perjanjian Compiègne yang menghentikan konflik sesama mereka di Selat Melaka demi kepentingan masing-masing di rantau ini.

Ini jelas memperlihatkan mereka bersedia bersatu dengan objektif yang kita semua tahu di akhirnya meleraikan kekuasaan kerajaan Melayu Islam ini, memperhambakan rakyatnya dan menjarah kekayaan buminya secara literal.

Kisah-kisah kehebatan dan kemewahan kerajaan Melayu Islam di Nusantara ini dicemburui mereka dahulu dan kini yang mahu memberi nilai baharu di atas keharmonian bermasyarakat dan kemakmuran sosial menurut terma yang mereka sendiri ciptakan ke atas kita.

Maksudnya, jika naratif ‘gold, gospel and glory’ menjadi panduan kerajaan asing ini menjajah dan menjarah tanah dan hak milik penduduk asal Nusantara ini suatu ketika dahulu, naratif moden hari ini menggunakan pula naratif ‘hak asasi manusia’ dan ‘kesamarataan sosial’ dengan nilaian kaca mata mereka sendiri.

Senjata ideologi dan pemahaman sebegini diberi tafsiran dari kacamata dari waris penjajah dan tuan putih yang sama hadir dengan penuh muslihat dan musibat suatu ketika lama dahulu. Ia senjata yang lebih hebat, tajam dan bisa dari meriam dan peluru bedil yang pernah mereka guna ke atas kita semua.

Hari ini, penjajah moden tidak lagi belayar dengan armada dan kapal-kapal besar, tetapi cukup dengan layaran media sosial dan internet membawa risalah dan pengaruh yang mahukan penyertaan kita atas tiket pengiktirfan dunia moden sejagat.

Andai tidak berwaspada dan berjaga-jaga, kita dan semua sekali bakal jadi ‘mangsa’ semula.

Tanya pada diri sendiri, jika para penjajah ini mendatangi kerajaan-kerajaan Melayu Islam sebagaimana Portugis mendatangi Melaka, Belanda pula mendatangi Jawa, Sulawesi dan Maluku dan Perancis kemudiannya mendatangi Aceh Darussalam ketika era kegemilangan dan zaman emas kerajaan Melayu Islam ini, apa pula yang menghalang mereka untuk sekali lagi hadir ketika Melayu dan Islam di tanah ini berada pada tahap rendah dan sedang retak menanti belah?

RUJUKAN:

1. Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, Suzana Haji Othman, 2014

2. Laporan Perjalanan Augustin de Beaulieu diterbitkan kembali di dalam J. Jacobs, di dalam. Het Familie en Kampongleven op Groot Atjeh. Leiden: E.J. Brill, 1894

3. Early Kingdoms: Indonesian Archipelago & The Malay Peninsula, Paul Michel Munoz, 2006

*Peta “Achem” (Aceh) di bawah adalah karya Jacques Nicolas Bellin (1703-1772), seorang jurupeta (cartographer), ahli hidrografi diRaja, jurutera Tentera Laut Perancis dan ahli Persatuan diRaja.

Halloween: Perayaan Pagan Celtic Yang Dimodenkan

1. Halloween adalah sebuah hari perayaan yang disambut oleh masyarakat Kristian pada masa kini yang ditetapkan pada 31 Oktober. Perayaan yang pada mulanya merupakan sebuah sambutan agama pagan, lama-kelamaan ianya diserapkan ke dalam agama Kristian sebagai salah satu bentuk kebudayaan agama mereka.

2. Perlu diketahui sejarah perayaan ini bermula pada 2,000 tahun dahulu yang dimana bangsa Celtic, bangsa yang pernah mendiami tanah yang disempadankan negara moden sekarang iaitu Ireland, United Kingdom dan Perancis utara, menyambut sambutan tahun baru mereka pada 1 November.

(The Archaeology of Celtic Britain and Ireland: C.AD 400 – 1200 oleh Lloyd Robert Laing).

3. Pada hari itu (1 November), bangsa Celtic menandakan hari tersebut merupakan hari terakhir berakhirnya musim panas dan bakal bermulanya musim sejuk yang dipenuhi kegelapan, kesejukan dan musim yang dimana menyebabkan kematian manusia di wilayah berkenaan.

4. Bangsa Celtic percaya bahawasanya pada malam 31 Oktober, benteng penghalang diantara dunia kematian dan dunia kehidupan akan dibuka, dan para roh dari dunia kematian akan mengambil peluang ini untuk kembali ke bumi.

5. Bangsa Celtic yang percaya dengan kehadiran para roh yang bakal mencetuskan kekacauan diantara manusia bahkan merosakkan tanaman menemui sebuah inisiatif untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku iaitu dengan melakukan sebuah upacara yang menghormati dewa-dewi mereka. Upacaya perayaan ini dikenali sebagai Eve of Samhain dan dijalankan oleh para Druid. Sam-hain membawa maksud ‘penghujung musim panas’.

Jadinya, pada petang tersebut (sebelum tibanya malam 31 Oktober), para pendeta Celtic atau lebih dikenali sebagai Druid akan melakukan sebuah ritual kepercayaan mereka dengan membakar unggun api yang dianggap suci ditengah sesebuah kelompok masyarakat. Pada waktu berjalannya ritual tersebut, masyarakat Celtic kuno selalunya mengenakan pakaian/kostum yang diperbuat daripada haiwan (tulang, kulit dan bulu haiwan).

Setelah masyarakat berkumpul di sekitar unggun api, maka mereka dikehendaki mempersembahkan korban mereka kepada dewa-dewi dengan membakar haiwan atau hasil tanaman mereka ke dalam unggun api tersebut. Dengan mempersembahkan korban mereka, maka mereka percaya yang para dewa-dewi akan melindungi bangsa Celtic selama berlangsungnya musim sejuk tanpa sebarang kecelakaan atau kematian.

Sebelum tibanya malam, maka unggun api tersebut dipadamkan pada petang itu juga. Maka pada malam 31 Oktober, unggun api tersebut dinyalakan semula yang menandakan musim sejuk mereka selamat tanpa ancaman bahaya.

(Magic of the Celtic Otherworld: Irish History, Lore and Rituals oleh Steve Blamires).

6. Sehinggalah tiba pada tahun 43 M, empayar Rom berhasil menakluk keseluruhan tanah yang majoritinya didiami oleh bangsa Celtic. Pertembungan diantara agama Kristian yang menjadi agama rasmi empayar Rom dan agama pagan anutan bangsa Celtic selama 400 tahun lamanya menyebabkan sebahagian kebudayaan Celtic diserapkan ke dalam kebudayaan Rom. Tidak terlepas juga dengan perayaan Samhain ini.

7. Empayar Rom mencampurkan perayaan Samhain ke dalam dua buah perayaan mereka iaitu perayaan Ferallia dan Pomona.

Perayaan Ferrallia adalah perayaan bangsa Rom yang menghormati roh orang yang telah meninggal dunia manakala perayaan Pomona merupakan sebuah sambutan yang menghormati Dewi Pomona, iaitu dewi yang menjaga buah-buahan dan pokok.

Waqaf Saham

(Ovid’s Revisions: The Editor as Author oleh Francesca K. A. Martelli & Halloween and Commemorations of the Dead oleh Roseanne Montillo)

8. Setelah mendapat perizinan rasmi daripada kaisar empayar Rom Byzantine Phocas untuk mengubah kuil Pantheon (kuil menyembah dewa agama pagan Rom) ke gereja maka pada tanggal 13 Mei 609 M, Pope Boniface IV menetapkan perayaan pada hari tersebut adalah ‘All Martyrs Day’.

9.Setelah beberapa lama menyambut perayaan All Martyrs Day, maka Pope Gregory III menetapkan pula tarikh perayaan tersebut diubah ke tanggal 1 November dan hari tersebut mula digelar sebagai ‘All Saints Day’.

10. Pada abad ke-9 M, seiring dengan perkembangan kekuasaan empayar Rom dan agama Kristian, maka majoriti masyarakat Celtic yang memegang agama pagan berubah perlahan-perlahan dan menganut agama Kristian.

11. Pada tahun 1000 M, pihak gereja menetapkan pula pada tanggal 2 November sebagai ‘All Souls’ Day’ iaitu hari yang menghormati para roh.

Hari perayaan ‘All Souls’ Day’ masyarakat Celtic yang beragama Kristian hampir menyamai perayaan pagan Samhain iaitu hari tersebut juga diraikan masyarakat dengan menyalakan unggun api yang besar dan masyarakat yang berpakaian sepertimana menyambut perayaan Samhain. Selain itu, Hari Para Saint (All Saints Day) dikenali sebagai All-hallows atau All-hallowmas yang diambil daripada perkataan ‘Alholowmesse’. Lama-kelamaan bangsa Celtic yang beragama Kristian memanggil perayaan All Saints Day sebagai All-Hallows Eve.

Dan dari hari All Hallows Eve sambutan bangsa Celtic ini, ianya mula diserapkan kepada bangsa lain dan pada hari kita semua mengenalinya sebagai Hari Halloween.

Kesimpulannya, Hari Halloween merupakan perayaan yang pada asalnya merupakan sebuah sambutan khusus yang diraikan oleh bangsa Celtic ketika mereka masih memegang agama pagan. Tetapi kerana ianya adalah sebuah perayaan yang turut dilakukan oleh umat Kristian, kita umat Islam haruslah menghormati sambutan sebegini, tetapi janganlah kita sesekali mengorbankan keimanan kita dengan turut menyambut perayaan tersebut. Cukuplah sekadar menghormati, bukannya ikut serta sekaki dengan memasang alasan ‘aku fleksibel’.

Kepala Jack o Lantern kau. Sebab apa? Sebab perayaan ini tidak ada kena mengena dengan bangsa Melayu dan agama Islam.

Saudara-saudara seIslamku, ingatlah ayat suci ini selalu dan sematkan di dalam hati kita untuk diamalkan tanpa segan-silu:

“Katakanlah; Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga tidak akan menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan menyembah sebagaimana caramu menyembah. Kamu juga tidak menyembah sebagaimana caraku menyembah. Bagi kamu agamamu sendiri dan bagiku agamaku sendiri”.

(Al-Kafirun ayat 1-6).

Sumber:

1. Ascension Cosmology oleh TJ Morris.

2. The Archaeology of Celtic Britain and Ireland: C.AD 400 – 1200 oleh Lloyd Robert Laing.

3. Magic of the Celtic Otherworld: Irish History, Lore and Rituals oleh Steve Blamires.

4. Ovid’s Revisions: The Editor as Author oleh Francesca K. A. Martelli.

5. Halloween and Commemorations of the Dead oleh Roseanne Montillo

Minggu, 28 Oktober 2018

Asoka – Maharaja Maurya Yang Memilih Jalan Damai

Bagi peminat filem Hindustan dan sejarah India, pasti tidak akan lupa filem Asoka yang ditayangkan pada tahun 2001. Filem yang menampilkan Shah Rukh Khan sebagai Maharaja Asoka menceritakan bagaimana maharaja ketiga Empayar Maurya itu meluaskan kekuasaannya dan seterusnya, memeluk agama Buddha dan memilih jalan damai. Tetapi bagi yang ingin tahu selok-belok empayar ini pasti tertanya-tanya, siapa Asoka di mata sejarah?

Asoka dan Empayar Maurya

Sebelum mengenali maharaja ketiga Empayar Maurya ini, adalah elok kita mengenali terlebih dahulu empayar berkenaan. Empayar Maurya ditubuhkan oleh Chandragupta Maurya yang juga nenda kepada Asoka. Semasa empayar berada di puncak kegemilangannya, Empayar Maurya bukan saja berkuasa di India tetapi juga mempunyai wilayah jajahan di Pakistan, Afghanistan, Bhutan, Nepal, Bangladesh dan sebahagian kawasan di Iran. Kebanyakan aktiviti perluasan kuasa ini berlaku semasa era Maharaja Chandragupta.

Asoka merupakan putera kepada maharaja kedua Empayar Maurya, Bindusara dan Subhadrangi/Dharmma (isteri yang bertaraf rendah di sisi maharaja). Selain mempunyai seorang adik, baginda mempunyai beberapa orang abang tiri. Menurut satu legenda, bagi memastikan tuntutannya terhadap takhta tidak terjejas, Asoka berlawan dan membunuh 99 orang saudaranya demi memastikan takhta Maurya menjadi miliknya. Hanya seorang saja adiknya bernama Vitashoka yang dibiarkan hidup.

Tetapi yang pasti, sejak dari awal Asoka sudah menunjukkan kebijaksanaannya sebagai seorang panglima perang dan pentadbir yang baik. Walau bagaimanapun, berikutan statusnya yang dinyatakan di atas, peluang baginda untuk menaiki takhta agak tipis. Ini berikutan abang-abang tirinya dilihat mempunyai kelebihan untuk mengambilalih takhta. Namun, kemampuan Asoka sudah menimbulkan kecurigaan mereka kerana mereka bimbang ayahanda mereka menyerahkan takhta kepadanya. Dan orang yang bakal mengalami kerugian banyak dari semua ini ialah putera sulung Bindusara, Susima. Ini mendorongnya untuk menghapuskan Asoka dari mencabar tuntutannya ke atas takhta Maurya.

Bagi menjayakan rancangan ini, Susima menyakinkan ayahandanya untuk menghantar Asoka menghapuskan pemberontakan di Taxila. Tetapi plot baginda tidak menjadi kerana sebaik adindanya itu tiba di Taxila, Asoka disambut dengan tangan terbuka oleh penduduk wilayah dan sebarang elemen pemberontakan berjaya dipatahkan tanpa sebarang pertumpahan darah. Susima yang terdesak menghasut Bindusara membuang Asoka dan ini menyebabkan putera raja Maurya itu menghabiskan tempoh dua tahun dalam buangan. Tetapi tempohnya dalam buangan tidak bertahan lama kerana selepas itu, berlaku pemberontakan di wilayah Ujjain yang memaksa Bindusara memanggil semula Asoka. Walaupun berjaya menghapuskan pemberontakan di Ujjain, baginda mengalami kecederaan semasa berperang. Untuk mengelak kecederaannya diketahui Susima, Asoka dirawat secara rahsia oleh sami-sami Buddha. Menurut para sejarawan, ini sebenarnya pertemuan pertama baginda dengan ajaran agama Buddha.

Pada tahun 272 Sebelum Masihi (BC), Bindusara jatuh gering dan mangkat. Kemangkatan baginda menyebabkan berlakunya perebutan takhta antara putera-putera raja Maurya termasuk Asoka dan Susima. Tetapi pada akhirnya, baginda muncul sebagai pemenang dan menduduki takhta pada tahun 269 BC. Selepas menaiki takhta, baginda meneruskan dasar perluasan kuasa Empayar Maurya untuk lapan tahun berikutnya dari Assam di Timur hingga Balochistan di Barat, dari Pamir Knot di Afghanistan di utara hinggalah semenanjung di selatan India kecuali wilayah Tamil Nadu dan Kerala. Ini kerana pada ketika itu, dua wilayah tersebut diperintah oleh tiga kerajaan lama Tamil.

Era awal pemerintahan

Semasa tahun-tahun awal pemerintahannya, baginda mempunyai tabiat panas baran dan tidak berperikemanusiaan. Berdasarkan satu legenda, pada satu ketika Asoka mahu menguji kesetiaan para menterinya dengan memerintahkan mereka memotong semua pokok bunga dan buah serta tidak memotong pokok yang berduri. Bila mendengar perintah Asoka itu, mereka menjadi keliru dan mempersoal arahan baginda. Selepas dipersoal bukan sekali tetapi tiga kali, baginda yang sudah hilang sabar mengeluarkan pedang dari sarungnya dan memenggal lebih 500 menteri yang ada pada ketika itu. Selain ini, Asoka juga dikatakan bertanggungjawab membina ruang seksaan yang dipanggil Neraka Asoka. Binaan ini dibuat atas permintaan pertanda baginda yang baru dilantik Girika dan inspirasi binaan ini diambil dari lima seksaan neraka berdasarkan kepercayaan agama Hindu.

Berdasarkan satu legenda, salah satu mangsa Girika ialah seorang sami Buddha bernama Samudra. Walaupun diseksa berkali-kali oleh Girika, Samudra tidak mengalami sebarang kecederaan dan berita tersebut sampai ke pengetahuan Asoka. Baginda kemudiannya bertemu dengan sami Buddha tersebut di mana baginda disuruh bertaubat dan membina 84,000 stupa berdasarkan ajaran Buddha. Terkesan dengan peristiwa tersebut, baginda bertaubat, merobohkan ruang seksaannya dan membunuh para pertanda yang menjalankan hukuman.

Tetapi kisah Asoka memeluk agama Buddha tidak terhenti di situ saja. Menurut satu lagi versi dan diyakini para sejarawan, peristiwa tersebut berlaku semasa proses perluasan kuasa Empayar Maurya di Kalinga. Selepas berjaya menewaskan Kalinga dan memaksa mereka tunduk dengan kekuasaan Maurya, Asoka pergi ke ibu negeri Kalinga untuk meninjau kemusnahan. Apabila mendapat tahu jumlah mangsa yang terbunuh dan kemusnahan yang melanda kerajaan berkenaan, ini ternyata mengganggu maharaja tersebut. Ini menyebabkan Asoka enggan lagi memilih cara keganasan dan memutuskan memeluk agama Buddha.

Waqaf Saham

Pemerintahan pasca-Kalinga

Selepas Kalinga, baginda boleh dikatakan berkuasa di India kecuali di wilayah selatan. Tidak diketahui apa punca Asoka enggan meneruskan proses perluasan kuasanya di situ tetapi ada berspekulasi ia berkemungkinan berpunca dari peristiwa yang disaksikan baginda semasa di Kalinga. Yang pasti, baginda menghentikan dasar perluasan kuasa dan menjadikan empayarnya sebagai sebuah empayar yang kaya dan makmur untuk tahun-tahun mendatang.

Salah satu edik baginda yang paling terkenal ialah Edik Asoka. Edik yang diukir pada batu-batu dan dinyatakan dalam pelbagai dialek atau bahasa ini menyatakan keinginan baginda yang harus diketahui rakyat. Berikut kandungan Edik Asoka:

1. Kebebasan dan toleransi beragama.
2. Membantu golongan miskin dan orang tua.
3. Menubuhkan pusat perubatan bagi manusia dan haiwan.
4. Taat kepada ibu bapa.
5. Menghormati golongan yang lebih berusia.
6. Bersikap pemurah terhadap pendeta dan ajaran agama.
7. Menanam pokok buah dan teduhan.
8. Menggali perigi-perigi bagi kegunaan para pengembara.

Bagaimanapun, tidak semua menyambut baik edik yang dikeluarkan Asoka ini. Golongan pendeta Brahman misalnya menyifatkan edik berkenaan menyukarkan mereka mengadakan pelbagai upacara keagamaan membabitkan korban binatang. Begitu juga dengan golongan pemburu dan nelayan yang menyifatkan edik berkenaan mengancam sumber mata pencarian mereka. Golongan petani miskin turut menyifatkan edik tersebut menyusahkan mereka dalam membersihkan kawasan kebun dan mengerjakan tanaman mereka.

Cerita tradisi Buddha banyak menceritakan pelbagai legenda tentang Asoka dari peristiwa memeluk agama berkenaan hinggalah sokongan bagi misi dakwah agama berkenaan di Greece, Mesir dan Syria. Satu cerita menunjukkan Asoka menghantar sekumpulan sami Buddha untuk menubuhkan sebuah sekolah bernama Sthaviravada di Sri Lanka pada tahun 240 BC. Bagaimanapun, agak sukar untuk mengesahkan kisah-kisah ini benar-benar berlaku atau tidak kerana cerita-cerita ini suka membesar-besarkan perilaku Asoka sebelum memeluk agama Buddha dan jasanya terhadap agama berkenaan.

Yang pasti, sejarawan yakin Asoka memilih jalan sama yang dilakukan Constantine atau Akhenaten bagi mengukuhkan kekuasaan kerajaan masing-masing: menjadikan agama pilihan mereka sebagai agama rasmi negara atau empayar. Dalam kes Asoka, baginda menjadikan agama Buddha sebagai agama rasmi Empayar Maurya dan menggalakkan aktiviti penyebaran agama berkenaan. Baginda juga dilihat tidak keberatan menerima nasihat para sami Buddha dalam soal pemerintahan. Berdasarkan kajian, agama Buddha pra-era Asoka boleh dianggap kecil dan terhad. Ini dibuktikan menerusi kekurangan bukti arkeologi berkenaan agama Buddha dari peristiwa kematian Gautama Buddha hinggalah era Asoka. Selepas era baginda, banyak bukti yang menunjukkan kewujudan agama berkenaan di India.

Legasi

Mitos dan legenda yang menyelubungi kisah Asoka kemudiannya menjadi model inspirasi dan pemerintahan yang jujur kepada para pemerintah dari Sri Lanka hinggalah Jepun. Misalnya kisah Samudra yang memerintahkan baginda membina 84,000 stupa, kisah tersebut dijadikan inspirasi kepada para pemerintah terkemudian terutama di China dan Jepun yang meniru inisiatif Asoka dalam soal pemerintahan dan keagamaan.

Tetapi jika apa yang diimpikan Asoka itu akan bertahan lama, jawapan kepada soalan itu adalah tidak. Selepas mangkat pada tahun 232 BC, Empayar Maurya hanya dapat bertahan selama 50 tahun sebelum akhirnya binasa. Ini berlaku selepas maharaja terakhir Maurya, Brihadratha dibunuh oleh panglima perangnya sendiri Pushyamitra Shunga semasa baginda memeriksa barisan kehormatan.

Pushyamitra kemudiannya menubuhkan dinastinya sendiri yang wujud dari 185 hingga 75 BC di mana ia hanya dapat memerintah sebahagian kecil wilayah yang pernah membentuk jajahan luas Empayar Maurya. Sementara agama Buddha pula mati selepas kemangkatan Asoka tetapi tersebar di luar India terutama di Asia Timur dan Asia Tenggara sehingga menjadi sebahagian dari agama dunia yang diketahui hari ini.

SUMBER

1. Violatti, Cristian. (2018). Ancient.eu. Ashoka the Great. https://ift.tt/2FWV6kh

2. DHWTY. (2015). Ancient-Origins.net. Ashoka the Great: From Cruel King to Benevolent Buddhist. https://ift.tt/2qhW9Sl