Sabtu, 29 September 2018

Shoot Me In The Heart (2015): Kisah Si Gila Yang Waras

Shoot Me In The Heart merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah novel terkemuka berbahasa Korea yang sama judulnya. Novel tersebut telah memenangi anugerah Segye Literature Award pada tahun 2009. Filem arahan Mun Che-Yong ini dibintangi oleh pelakon Korea Selatan yang hebat seperti Lee Min Ki dan Yeo Jin Goo.

Jalan ceritanya sangat mudah. Diceritakan dari sudut pandangan naratif pertama ataupun ‘first person narrative’, filem ini mengisahkan tentang kehidupan 2 orang watak utama iaitu Seung-min (lakonan Lee Min Ki) dan Soo-myung (lakonan Yeo Jin Goo) di dalam sebuah hospital sakit jiwa, Soori Hope Hospital. Seung min yang dimasukkan ke hospital tersebut oleh abangnya yang tamakkan harta berkawan dengan Soo myung yang dimasukkan oleh bapanya sendiri setelah ibunya mati akibat bunuh diri.

Seung min merupakan seorang yang pernah mempunyai masalah psikologi namun kini waras, manakala Soo myung mempunyai fobia terhadap gunting kerana ibunya telah membunuh diri dengan menjadikan gunting sebagai senjata. Shoot Me In The Heart mengisahkan kehidupan 2 orang yang berlainan perwatakan dan masalah serta perhubungan dan persahabatan mereka bersama penghuni hospital sakit jiwa yang lain. Filem ini juga mempamerkan kerjasama dan susah-payah mereka dalam misi melepaskan diri daripada hospital sakit jiwa tersebut dengan bantuan rakan-rakan yang lain.

i. Psikologi Di Sebalik Filem

Rosenhan Experiment

Menonton filem ini mengingatkan penulis kepada salah satu eksperimen yang boleh dikaitkan dengan kisah Seung min yang dimasukkan ke hospital sakit jiwa dalam keadaan waras dan dikurung kerana tidak dapat membuktikan kewarasannya sendiri. Hal ini kerana, siapa yang ingin percaya akan kata-kata seorang yang ‘gila’?

Pada tahun 1973, seorang pakar psikologi daripada Stanford University iaitu David Rosenhan telah membuat kajian tentang keberkesanan diagnosis pakar psikiatri menerusi jurnal yang bertajuk ‘On being sane in insane places’. Eksperimen yang ‘mengkritik’ diagnosis pakar psikiatri ini merupakan salah satu eksperimen yang terkemuka sehingga lah ke hari ini. Eksperimen ini dikenali sebagai Rosenhan Experiment.

Rosenhan bersama-sama dengan 7 orang lain yang sihat minda atau waras telah berpura-pura berlakon sebagai pesakit mental yang mendengar bisikan dan mempunyai halusinasi. Mereka telah pergi ke hospital sakit jiwa, melaporkan kondisi diri kepada pakar psikiatri dan seterusnya berjaya didiagnosis dan dimasukkan sebagai pesakit mental. Setelah dimasukkan ke dalam hospital sakit jiwa, mereka telah melaporkan bahawa mereka tidak lagi mempunyai masalah halusinasi mahupun mendengar bisikan ganjil atau dalam erti kata lain, mereka normal.

Walaupun mereka berlagak normal, pihak hospital langsung tidak menyedari bahawa mereka cuma berlakon sebagai pesakit. Namun begitu, pesakit mental yang lain dapat mengecamkan bahawa ternyata pelakon-pelakon merupakan manusia normal yang tidak mempunyai apa-apa masalah mental. Sesetengah pesakit mental sendiri meneka bahawa mereka merupakan pengkaji ataupun wartawan yang sedang menyiasat tentang hospital tersebut. Diagnosis pihak hospital terlalu mendalam dari aspek psikologi sehingga mereka tidak mampu melihat pesakit dari aspek normal.

Lebih mengejutkan, mereka yang berpura-pura dan berlakon sakit mental mendapati bahawa walaupun mengaku bahawa mereka sebenarnya normal, mereka tidak dibenarkan keluar daripada hospital tersebut. Rata-rata pelakon melaporkan bahawa mereka hanya dibenarkan keluar apabila mereka mengaku bahawa mereka mempunyai sakit mental dan sedang cuba memperbaiki kondisi mereka dengan berjanji untuk mengambil ubat-ubatan. Mereka terpaksa mengaku ‘gila’ demi melepaskan diri daripada hospital sakit jiwa. Eksperimen yang dijangka tamat dalam beberapa hari berpanjangan sehingga mencecah 2 bulan kerana mereka tidak dapat keluar daripada hospital sakit jiwa tersebut.

Kesimpulan daripada eksperimen ini bukan sahaja mengkritik diagnosis pakar psikiatri tetapi juga mendedahkan penyeksaan dan layanan buruk yang diterima oleh pesakit mental di hospital-hospital sakit jiwa. Pengkaji melaporkan penderaan fizikal dan juga verbal yang dilakukan oleh pihak hospital terhadap pesakit-pesakit mental. Selain itu, pesakit-pesakit juga diperhatikan dengan kerap sehingga tahap yang kritikal seperti diperhatikan ketika menggunakan tandas.

Waqaf Saham

Menerusi filem Shoot Me In The Heart, penonton didedahkan dengan penderaan fizikal dan verbal yang dilakukan oleh jururawat di Soori Hope Hospital. Jururawat yang boleh ‘diharap’ cuma seorang iaitu Ketua Jururawat Choi yang masih boleh dibawa berbincang dan mempunyai sifat perikemanusiaan. Jururawat lain pula sering menengking di samping memukul pesakit-pesakit yang dianggap degil dan sukar mendengar kata tanpa mengira keadaan mental pesakit yang terang-terang tidak waras

Pyromania

Pyromania merujuk kepada masalah kawalan diri yang berkaitan dengan api. Mereka yang menghidap pyromania tidak boleh dibiarkan mendekati api kerana kesukaran mereka mengawal diri daripada memulakan kebakaran. Pyromania didapati memulakan kebakaran demi melepaskan tekanan ataupun kemarahan melampau, dan ianya dilepaskan dalam bentuk api.

Kajian mendapati bahawa simptom pyromania dalam diri orang dewasa boleh dibahagikan kepada 5 sub-kategori:

  1. Mereka yang memulakan kebakaran sebagai cara menarik perhatian
  2. Mereka yang mempamerkan perwatakan agresif
  3. Mereka yang mempunyai kecacatan kognitif
  4. Mereka yang menghidap gangguan serius dan didiagnosis sebagai paranoid dan psikosis
  5. Mereka yang meminta pertolongan

Watak Seung min merupakan seorang pyromania yang pernah membakar rumahnya sendiri pada usia 10 tahun. Seung min juga mengaku bahawa dia pernah dimasukkan ke Soori Hope Hospital semasa berumur 10 tahun kerana masalah pyromania nya sendiri. Namun begitu, dia telah pulih dan seterusnya berhijrah ke Amerika Syarikat. Apabila pulang ke Korea untuk pengebumian bapanya, dia telah dimanipulasi oleh abangnya sendiri yang menginginkan saham yang dimilikinya.

Perwatakan Seung min yang sering memulakan pergaduhan dan masalah di hospital tersebut menyebabkan tiada seorang pun pihak hospital yang percaya bahawa dia sebenarnya seorang yang waras. Namun, perwatakan Seung min yang agresif merupakan satu bentuk protes yang cuba diluahkan akibat pengurungan tersebut. Bak kata Soo myung sendiri kepada Ketua Jururawat Choi, ‘Terdapat 2 golongan manusia di hospital sakit jiwa. Mereka yang dikurung kerana gila dan mereka yang menjadi gila kerana dikurung. Takkan awak masih tidak kenal Seung min dari golongan yang mana?’

Escapism

Mereka yang menghidap escapism merupakan mereka yang memilih untuk ‘escape’ ataupun melarikan diri daripada situasi ataupun aspek kehidupan yang dibenci mahupun menimbulkan kerisauan melampau. Escapisme juga merupakan satu aktiviti ‘kegemaran’ bagi mereka yang menghidap masalah kemurungan dan kesedihan melampau. Escapisme ini amat berbahaya terutamanya bagi mereka yang menghidap kemurungan kerana tahap kemurungan boleh menjadi lebih kritikal apabila kita memilih untuk melarikan diri dan tidak berhadapan dengan masalah.

Watak Soo myung merupakan watak yang menghidap masalah escapism. Setelah kematian ibunya yang membunuh diri kerana kecuaiannya, Soo myung sentiasa menyalahkan dirinya sendiri sehinggalah bapanya terpaksa memasukkannya ke dalam hospital sakit jiwa. Walaupun pendiam secara luaran, Soo myung bergaul dengan baik bersama penghuni hospital yang lain. Namun begitu, Soo myung sebenarnya tidak mampu mengawal fikiran dan dirinya sendiri. Dia cuba untuk melarikan diri daripada dunia realiti di mana ibunya telah membunuh diri, realiti di mana dia perlu melepaskan pemergian ibunya dan menerima bahawa dia tidak bersalah di atas kematian tersebut.

Pengajaran

Filem Shoot Me In The Heart ini merupakan filem yang sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya para remaja yang sedang menhidap tekanan. Hal ini kerana filem ini bukan tertumpu pada aspek psikologi sahaja, tetapi juga merupakan sebuah filem yang mendorong anak muda untuk keluar dari kepompong tekanan dan kesedihan.

Filem ini mengajar penonton bahawa kehidupan yang lebih baik itu wujud. Segala impian yang dirasakan amat sukar digapai boleh dicapai. Syaratnya, kita hanya perlu berani membiarkan diri terbang tinggi ke sebalik awan di mana wujudnya pelangi. Kesungguhan Seung min yang ingin mencapai impiannya untuk terbang dengan bantuan paraglide menyedarkan Soo myung tentang harapan demi kehidupan yang lebih baik.

Seperti kesungguhan Seung min dan Soo myung berusaha melepaskan diri daripada Soori Hope Hospital, seperti itu juga lah setiap daripada kita perlu bersungguh-sungguh demi melihat impian menjadi kenyataan. Kadang-kala, sangkar yang mengelilingi kita adalah angkara diri kita sendiri dan bukanlah faktor atau orang luar. Kehidupan kita terletak dalam genggaman tangan sendiri. Justeru, jangan takut untuk bebaskan diri kerana hanya dengan menjadi bebas kita dapat terbang tinggi dan melihat dunia yang luas terbentang di luar.

Rujukan dan bacaan lanjut:

  • Rosenhan, David (19 January 1973). “On being sane in insane places.” 179 (4070): 250–258.
  • Grant JE, Won KS. Clinical characteristics and psychiatric comorbidity of pyromania. Journal of Clinical Psychiatry. 2007;68(11):1717-1722.
  • https://ift.tt/2Ra7D6P

Trailer filem Shoot Me In The Heart:

Sultan Kedah: Sang Pengembara Merentas Pulau Jawa

Aset & Aktiviti Wancorp

1. Hospital dan Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur

Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) ditubuhkan oleh Johor Corporation melalui Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp). Operasi klinik ini disokong sepenuhnya oleh hospital-hospital pakar KPJ Healthcare Berhad. Ia juga dibina dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Peranannya dalam memberi rawatan dengan caj minimum RM5 telah menarik perhatian serta kepercayaan pelbagai pihak termasuk institusi masjid-masjid untuk berkerjasama melancarkan operasi klinik berkonsepkan waqaf ini. KWAN mula ditubuhkan pada 1998 di Plaza Kotaraya, Johor Bahru. Bermula dari situ maka peranan klinik ini semakin berkembang.

Sehingga kini terdapat 19 buah KWAN termasuk sebuah Hospital Waqaf yang beroperasi di seluruh Malaysia iaitu:

– tujuh buah klinik termasuk sebuah hospital di Johor.

– Lima buah di Selangor.

– dua buah di Negeri Sembilan dan Sarawak setiap satu.

–  sebuah klinik di Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

– Lima buah klinik bergerak:

  1. Klinik Bergerak Lembaga Zakat Selangor – Waqaf An-Nur
  2. Klinik Bergerak Waqaf Selangor Muamalat – KPJ Damansara

iii. Klinik Bergerak Yayasan Semesta Berdaftar –KPJ Tawakkal.

  1. Klinik Bergerak Waqaf An-Nur – HWAN Pasir Gudang
  2. Klinik Bergerak Waqaf Selangor Muamalat – KPJ Perdana, Kota Bahru

Manfaat

Perkhidmatan perubatan di KWAN boleh dinikmati oleh semua lapisan  masyarakat pelbagai bangsa dan agama. Sejak penubuhannya sehingga Disember 2016. masyarakat umum menerima manfaat darpada sebanyak 1,398,524 kes rawatan yang telah dikendalikan di semua cawangan KWAN. Sebanyak 111,881 daripada rawatan keseluruhan adalah rawatan kepada pesakit bukan Islam. Dengan kadar bayaran serendah RM5, pesakit akan menerima rawatan daripada doktor pakar KPJ beserta ubat-ubatan. Seramai 307 pesakit buah pinggang telah menerima manfaat dengan menjalani rawatan di pusat dialisis yang disediakan.

Perkhidmatan Dialisis di KWAN

KWAN turut menyediakan perkhidmatan dialisis di 8 buah cawangannya dengan kadar caj sebanyak RM90.00 untuk satu rawatan, iaitu lebih murah berbanding pusat dialisis swasta lain.

Cawangan KWAN yang menyediakan perkhidmatan dialisis adalah seperti berikut:

  1. Hospital Waqaf An-Nur, Pasir Gudang, Johor
  2. Klinik Waqaf An-Nur, Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, Johor
  3. Klinik Waqaf An-Nur Galleria @ Kotaraya,Johor
  4. Klinik Waqaf An-Nur Batu Pahat, Johor
  5. Klinik Waqaf An-Nur Senawang, Seremban,Negeri Sembilan
  6. Klinik Waqaf An-Nur Ijok, Selangor
  7. Klinik Waqaf An-Nur Satok, Sarawak
  8. Klinik Waqaf An-Nur Sg Buloh, Selangor

Dana Klinik Waqaf An-Nur

WANCorp mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak mengisi Dana Klinik Waqaf An-Nur supaya ia dapat membantu menampung kos operasi rangkaian KWAN, bagi memberi manfaat berterusan kepada orang ramai.

Sumbangan bolehlah disalurkan melalui maklumat berikut:

o  Dana Klinik Waqaf An-Nur

o  Akaun Maybank Islamic 5510-1630-1344

  • Hubungi 07-2192692 bagi mendapatkan keterangan lanjut dan resit pelepasan cukai
    2. RANGKAIAN MASJID AN-NUR

Info

Johor Corporation (JCorp) membina dan menguruskan enam buah masjid dalam kawasan pembangunannya di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang. Masjid-masjid itu diuruskan melalui WANCorp. Tiga daripada masjid itu terletak di kompleks perniagaan manakala tiga buah lagi ialah masjid kariah iaitu, Masjid An-Nur Kotaraya, Masjid An-Nur Kompleks Pusat Bandar, Masjid An-Nur Larkin Sentral, Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Masjid An-Nur Bandar Pasir Gudang dan Masjid An-Nur Taman Cendana.

Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn yang kini mula menjadi salah sebuah masjid utama bagi pelbagai aktiviti keagamaan di negeri Johor. Masjid-masjid ini turut mengadakan program-program ilmu dan program kemasyarakatan. Setiap masjid terletak di lokasi strategik menjadikannya penting serta mendapat tumpuan ahli kariah untuk beribadah serta mengadakan program-program lain.

Anggota Pekerja Masjid

Bagi memastikan perjalanan masjid teratur dan di dalam keadaan yang baik terdapat 10 orang imam (Eksekutif Agama) 8 orang bilal (Pembantu Eksekutif) yang mempunyai kelebihan dalam bidang masing-masing termasuk dalam seni pembacaan Al-Quran dan ilmu agama telah dilantik. Emolumen anggota pekerja masjid ditanggung oleh WANCorp bagi memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat Islam di sekitarnya.

Selain itu, mereka juga turut memberi khidmat kepada Johor Corporation serta Syarikat Dalam Kumpulannya dengan memimpin bacaan doa di majlis rasmi, menguruskan jenazah, menziarah kematian melibatkan anggota pekerja dan juga majlis-majlis keagamaan.

Inovasi Masjid

Rangkaian Masjid An-Nur meningkatkan program-program inovasi bagi mendekatkan lagi rangkaian Masjid An-Nur dengan masyarakat. Inovasi ini perlu bagi memastikan institusi agama ini sentiasa menjadi tumpuan dan rujukan oleh masyarakat. Beberapa inisiatif telah dibuat oleh rangkaian Masjid An-Nur antaranya seperti membangunkan laman sesawang sendiri bagi rangkaian Masjid An-Nur. Laman Web ini dibangunkan bertujuan untukmemberi maklumat yang lebih lengkap kepada masyarakat tentang rangkaian Masjid An-Nur. Perkongsian jadual aktiviti, gambar dan perkhidmatan serta maklum balas melalui laman web ini membolehkan makluman aktiviti masjid ini diakses di mana-mana sahaja.

Amalan 5S

Waqaf Saham

Rangkaian Masjid An-Nur turut terlibat dengan amalan 5S sebagai usaha menjaga kekemasan dan kebersihan masjid. Bagi masjid-masjid di Pasir Gudang, Masjid An-Nur terlibat dengan pelaksanaan 5S yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Program Masjid

Antara program rutin harian, mingguan dan bulanan  yang dianjurkan di Masjid An-Nur adalah Kuliah Maghrib, Tazkirah Jumaat, kelas Pengajian Al-quran, kelas Feqah Wanita, Majlis Yasin, Tahlil dan Doa Selamat, Ceramah Bulanan, Gotong Royong disamping program sambutan hari-hari penting dalam Islam dan program Tafaqquh An-Nur. Program Tafaqquh An-Nur yang dikendalikan sepenuhnya oleh imam Rangkaian Masjid An-Nur meliputi Majlis Bacaan Zikir Asma’ Ul-Husna & Ratib Al-Attas di Masjid An-Nur Larkin Sentral dan Tafsir Al-Quran di Masjid An-Nur Bandar Pasir Gudang.

Beberapa Program Latihan dan Dakwah telah diatur bagi meningkatkan kemahiran anggota pekerja masjid disamping meningkatkkan lagi ilmu yang berkaitan. Program ini diadakan pada setiap hari rabu & khamis bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Pengisian program pada  hari rabu ialah  Usrah dan Pengajian Aqidah manakala pada hari khamis ialah Pengajian Feqah.

GEROBOK REZEKI

Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang, telah menjalankan program Gerobok Rezeki di mana program ini menyediakan bantuan keperluan bekalan makanan kepada golongan yang memerlukan. Kepada masyarakat yang memerlukan bantuan ini perlu hadir ke Masjid dan berjumpa dengan Imam yang bertugas bagi mendapatkan bekalan makanan.

  1. PROGRAM KEUSAHAWANAN BISTARI

Sinopsis

  1. JCorp terlibat secara aktif dalam program-program pembangunan usahawan sejak 1992 (24 tahun)
  2. JCorp telah melaburkan lebih daripada RM17 juta sejak program ini dijalankan.
  3. Seramai 34,125 orang telah mendapat manfaat daripada program ini.
  4. Seramai 34 orang telah menjadi usahawan dan 66 orang sebagai golongan profesional.

Wawasan Program Keusahawanan BISTARI

Menjadi penggerak utama dalam mewujud dan membentuk generasi muda dan para belia di Malaysia dengan ciri-ciri keusahawanan dan kepimpinan yang berketrampilan, berdikari, berkarisma dan mampu berfikir secara kreatif dan inovatif.

  1. BRIGED WAQAF

Info

Briged Waqaf merupakan pasukan sukarelawan yang terdiri daripada anggota pekerja JCorp dan syarikat dalam kumpulan. Briged Waqaf bergiat aktif dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan program khidmat masyarakat. Ia ditubuhkan selepas Johor Corporation berjaya menghulurkan bantuan semasa berlakunya bencana banjir besa ryang melanda negeri Johor pada penghujung 2006 dan awal 2007. Ia ditubuhkan pada 28 Jun 2007 dan diiktiraf oleh Majlis Keselamatan Negara pada 19 Oktober 2009.

Kompeni dan Peranan

Briged Waqaf terdiri daripada 5 pasukan atau kompeni, iaitu:

  1. Pencari, Penyelamat & Sukarelawan

– Kompeni Ali Abi Talib.

– Diterajui oleh Johor Land Berhad & Damansara Assets Sdn Bhd.

  1. Perubatan & Pertolongan Cemas

– Kompeni Salahudin Al-Ayubi. Diterajui oleh KPJ Healthcare Berhad.

– Dibantu Persatuan Bulan Sabit Merah Unit JCorp dan Hospital & Klinik Waqaf An-Nur.

  1. Kenderaan, Logistik & Prasarana

– Kompeni Umar Al-Khattab

– Diterajui oleh Kulim (Malaysia) Berhad.

  1. Bekalan Makanan & Minuman

– Kompeni Tariq Ziad.

– Diterajui oleh QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd.

– Dibantu KFC Malaysia & Ayamas.

  1. Pembersihan & Pemulihan

– Kompeni Khalid Al-Walid. Diterajui oleh Johor Corporation.

– Dibantu TPM Technopark Sdn Bhd, Tanjung Langsat Port Sdn Bhd & syarikat-syarikat keusahawanan.

Aktiviti

Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh Briged Waqaf (BW) melibatkan bantuan kemanusiaan dan bencana seperti berikut:

18 Feb 2016: BW telah menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan harian kepada keluarga mangsa kebakaran di Kg Parit Jerman, Telok Kerang, Pontian.

19 Feb 2016: WANCorp melalui BW telah menyampaikan sumbangan sebanyak cek berupa RM10,000, pembelian peralatan pembelajaran murid sebanyak RM2,000, 100 naskhah Al-Quran, 50 helai sejadah dan 50 buah rehal kepada Sekolah Menengah Agama As-Sidiqiah Al-Islamiah, Padang Kerasak Naka, Alor Setar, Kedah.

9 Mei 2016: Sumbangan kewangan kepada anggota pekerja Johor Corporation yang telah di landa banjir kilat di Teluk Gading Kecil, Klang.

6 Jun 2016: Sumbangan kewangan kepada anggota pekerja KPJ Puteri Specialist di alamat telah mengalami kerosakan bumbung akibat dilanda ribut.

19 Sept 2016: Sumbangan bagi meringankan beban kepada 80 rumah penduduk di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang yang telah dilanda ribut.

23 Oktober 2016: Perbarisan Tahunan Briged Waqaf.

25 dan 29 Oktober 2016: Seramai 27 orang anggota Briged Waqaf diketuai Komander Briged Waqaf telah menyampaikan bantuan 200 bungkus makanan Ayamas , 300 pek roti dan 1,000 botol air mineral kepada pasukan keselamatan dan dan petugas Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru yang telah mengalami kebakaran. Selain itu. bantuan sebuah ambulans Briged dan 5 orang pasukan Medik BW  telah membantu memindahkan 4 orang  pesakit ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

  1. WAQAF KOMUNITI 

Info

Waqaf Komuniti ialah satu program yang dibangunkan dengan objektif tersendiri dan mengambil faedah dari pembelian hartanah yang dibuat WANCorp. Terdapat dua buah kedai pejabat yang dijadikan premis untuk program ini iaitu Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram dan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. Ia bertujuan memberi latihan menjahit kepada para peserta sehingga mampu menerima tempahan pelanggan. Fokus utama diberi kepada golongan memerlukan, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU).

Konsep

Konsep pusat jahitan ialah meletakkan sekumpulan peserta dalam sebuah premis kedai pejabat yang dilengkapi mesin dan peralatan menjahit. WANCorp turut menyediakan tenaga pengajar yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tenaga Pengajar Bertauliah (STPB), pengalaman menjahit, sikap dan wawasan yang jauh untuk menerajui Pusat Jahitan.

Modul

12 modul jahitan yang perlu dipelajari peserta ialah:

  • baju kurung
  • baju kurung moden
  • baju kurung Riau
  • peplum
  • jubah wanita
  • jubah lelaki
  • baju Melayu
  • baju korporat
  • sarung meja
  • sarung kerusi
  • langsir
  • tudung

Sejarah 10 Muharam Serta Kaitannya Dengan Peristiwa Karbala & Bubur Asyura

Bila tiba 10 Muharam, mungkin sebahagian dari masyarakat kita akan terus ingat akan hari Karbala di mana penganut Syiah memukul badan mereka bersempena mengingati kesyahidan Saiyidina Imam Hussein. Namun menurut mazhab ASWJ, sebenarnya tarikh 10 Muharam memang dimuliakan sebelum kejadian peristiwa Karbala lagi. Hanyasa Saiyidina Hussein lah yang syahid pada tarikh mulia ini.

Kalau kita selak kitab-kitab lama, pelbagai kisah historik dikatakan berlaku pada 10 Muharam. Berikut merupakan antara peristiwa tersebut :

1) Hari Alam, Arasy dan Lauh Mahfuz dicipta.
2) Malaikat Jibril dicipta.
3) Nabi Adam dicipta
4) Nabi Idris diangkat ke langit.
5) Nabi Nuh dan pengikutnya terselamat dari banjir besar.
6) Nabi Ibrahim diselamatkan dari api Raja Namrud.
7) Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
8- Nabi Yaakub telah sembuh dari buta.
9) Nabi Ayub disembuhkan dari penyakitnya.
10) Nabi Musa telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
11) Penurunan kitab Taurat kepada Nabi Musa (riwayat lain mengatakan Taurat diturunkan pada bulan Ramadhan seperti diturunnya al-Quran)
12) Nabi Yunus keluar dari perut ikan paus.
13) Nabi Sulaiman dikurniakan kerajaan yang besar.
14) Nabi Isa diangkat ke syurga.

Walaubagaimanapun, dari sekian banyaknya kisah diatas, yang dapat dipertanggungjawabkan kesahihannya adalah kisah ke-10. Hadis Sahih daripada Ibnu Abbas berkata;

Apabila Nabi tiba di Madinah, maka Baginda melihat orang Yahudi berpuasa Asyura, maka Baginda bertanya, “Amalan apa ini?”

Mereka menjawab; “Ini adalah suatu hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan Musa dan kaum Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, maka Musa pun berpuasa kerananya”.

Maka Nabi pun bersabda; “Aku lebih berhak berbanding kamu terhadap Musa”. Lalu Rasulullah pun berpuasa pada hari itu dan menyuruh umatnya berpuasa sama.”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Waqaf Saham

Sepanjang aku belajar ilmu perbandingan agama, memang orang Yahudi menyambut perayaan bersempena Nabi Musa dan Bani Israel terselamat dari Firaun dengan terbelahnya Laut Merah dalam peristiwa Exodus. Perayaan ini dikenali sebagai Passover yang disambut pada tarikh 15 haribulan Nissan menurut kalendar Yahudi. Tetapi di zaman Rasulullah, Yahudi Madinah menyesuaikan kalendar mereka dengan suasana di Yathrib lalu tarikh tersebut jatuh pada 10 Muharam. Lalu berlakulah dialog sepertimana yang termaktub dalam hadis di atas.

Budaya masyarakat Melayu dalam menyambut tarikh 10 Muharam pula adalah dengan membuat bubur Asyura. Dalam kitab “Nihayatuz Zain” karya Syeikh Nawawi al-Banteni, kitab “Nuzhatul Majalis” karya Syeikh Abdur Rahman al-Ushfuri dan kitab “Jam’ul Fawaid” karya Syeikh Daud al-Fathani, kononnya bubur Asyura pertama kali dibuat oleh Nabi Nuh setelah baginda terselamat dari banjir besar pada 10 Muharam iaitu kisah ke-5 dalam senarai di atas.

Walaubagaimanapun, tiada satu hadis sahih yang mendasari kisah ini. Malah, jika menurut ilmu perbandingan agama, apa yang aku jumpa dalam Bible, Book of Genesis Fasal 8 ayat 20, ada menyatakan selepas kejadian banjir besar ; “Nuh mendirikan mezbah untuk Tuhan. Dari segala binatang dan burung yang tidak haram diambilnya beberapa ekor, lalu baginda persembahkan korban bakaran di atas mezbah itu”. Tiada sebarang rujukan mengenai pembuatan bubur Asyura dari Kitab Bible Perjanjian Lama sebaliknya kisah korban haiwan yang termakub.

Namun, aku menggali lagi mengenai kisah ini. Oleh kerana kononnya Bukit Judiy yang dinyatakan oleh al-Quran sebagai tempat bahtera Nabi Nuh beristawa (berlabuh) itu terdapat di Turki (bukit Ararat), maka aku menyelak buku-buku sejarah orang Turki pula. Apa yang aku jumpa, terdapat satu lagenda orang Turki terutama sekali lagenda masyarakat yang hidup di perbatasan Armenia mengenai “The Noah Pudding”. (Lihat gambar)

Nabi Nuh meminta umatnya mengumpul saki baki bahan makanan yang tinggal dalam bahtera untuk dijadikan juadah. Yang tinggal hanyalah beberapa bijirin yang dijadikan tepung dan beberapa jenis kekacang. Lalu semua ini dicampur dan dimasak untuk dijadikan bubur.

Kisah kapal Nabi Nuh ini bukan hanya ada dalam tradisi Islam, malah orang Kristian juga turut berkongsi naratif yang hampir serupa. Oleh itu menurut masyarakat Kristian Armenia, tradisi bubur Asyura ini dikenali sebagai Anuşabur yang dihidangkan ketika hari Krismas dan malam tahun baharu (New Year’s Eve). Ianya bersifat lagenda yang universal menurut bangsa Turki bukannya khusus untuk agama tertentu.

Lagenda masyarakat Turki mengenai The Noah Pudding atau Bubur Nuh ini sama dengan apa yang ditulis oleh para ulama di atas. Mungkin barangkali para ulama Melayu di atas semasa mereka berhubungan dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah menerima lagenda ini sebagai sebuah ibrah dalam karya mereka. Tapi resipi Bubur Asyura Turki dan Bubur Asyura Melayu sedikit berbeza bahan-bahannya. Namun masih lagi mengekalkan sumber kekacang, tepung dan cara masakan.

Tradisi gotong-royong Bubur Asyura dalam masyarakat Turki bahkan Melayu ni dahulu adalah untuk mengeratkan silaturahim disamping menyambut anjuran nabi untuk berkongsi-kongsi makanan dalam hadis baginda yang umum. Masyarakat Melayu dulu berpuasa pada 10 Muharam dan bubur Asyura ini dijadikan sunnah manisan untuk berbuka puasa kelak.

Tiada haramnya untuk menyambut hari Asyura dengan membuat bubur dan tidak menjadikan kita tergugat akidah konon turut menyambut hari Karbala. Jika kita mendapat pengetahuan tentang sejarah sesuatu perayaan, kita akan berlapang dada. Tidak usah menuduh orang Syiah atau Wahabi dalam isu sekecil ini. Isu makanan tiada kaitan dengan akidah seseorang. Apa yang penting, Bubur Asyura itu sedap! Hahaha…

#SelamatMenyambutHariTasuadanAsyura

Bahasa Rasmi Dan Bilangan Negaranya

Bahasa Rasmi adalah sebuah bahasa yang diberi status keistimewaan secara bertulis dalam perlembagaan di sesebuah negara, negeri ataupun bidang kuasa yang lain. Selalunya, bahasa rasmi digunakan dalam kerajaan sama ada dalam pengadilan, perundangan dan pentadbiran. Berdasarkan perlembagaan negara masing-masing, terdapat 178 negara telah menjadikan sekurang-kurangnya satu bahasa rasmi dan 101 daripadanya mengiktiraf lebih daripada satu bahasa.

Dalam kerajaan dan perundangannya, pengiktirafan bahasa rasmi terbahagi kepada dua iaitu secara de jure dan de facto. De facto menerangkan tentang amalan yang wujud dalam dunia sebenar walaupun tidak diiktiraf dalam undang-undang rasmi manakala de jure menerangkan tentang pengiktirafan secara bertulis tetapi sama ada diamalkan ataupun sebaliknya dalam dunia sebenar. Berikut adalah 10 bahasa rasmi sama ada secara de jure ataupun de facto dan bilangan negaranya di seluruh dunia.

Bahasa Inggeris adalah bahasa yang terbanyak. Sebanyak 59 negara telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Amerika Syarikat, India, Pakistan, Nigeria, Filipina dan United Kingdom adalah contoh negara penutur bahasa Inggeris (Anglophone).

Bahasa Perancis adalah bahasa kedua terbanyak. Bahasa Perancis adalah bahasa rasmi dalam 29 buah negara. Perancis, Republik Demokratik Kongo (DRC), Kanada dan Madagascar adalah contoh negara penutur bahasa tersebut (Francophone).

Bahasa ketiga terbanyak jatuh kepada bahasa Arab. Sebanyak 26 negara di dunia telah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi. Mesir, Sudan, Algeria, Iraq, Maghribi dan Arab Saudi adalah contoh negara penutur bahasa Arab (Arabophone).

Bahasa Sepanyol ataupun lebih dikenali sebagai bahasa Kastil ataupun Kastila adalah bahasa keempat terbanyak. Sebanyak 21 negara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Antara negara penutur bahasa Sepanyol (Hispanic) adalah Mexico, Sepanyol, Colombia dan Argentina.

Waqaf Saham

Adik-beradik bahasa Sepanyol iaitu bahasa Portugis adalah bahasa kelima terbanyak di dunia. Sebanyak sembilan (9) negara menjadikan bahasa itu sebagai bahasa rasmi. Brazil, Portugal, Mozambique dan Angola adalah contoh negara penutur bahasa Portugis (Lusophone).

Adik-beradik bahasa Inggeris iaitu bahasa Jerman adalah bahasa keenam terbanyak di dunia. Sebanyak enam (6) negara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Jerman, Austria, Switzerland, Belgium, Luxembourg dan Liechtenstein adalah negara penutur bahasa Jerman (Germanophone).

Bahasa Serbo-Croatia adalah bahasa ketujuh terbanyak di dunia. Sebanyak lima (5) negara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Bahasa Serbo-Croatia adalah bahasa rasmi di Serbia (Bahasa Serbia), Croatia (Bahasa Croatia), Bosnia dan Herzegovina (Bahasa Bosnia), Montenegro (Bahasa Montenegro) serta Kosovo.

Bahasa Itali, bahasa Melayu, bahasa Rusia dan bahasa Swahili adalah bahasa kelapan terbanyak. Sebanyak empat (4) negara telah menjadikan bahasa-bahasa itu sebagai bahasa rasmi. Bahasa Itali adalah bahasa rasmi di Itali, Switzerland, San Marino dan kota Vatikan. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di Malaysia (Bahasa Malaysia), Indonesia (Bahasa Indonesia), Brunei (Bahasa Melayu) dan Singapura (Bahasa Melayu). Rusia, Kazakhstan, Belarus dan Kyrgyzstan telah menjadikan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi. Bahasa Swahili adalah bahasa rasmi di Kenya, Tanzania, Uganda dan Rwanda.

Bahasa Belanda, Hindi, Parsi, Tamil, Quechua dan Cina adalah bahasa kesembilan terbanyak. Sebanyak tiga (3) negara telah menjadikan bahasa-bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi. Belanda, Belgium dan Surinam menjadikan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi. Bahasa Hindi adalah bahasa rasmi di Fiji, India dan Pakistan. Bahasa Parsi di Iran, Afghanistan (Bahasa Dari) dan Tajikistan (Bahasa Tajik). Tamil di Sri Lanka, Singapura dan India. Quechua di Peru, Bolivia dan Ecuador. Bahasa Cina di China, Singapura dan Taiwan.

Berikut adalah bahasa kesepuluh terbanyak. Sebanyak dua (2) negara menjadikan bahasa berikut sebagai bahasa rasmi.  Bahasa tersebut adalah Albania (Albania dan Kosovo), Aymara (Peru dan Bolivia), Bengali (Bangladesh dan India), Berber (Algeria dan Maghribi), Yunani (Greece dan Cyprus), Guarani (Bolivia dan Paraguay), Hausa (Nigeria dan Niger), Korea (Korea Utara dan Korea Selatan), Romania (Romania dan Moldova), Rwanda-Rundi [Burundi (Kirundi) dan Rwanda (Kinyarwanda)], Sotho (Afrika Selatan dan Lesotho), Swati (Swaziland dan Afrika Selatan), Svensk (Sweden dan Finland), Tswana (Afrika Selatan dan Botswana), Turki (Turki dan Cyprus) serta Kantonis [China (Guandong), Hong Kong dan Macau].

Kesimpulannya, banyak negara mempunyai sekurang-kurangnya satu bahasa rasmi menurut perlembagaan. Bergantung kepada perlembagaan dalam negara masing-masing, bahasa yang secara umumnya sama menurut ahli Linguistik telah dinamakan semula kerana pelbagai tujuan sama ada tujuan baik mahupun sebaliknya.

Artikel disumbangkan oleh Alam Bahasa untuk The Patriots. 

Kamis, 27 September 2018

Mengapa Terdapat Peratusan Tinggi Daripada Spesies Penyu Ini Menetas Sebagai Penyu Betina?

Sementara ketetapan jantina majoriti daripada hidupan di bumi ini adalah disebabkan faktor kromosom seks semasa persenyawaan (genetik), ia berlainan pula bagi sesetengah reptilia seperti penyu, buaya dan alligator yang jantina mereka ditentukan melalui konsep yang dipanggil (“temperature-dependent sex determination”) atau TDS.

*

🌟 Introduksi

Sebelum itu anda perlu tahu bahawa, ketetapan jantina terbahagi kepada 2 kategori;

 Ketetapan jantina oleh sebab faktor persekitaran. (Environmental Sex Determination / ESD)

 Ketetapan jantina oleh sebab faktor genetik. (Genetic Sex Determination / GSD)

Walaupun GSD lebih dikaji, oleh kerana majoritu dari hidupan bumi dan mamalia seperti manusia itu sendiri tergolong di dalam kategori ini, ESD juga dapat diperhatikan memainkan peranan sebagai faktor ketetapan jantina dalam sebahagian spesies haiwan.

Majoriti daripada spesies-spesies haiwan, individu haiwan tersebut wujud secara uniseksual. Bermaksud haiwan tersebut sama ada berjantina jantan atau betina.

Sebagai hukum asas, ketetapan jantina individu haiwan itu berlaku semasa proses embriogenesis atau persenyawaan tanpa menghiraukan faktor GSD / ESD.

Selepas pembahagian zygot, sel benih (germ cell) atau gonad dwipotensi terbentuk dalam pelbagai corak / pattern semasa proses pembentukan atau perkembangan embriogenesis.

Perbezaan besar diantara GSD dan ESD adalah, sama ada faktor utama bagi ketetapan jantina disebabkan faktor dalaman dan luaran.

Bagi GSD, ianya disebabkan faktor dalaman oleh kerana gen yang terkandung di dalam kromosom seks. Manakala bagi ESD pula, ia disebabkan faktor luaran oleh kerana dipengaruhi suhu, kelembapan dan persekitaran secara umumnya.

—–

Waqaf Saham

Selama beberapa dekad, saintis telahpun mengesyaki bahawa pemanasan suhu laut akan mempengaruhi nisbah jantina sesetengah spesies hidupan laut. Perkara ini telah berlaku bagi Pacific green sea turtles.

Seperti yang dinyatakan diatas, penyu menggunakan konsep TDS atau (“Temperature-Dependent Sex Determination”) bagi menentukan jantina zuriatnya.

Oleh sebab itu, peningkatan suhu air atau pasir tempat penyu itu bertelur telah mempengaruhi TDS dan menyebabkan lebih banyak penyu betina menetas daripada penyu jantan.

Diketahui bahawa jika suhu inkubasi telur penyu berada dibawah (29.7 Celsius), penyu jantan yang akan menetas. Manakala jika suhu inkubasi telur meningkat ke paras (31 Celsius), penyu betina akan terhasil daripada “batch” telur tersebut.

Perlu diketahui bahawa suhu pertengahan diantara 29.7 – 31 celsius, menghasilkan kedua-dua jantina.

—–

Untuk mengetahui bagaimana suhu yang berbeza mempengaruhi jantina, saintis tersebut membandingkan nisbah jantina penyu diantara beberapa tempat pembiakan berhampiran Great Barier Reef yang diketahui menjadi persinggahan Pacific green sea turtle ini bertelur.

Pada bahagian selatan berhampiran Brisbane dimana suhunya sedikit sejuk, nisbah penyu betina adalah 2 : 1 daripada penyu jantan, iaitu kira-kira 65-69 % anak penyu yang terhasil adalah betina.

Sebagai perbandingan, pada bahagian utara pula dimana tempat pembiakan penyu yang terbesar, dan juga dimana benua Australia ini bertemu lautan Pasifik yang suhu air dan udaranya lebih panas, 99% anak penyu yang terhasil adalah penyu betina.

*Suhu sejuk menghasilkan jantan.
*Suhu sederhana menghasilkan jantan dan betina.
*Suhu yang panas menghasilkan betina.

—–

Walaupun penyu jantan tersebut boleh mengawan dengan lebih daripada seekor betina pada musim mengawan, ketidakseimbangan jantina yang besar dan kritikal ini merupakan tanda-tanda amaran bagi spesies yang bergantung kepada suhu demi menjamin kemandirian spesiesnya.

Terutama apabila terjadinya perkara dimana suhu semakin meningkat, seterusnya membunuh anak-anak penyu yang masih berada di dalam telur tersebut oleh kerana faktor suhu persekitaran yang tak sesuai bagi perkembangan.

—–

Rujukan:

How is the gender of some reptiles determined by temperature? Retrieved from: https://https://ift.tt/n8vNiXarticle/experts-temperature-sex-determination-reptiles/

Environmental Warming and Feminization of One of the Largest Sea Turtle Populations in the World. Retrieved from: https://www.cell.com/current-biology/fulltext/S0960-9822(17)31539-7

Environmental Sex Determination, Developmental Biology, 6th Edition. Retrieved from: https://https://ift.tt/2apPLSyNBK9989/

Hernan Cortes Dan Pemerintah Empayar Aztec, Montezuma II

Halo: Pelindung Pelumba Atau Perosak Perlumbaan?

Sukan lumba kereta sentiasa menangkap imaginasi peminat sukan permotoran terutama sukan Formula 1 (F1). Kita pasti akan merasa tidak senang duduk melihat aksi perlumbaan dari aksi kejar-mengejar dan potong-memotong antara pelumba, keributan di lorong pit dan kejayaan pelumba meraih trofi atau menduduki tempat podium. Namun di sebalik keghairahan dan kecanggihan teknologi yang membawa sukan ini ke hadapan, aspek keselamatan tidak pernah dilupakan. Antara pengenalan dari segi keselamatan untuk sukan Formula Satu ialah pengenalan pelindung kokpit Halo.

Sejarah Pengenalan Halo

Isu pelindung kokpit bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah diperjuangkan sejak tahun 2009 lagi. Ia bermula apabila pelumba merangkap anak kepada juara dunia John Surtees, Henry Surtees terbunuh akibat terkena roda yang tertanggal dari kereta Jack Clarke semasa perlumbaan Formula 2 (F2) di litar Brands Hatch, United Kingdom pada tahun 2009. Seminggu selepas kematian Surtees, giliran pelumba legenda F1 Brazil, Felipe Massa mengalami nasib sama apabila beliau terkena spring yang tercabut dari suspensi kereta Rubens Barrichello semasa sesi kelayakan Grand Prix Hungaroring, Hungary. Bagaimanapun, beliau terselamat dan hanya mengalami keretakan di bahagian tengkorak selepas menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan nyawanya.

Lima tahun selepas insiden Surtees dan Massa, isu perlindungan kokpit kembali menarik perhatian apabila pelumba Marussia, Jules Bianchi mati sembilan bulan selepas berlanggar dengan kren yang membawa kereta pelumba Sauber, Adrian Sutil selepas tersasar dari trek perlumbaan Suzuka semasa Grand Prix Jepun. Walaupun siasatan menunjukkan perlanggaran tersebut tidak akan memberi kesan walaupun kereta Bianchi dipasang pelindung kokpit, ia sudah menimbulkan suara-suara yang mahukan pelindung kokpit pada kereta lumba mereka. Ini disusuli pula kematian bekas pelumba Jaguar dan Minardi, Justin Wilson pada tahun 2015. Wilson yang memandu untuk siri perlumbaan IndyCars mati apabila serpihan dari kereta lain terkena padanya. Ini memaksa Persatuan Pelumba Grand Prix (GPDA) mendesak pelindung kokpit tambahan diletakkan pada kokpit para pelumba.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebenarnya sudah menggerakkan kerja kajian dan penyelidikan (R&D) berkenaan pelindung kepala tambahan yang membawa kepada peraturan HALO untuk peraturan teknikal tahun 2017 dan ujian di atas litar pada awal tahun 2016. Tetapi selepas mendapat aduan pelumba dan pasukan yang merasakan ianya dilaksanakan secara terburu-buru tanpa mengambil kira keperluan litar yang berbeza, Kumpulan Strategi F1 bersetuju untuk menangguhkan pengenalan Halo hingga tahun 2018 dan lebih banyak ujian dijalankan semasa sesi ujian litar yang dilakukan pada hari Jumaat setiap minggu perlumbaan.

Sebelum Halo menjadi pilihan FIA, ada pula yang mencadangkan FIA untuk menggunakan pelindung kokpit alternatif yang diberi nama Shield. Ia pertama kali diperkenalkan semasa sesi mesyuarat Kumpulan Strategi F1 pada April 2017. Pelindung kokpit ini mula diuji pada sesi ujian Grand Prix British 2017 tetapi dipendekkan sesi ujian selepas juara dunia merangkap pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mengadu tidak dapat melihat dengan jelas pada skrin pelindungnya. Dengan FIA kesuntukan masa dan pasukan-pasukan F1 memerlukan kelulusan daripada persekutuan berkenaan rekaan kereta tahun 2018, Halo merupakan satu-satunya pilihan yang terbaik untuk FIA dan Kumpulan Strategi F1. Jika mereka memilih untuk tidak memasukkan pelindung kokpit, sudah pasti FIA bakal berhadapan implikasi tindakan undang-undang jika berlaku kemalangan yang membawa kepada kecederaan parah atau kematian dalam kalangan pelumba sekiranya Halo terbukti dapat melindungi mereka.

Halo

Konsep Halo mula dicadangkan kepada FIA oleh pasukan Mercedes selepas organisasi itu mula melihat rekaan sangkar pelindung hadapan. Prototaip pertama Halo diperbuat daripada besi dan diuji dengan ujian statik di Pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Bentwaters pada tahun 2015. Prototaip tersebut diuji bila ditembak tayar seberat 20 kilogram dari meriam berkuasa nitrogen dengan kelajuan 225 kilometer sejam. Prototaip seterusnya diperbuat daripada besi dan diliputi dengan lapisan karbon kemudian diuji oleh Ferrari di litar ujian mereka semasa sesi ujian musim sejuk pada Februari 2016. Selepas sesi ujian, para pemandu melaporkan mereka masih dapat melihat dengan baik walaupun ada pelindung pada bahagian hadapan dan bahagian atas kokpit.

Kemudian pada Grand Prix Austria 2016, prototaip Halo yang lebih ringan dan kuat dari titanium dikenali sebagai Halo 2 diperkenalkan. Salah satu perubahan pada Halo 2 ialah lengkungan pelindung dilebarkan bagi menambahbaik penglihatan dan mengurangkan risiko pelumba berlanggar dengan pelindung kokpit sekiranya berlaku perlanggaran. Ujian pemandu keluar dari Halo 2 dijalankan di lorong pit Litar Red Bull Ring, Austria sebelum diuji di atas litar di Silverstone. Satu siri ujian dijalankan semasa sesi latihan Jumaat minggu perlumbaan bagi membolehkan semua pelumba dari senarai 2016 berjaya menamatkan satu pusingan semasa pelindung diletakkan pada kereta mereka.

Halo: Ya/Tidak

Debat berkenaan Halo ini berlegar kepada beberapa perkara iaitu keselamatan, astetik, penglihatan, bagaimana pelumba dapat keluar dan DNA lumba kereta itu sendiri. Semasa ditanya berkenaan Halo, juara bertahan Lewis Hamilton mengganggap Halo alat paling hodoh yang pernah diperkenalkan F1. Tetapi pelumba Mercedes itu mengubah fikirannya berkenaan Halo selepas FIA membentangkan hasil kajian mereka kepada para pelumba semasa Grand Prix Hungary 2016. Hamilton menambah, “Saya amat mengambil berat penerangan baik yang diberikan mereka. Saya amat mengambil berat berkenaan soal keselamatan. Menariknya di sini, walaupun Halo tidak kelihatan menarik dari segi rupa atau astetik perlumbaan, ia memberi peluang 17% untuk menyelamatkan nyawa pelumba. Tetapi ia masih boleh diperbaiki untuk peringkat seterusnya, siapa tahu ia mempunyai kanopi dan pada ketika itu boleh menyelamatkan pelumba dengan kadar 100%.”

Waqaf Saham

1. Penglihatan

Di sebalik rupanya yang besar dan tebal, Halo sama sekali tidak mengganggu penglihatan pelumba semasa ia diuji. Wujud kebimbangan Halo akan memberi kesan sekiranya ia diuji di litar yang mempunyai perubahan ketinggian berbeza seperti litar Spa-Francorchamps yang boleh menyebabkan pelumba terperangkap dalam titik buta. Tetapi selepas menguji Halo 2 semasa sesi latihan Grand Prix Belgium, juara dunia 2017 Nico Rosberg berpandangan ia sama sekali tidak memberi perbezaan. Rosberg menambah, “Tiada masalah sama sekali, anda tidak akan perasan bahagian atas pun. Dan ia sebenarnya boleh diturunkan lagi kerana Prototaip Le Mans (LMP) lebih rendah lagi. Jadi, ia boleh saja direndahkan lagi.”

Pelumba Renault yang mewakili Force India ketika itu, Nico Hulkenberg pula merasakan walaupun mempunyai Halo sesuatu yang pelik tetapi ia tidaklah mengganggu penglihatannya semasa memandu. Sementara pelumba Haas, Romain Grosjean pula menyelar Halo dan merasakan ia membuatkan dirinya tidak sihat. Tetapi sebagai satu badan kolektif, GPDA dilihat menyokong usaha FIA menyediakan perlindungan kokpit tambahan untuk para pelumba.

2. Ujian pengeluaran pemandu

Antara kritikan terhadap cadangan perlindungan kokpit tambahan pada kereta F1 dan F2 ialah ia menyukarkan pemandu untuk keluar dari kereta mereka. Malah, ada yang menganggap Halo itu sendiri satu halangan yang menyukarkan pemandu keluar. Tetapi selepas siri ujian diadakan, FIA berpuas hati dengan ujian pengeluaran pemandu yang dikenakan terhadap Halo dan melihat ia lebih banyak menawarkan kelebihan daripada keburukan. Bagi bekas juara dunia dan pemandu McLaren, Fernando Alonso menganggap Halo sesuatu yang baik tanpa mengira berapa lama masa diperlukan untuk beliau keluar dari kereta selepas apa yang berlaku ke atas dirinya di Australia pada tahun 2016. Malah, berdasarkan kajian FIA, Halo bukan saja tidak akan menghalang pelumba seperti Alonso keluar dari kereta. Bahkan sebaliknya, ia memberi ruang kepada pelumba berusaha keluar dari kokpit kereta.

iii. Astetik vs Keselamatan

Sebaik cadangan Halo ini ditimbulkan, walaupun ramai bersetuju dengan idea tersebut, tak semua yang menyokong. Selain Grosjean, bekas juara dunia merangkap penasihat Mercedes, Niki Lauda menganggap pengenalan Halo merosakkan DNA F1 itu sendiri. Tetapi tidak ramai tahu seiring dengan perubahan masa, pelbagai langkah keselamatan diperkenalkan bagi menjadikan sukan tersebut lebih selamat kepada para pelumbanya.

Pada tahun 1996, kokpit getah berbusa diperkenalkan dalam F1. Walaupun ia dilihat mengubah rupa kereta lumba itu sendiri, ia sudah menyelamatkan nyawa pelumba pada tahun pertama pengenalannya. Bekas doktor F1, mendiang Profesor Sid Watkins mendedahkan dalam bukunya, Beyond The Limits berkenaan kemalangan yang dialami pelumba Belanda Jos Verstappen semasa Grand Prix Belgium 1996. Watkins menyifatkan pengenalan kokpit getah berbusa membantu menyelamatkan Verstappen dari mengalami kecederaan teruk di kepala yang berisiko membawa kematian. Walaupun debat sama ada ia diperlukan atau tidak masih berterusan, peluang pelumba terselamat sebanyak 17% merupakan sesuatu yang tidak seharusnya dipandang enteng semua pihak termasuk FIA.

Aplikasi dunia sebenar

Selepas diperkenalkan untuk kalendar perlumbaan F1 tahun ini, keupayaan Halo akhirnya terbukti menerusi satu insiden yang berlaku semasa Grand Prix Belgium 2018 semalam. Semasa pusingan pertama perlumbaan, tatkala Vettel dan Hamilton sedang sibuk merebut kedudukan pertama, kesilapan Hulkenberg mengakibatkan kereta Alonso terbang hingga berada di atas kokpit pelumba Sauber Charles Leclerc sebelum berada di tepi litar. Semasa ia terbang, kereta tersebut berlanggar dengan Halo Leclerc. Semua pemandu yang terlibat dengan insiden tersebut terselamat dan disahkan sihat oleh pasukan perubatan.

Selepas tamat perlumbaan yang menyaksikan Vettel bergelar juara, admin Twitter F1 menunjukkan gambar keadaan Halo kereta Sauber yang dipandu Leclerc selepas berlanggar dengan tayar kereta Alonso. Rosberg yang kini berkhidmat sebagai duta F1 membalas tweet mereka, “Kita boleh tamatkan diskusi Halo sekarang. Ia boleh menyelamatkan nyawa!” Alonso menambah, “Saya lihat ulang tayang insiden dan itu sudah cukup menunjukkan kebaikan halo. Kita tidak perlukan sebarang bukti tetapi ini sesuatu yang baik.”

Leclerc menyifatkan dirinya bukan peminat Halo tetapi beliau merasakan ia sesuatu yang baik selepas apa yang berlaku pada pusingan pertama perlumbaan. Pengarah perlumbaan Charlie Whiting menyifatkan ia masih terlalu awal dan perlu disiasat terlebih dahulu punca kemalangan. Pada masa sama, Whiting merasakan Halo sebenarnya sesuatu yang berguna kepada para pelumba dan menganggap mana-mana pemandu yang terselamat dari kemalangan tanpa Halo merupakan satu keajaiban.

SUMBER

  1. Benson, Andrew. (2018). BBC. F1 halo: Charles Leclerc crash shows value of device – Fernando Alonso. https://ift.tt/2wrfALv
  2. BBC. (2015). Jules Bianchi: F1 driver dies from Suzuka crash injuries. https://ift.tt/2zATQ2s
  3. Edmondson, Laurence. (2017). ESPN. What is Halo and why is it being introduced in F1 for 2018? https://ift.tt/2gNESPe
  4. Hamilton, Maurice. (2009). The Guardian. Felipe Massa suffers skull fracture in freak accident during qualifying. https://ift.tt/2ad8IpB
  5. Saunders, Nate. (2018). ESPN. Nico Rosberg: We can end the Halo debate now. https://ift.tt/2MRWyrP

Sewa Pakaian Fesyen: Realiti Atau Fantasi?

Sudah adat bagi kita untuk membeli pakaian baru bagi menggantikan pakaian yang sudah lama dan lusuh. Ada yang membeli pakaian baru hanya setakat dipakai beberapa kali sebelum ianya dilupakan. Dan perbuatan sebegini bukan saja satu pembaziran tetapi memakan ruang untuk almari pakaian. Tetapi dunia menyaksikan sesetengah syarikat mula memperkenalkan satu konsep yang tidak pernah didengar: menyewa pakaian baru dan terkini di pasaran.

 

Konsep ini mungkin masih asing di Malaysia tetapi sudah mula menarik perhatian pengguna di China dan negara-negara Barat. Di China misalnya, sebuah syarikat baru bernama YCloset mempromosikan syarikat mereka dengan menggunakan khidmat selebriti media sosial bernama Jiang Chacha. Menerusi iklan tersebut, Chacha membawa penonton melawat sebuah tempat yang tidak disangka-sangka untuk mendapatkan pakaian, sebuah kedai dobi di mana operasinya bertaraf industri. Dan di sinilah YCoset mengadakan perkhidmatan menyewa pakaian terbaru dalam industri fesyen bagi kegunaan pelanggan di luar sana.

 

Bagaimanapun, masih ramai yang ragu-ragu untuk mengambil perkhidmatan ini atau tidak. Menurut pencipta kempen YCloset Doris Ke, sesetengah pengguna masih tidak pasti memakai pakaian yang pernah dipakai sebelumnya. Atas sebab itu menerusi iklan berkenaan, YCloset memberi jaminan kepada pengguna bahawa semua pakaian yang disewa akan dicuci dan dikeringkan sebelum disewakan kembali kepada pengguna. Dan bagi menambah impak bahawa pakaian YCloset bersih sepenuhnya, Chacha ditawarkan segelas air yang diambil dari mesin basuh berkenaan sekaligus menunjukkan ia selamat dan bersih diminum. Mesejnya satu saja, sewa pakaian fesyen boleh menjadi tumpuan ramai sekiranya beberapa kebimbangan yang dinyatakan dapat diatasi. Dan sekiranya ia berjaya, ia sebenarnya dapat mengurangkan impak industri fesyen terhadap alam sekitar.

 

Kita mungkin sudah biasa dengan idea menyewa tuksedo atau pakaian elegan untuk dipakai dalam majlis-majlis istimewa. Tetapi bagi firma-firma sewaan pakaian, mereka melihat ada pasaran bagi pakaian biasa untuk kehidupan seharian. Mereka berhujah sudah sampai masanya bagi firma-firma memperkenalkan konsep seperti Netflix atau Spotify tetapi khusus untuk pakaian. Bagi mereka, menyewa pakaian bukan soal kalau tetapi bila ia akan menjadi trend dalam kalangan pengguna.

 

Atas sebab itulah untuk kempen terbaru YCloset, mereka mengadakan kempen menyewa pakaian kerja bagi golongan wanita. Untuk menarik perhatian pengguna terutama kelompok eksekutif, Ke merangka satu kempen yang memperlihatkan seorang eksekutif wanita yang menyewa pakaiannya untuk bekerja. Menerusi kempen berkenaan, wanita tersebut dilihat berjaya mengatasi bosnya dan mendapat tempat dalam majalah Forbes. Mesej iklan YCloset itu kepada pengguna mudah saja: pilih pakaian bersesuaian bila anda bekerja.

 

Tetapi YCloset bukan pelopor sebenar kegilaan terbaru dunia fesyen ini. Penghormatan itu jatuh kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di New York Rent the Runways. Rent the Runways ditubuhkan pada tahun 2009 pada mulanya bergelut untuk mendapatkan dana dari para pelabur tetapi selepas mendapat kepercayaan pengguna, berjaya meraih keuntungan buat kali pertama pada tahun 2016. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap pengasas bersama Rent the Runways Jennifer Hyman, model syarikat yang berasaskan langganan memberi peluang kepada pelanggan akses kepada almari pakaian maya mengandungi pelbagai jenis pakaian berjenama.

Waqaf Saham

 

Selain mereka, pesaing mereka di San Francisco Le Tote dan firma Britain, Girl Meets Dress turut bertanggungjawab mencetuskan kegilaan ini. Selain menawarkan pakej langganan yang bersifat sekali saja (one-off), pelanggan juga boleh menyewa beberapa pakaian pada satu-satu masa dengan melanggan pakej langganan bulanan dengan caj berpatutan. Hyman turut melihat perniagaan sebegini boleh mengatasi gergasi pakaian seperti Zara dan H&M untuk jangka masa panjang.

 Bagaimanapun, tidak semua yang melihat idea sebegini relevan kerana merasakan membeli pakaian baru lebih berbaloi. Tidak ramai sedar, tindakan sebegini sebenarnya menjadikan industri fesyen sebagai antara industri yang memberi impak besar kepada kerosakan alam sekitar menurut Yayasan Ellen MacArthur. Ini mendorong mereka melancarkan satu kempen untuk menggalakkan firma-firma fesyen menggunakan semula sumber dan mengurangkan pembaziran. Walau bagaimanapun, ini bukan sesuatu yang mudah kerana pembabitan selebriti-selebriti media sosial terutama di Instagram yang memakai pakaian baru mereka beberapa kali sebelum ianya dibuang. Menurut Francois Souchet, sekiranya mereka mengamalkan sikap menyayangi alam sekitar dengan memakai pakaian yang masih elok dan cantik, mereka sebenarnya dapat mengurangkan impak kerosakan sebanyak 44%.

 

Dan bila mana firma-firma ini menyewa pakaian, mereka mendapat keuntungan jauh lebih tinggi. Dan ini boleh membawa kepada pembuatan pakaian yang bukan saja bermutu tetapi tahan lama sekaligus menjadikan industri fesyen bersifat mesra alam sekitar. Dan seperti firma-firma fesyen lain, YCloset dan rakan-rakan seperjuangan mereka turut menggunakan analisis data sama untuk melihat trend mana yang popular dan berpotensi untuk bertahan. Menurut Souchet, amalan sebegini sebenarnya membantu mereka mengelak melakukan pembaziran. Walaupun model sewa pakaian bukanlah solusi bagi perubahan pantas industri fesyen, beliau berharap ia dapat mengubah cara pengguna menggunakan pakaian mereka.

 

Jika ada menyangka bisnes sebegini tidak mendapat tumpuan para pelabur terutama gergasi internet, anda salah lagi. Alibaba saja sudah mempunyai pegangan saham dalam YCloset dan Rent the Runways sekaligus dapat membawa kedua-dua firma lebih ke hadapan dalam industri pakaian. Sementara Amazon yang dimiliki Jeff Bezos pula berusaha keras mendapatkan pegangan dalam pasaran pakaian Amerika Syarikat. Bagi Souchet, ia bukan sesuatu yang gila bila dua gergasi internet itu masuk dalam arena sewa pakaian. Ini kerana kedua-duanya boleh memberi perspektif berbeza kepada firma-firma terlibat tentang bagaimana menjadikan idea ini bersifat arus perdana dan mendapat sambutan hangat dari pengguna.

 

SUMBER

 

1. Cartner-Morley, Jess. (2017). The Guardian. Spotify for fashion: does renting clothes signal the end of our wardrobes? https://ift.tt/2z97lXt

 

2. Hooker, Lucy. (2018). BBC. Will we soon be renting rather than buying our new clothes? https://ift.tt/2IgjgVG

 

Rangkaian Aset Dan Infrastruktur Wancorp

1. AL-SALAM REIT – 9.98% (44.5 juta saham)

Al-Salam REIT adalah REIT Islam yang pelbagai di Malaysia dengan aset terletak di lokasi strategik di Pusat Bandaraya Johor Bahru dan bandar utama di seluruh Malaysia. Al-Salam REIT disenaraikan di Bursa Malaysia pada 29 September 2015. Pada 31 Disember 2015, saiz aset Al-Salam REIT berjumlah RM978.2 juta dengan jumlah modal pasaran RM620.6 juta.

Sebanyak 31 portfolio awal diambilalih Al-Salam REIT daripada dua anak syarikat Johor Corporation iaitu DASB dan QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (QSR). Antara aset utama DASB adalah KOMTAR JBCC, Menara KOMTAR, @mart Kempas dan KFCH College manakala aset QSR adalah rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara serta aset industri operasi terpilih. Johor Corporation berperanan sebagai penaja Al-Salam REIT.

Al-Salam REIT diuruskan oleh Damansara REIT Managers Sdn Berhad (“DRMSB” atau “Pengurus”), sebuah syarikat dalam kumpulan syarikat JCorp.

2. KPJ HEALTHCARE BERHAD – 7.1% (278.92 juta saham)

KPJ Healthcare Berhad ialah pemimpin bagi penyedia perkhidmatan kesihatan swasta di Malaysia. Sejak diperkenalkan melalui penubuhan hospital swasta pertama di Johor pada tahun 1981, KPJ sentiasa berada di hadapan dalam industri kesihatan. Dipacu oleh nilai terasnya iaitu Keselamatan, Sopan, Integriti, Profesionalisme dan Penambahbaikan Berterusan, rangkaian hospital KPJ terdiri daripada 25 hospital pakar di seluruh negara. Dengan proses pengembangan operasi di luar negara, KPJ juga mempunyai dua buah hospital di Indonesia, sejumlah besar pegangan di sebuah hospital di Bangkok, Thailand dan sebuah hospital di Bangladesh. Selain itu, KPJ juga mempunyai pelaburan dalam sebuah resort persaraan dan penjagaan usia di Australia dan Sibu, Sarawak serta mempunyai pusat jagaan warga emas (SLC) sendiri di Pusat Kesihatan Tawakkal (THC) di Kuala Lumpur.

KPJ juga sentiasa menjaga kepentingan golongan yang tidak berkemampuan dan ini dibuktikan melalui rangkaian Klinik Waqaf An-Nur (KWAN). Ketika ini, ada 18 klinik KWAN dan sebuah Hospital Waqaf An-Nur (HWAN) yang beroperasi di Malaysia. Selain itu, KPJ turut menyediakan lima klinik bergerak di Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Kelantan. Hasil daripada usaha ini membolehkan lebih sejuta pesakit menikmati perkhidmatan yang disediakan sejak klinik pertama diwujudkan di Johor pada tahun 1998.

3. AL-‘AQAR HEALTHCARE REIT – 12.62% (12.62 juta saham)

Al-`Aqar Healthcare REIT(Al-`Aqar) telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhadpada 10 August 2006. Meraikan Ulang Tahun Ke-10 pada Ogos 2016, Al-`Aqar telah meraih pelbagai pencapaian, antara lain, disenaraikan sebagai REIT Islam yang pertama di dunia, REIT Penjagaan Kesihatan Islam yang pertama di Asia dan juga merupakan penanda aras bagi pembangunan REIT Islam di Malaysia serta di rantau ini. Ditubuhkan dengan portfolio awal sebanyak enam hartanah, Al-`Aqar telah berkembang kepada 23 hartanah yang terdiri daripada 19 hospital dan empat hartanah berkaitan penjagaan kesihatan meliputi seluruh Malaysia dan Australia. Hartanah tersebut mewakili 90.6% daripada jumlah nilai hartanah dan masing-masing menyumbang 83% kepada hasil dan 81% kepada pendapatan sewa bersihAl-`Aqar. Jeta Gardens Aged Care & Retirement Village yang terletak di Australia merupakan aset asing tunggal yang dimiliki oleh Al-`Aqar. Hartanah ini mewakili 9.4% daripada jumlah nilai hartanah dan menyumbang 17% terhadap hasil dan 19% terhadap pendapatan sewa bersih Al-`Aqar.

Waqaf Saham

Sehingga 31 Disember 2016, saiz hartanah Al-`Aqar telah mencecah RM1.61 bilion dengan modal pasaran bernilai RM1.02 bilion.

Al-`Aqar diuruskan olehDamansara REIT Managers Sdn Berhad (DRMSB atau Pengurus), yang merupakansyarikat dalam Syarikat Kumpulan JCorp.

4. LARKIN SENTRAL PROPERTY SDN BHD – 100% (881.48 juta saham)

Larkin Sentral Property Berhad (LSPB) dahulunya dikenali sebagai Larkin Sentral Property Sdn Bhd (LSPSB) ditubuhkan pada 20 Julai 1995. LSPB mula aktif pada Januari 2008 setelah pembelian hartanah Terminal Larkin Sentral oleh pihak Johor Corporation pada bulan Disember 2007.

Aktiviti utama syarikat adalah penyewaan lot-lot perniagaan dan lot-lot pasar awam serta tempat letak kenderaan. Bangunan Larkin Sentral terletak di atas tanah seluas 16.23 ekar yang terdiri daripada bangunan pasar awam, terminal pengangkutan awam dan tempat letak kenderaan. Mulai Januari 2008, pengurusan Larkin Sentral termasuk syarikat LSPB diuruskan oleh Damansara Assets Sdn Bhd. Jumlah baki bayaran ansuran LSPB sehingga 31 Disember 2016 adalah sebanyak RM30,070.00 setelah proses permodalan jumlah hutang kepada Johor Corporation.

Prestasi kewangan syarikat untuk tempoh berakhir 31 Disember 2016 menunjukkan peningkatan yang mendadak dari segi perolehan iaitu sebanyak RM12.2 juta berbanding RM12.0 juta pada tahun 2015. Keuntungan syarikat sebelum cukai menurun kepada RM6.5 juta bagi tahun 2016 berbanding RM17.2 juta bagi tahun 2015. Penurunan ini berlaku berikutan kenaikan kos operasi syarikat dan kos-kos naik taraf yang sedang dijalankan di Larkin Sentral.

5. CAPAIAN ASPIRASI SDN BHD – 75% (75,000 saham)

Capaian Aspirasi Sdn Bhd (CASB) pada asalnya merupakan anak syarikat kepada Johor Corporation (JCorp). Bermula Februari 2006, 10 peratus saham syarikat telah dimiliki oleh En. Ismail Bin Mat Ali di bawah Skim Intrapreneur Johor Corporation. Pada Oktober 2007, Johor Corporation telah mewakafkan 75 peratus pegangan sahamnya di dalam Capaian Aspirasi Sdn Bhd (CASB) kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad, manakala baki 25 peratus dimiliki oleh En. Ismail Bin Mat Ali. Bermula pada Jun 2005, aktiviti syarikat telah dikembangkan dengan terlibat dalam menjalankan Mutawwif Umrah dan Haji serta aktiviti konsultansi bagi kursus, ceramah agama serta program motivasi.

Syarikat melalui Encik Ismail Bin Mat Ali adalah Amil Zakat Korporat bagi Majlis Agama Islam Negeri Johor bermula 1 September 2005. Bermula pada tahun 2009, CASB juga menguruskan zakat korporat luar negeri Johor. Syarikat telah berjaya membuat pungutan Zakat Harta dan Zakat Pendapatan sehingga Disember 2016 sebanyak RM8,625,706.08 dan jumlah komisen bagi tempoh yang sama adalah sebanyak RM539,105.75. Syarikat ini juga telah dilantik sebagai Wakil Korporat Amanah Raya Berhad pada 17 Julai 2007. Syarikat telah melantik sub ejen untuk bekerjasama bagi memasarkan produk wasiat Amanah Raya Berhad (ARB). Hasil kerjasama ini, sebanyak 221 wasiat dapat didaftarkan sehingga Disember 2016

Pada 1 Oktober 2009, syarikat ini telah menguruskan aktiviti Akademi Mutawwif Sdn Bhd serta menganjurkan kursus dan ceramah kepada peserta mutawwif yang mendaftar. Sehingga November 2016, seramai 229 orang menyertai dan jumlah keseluruhan adalah seramai 1,435 orang peserta. Jumlah pendapatan syarikat bagi tempoh Januari-Disember 2016 adalah sebanyak RM1,375,467 berbanding bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1,309,968 dengan peningkatan 5 peratus.

6. TIRAM TRAVEL SDN BHD – 75% (75,000 saham)

Tiram Travel Sdn Bhd (Tiram) telah ditubuhkan pada 22 Februari 1982 dengan aktiviti utamanya sebagai agen pengembaraan dan pelancongan merangkumi penjualan tiket penerbangan, pakej pelancongan (domestik dan antarabangsa) serta pakej haji dan umrah. Pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 adalah sebanyak RM91.05 juta berbanding tahun kewangan 2015 sebanyak RM66.54 juta, meningkat sebanyak 36 peratus.

Keuntungan sebelum cukai dicatat pada tahun 2016 sebanyak RM1.26 juta berbanding keuntungan sebelum cukai tahun 2015 sebanyak RM830,000. Sehingga 31 Disember 2016 Tiram Travel Sdn Bhd mempunyai dua cawangan iaitu di Ampang, Selangor dan Johor Bahru, Johor serta mempunyai 27 wakil pejabat iaitu Seremban, Negeri Sembilan, Melaka, Kuantan, Pahang, Ipoh, Perak, Sungai Petani, Kedah, Kluang, Johor, Shah Alam, Selangor, Kota Bahru, Kelantan, Batu Pahat, Johor, Muar, Johor, Pulau Pinang, Alor Setar, Kedah, Kota Tinggi, Johor, Kuala Terengganu, Terengganu, Putrajaya, Gemencheh, Negeri Sembilan, Segamat, Johor, Pandan, Kuala Lumpur, Jeli, Kelantan, Bangi, Selangor, Tawau, Sabah, Temerloh, Pahang, Kemaman, Terengganu, Tanjung Malim, Perak, Kuala Selangor, Selangor, Rawang, Selangor dan Pontian, Johor.

Rabu, 26 September 2018

Iktibar Di Sebalik Doctor Who

Bagi sesetengah orang, siri televisyen sains fiksyen Doctor Who hanya sekadar satu lagi siri televisyen sains fiksyen biasa untuk hiburan seisi keluarga. Hakikatnya, drama ini berstatus ikonik dan sudah mencecah usia 65 tahun. 12 orang diberi penghormatan mengisi peranan sebagai The Doctor dengan yang terbaru, Jodie Whittaker akan mengambil alih peranan ikonik itu dari Peter Capaldi untuk siri ke-11. Di sebalik semua ini, terdapat banyak pengajaran yang kita boleh ambil sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Sejarah itu tidak boleh diubah

Salah satu tema yang sentiasa diulangi dalam setiap siri atau musim Doctor Who ialah cubaan sesetengah wataknya mengubah peristiwa pahit dalam kehidupan mereka kerana motif yang berbeza-beza. Dalam kes teman Ninth Doctor dan Tenth Doctor, Rose Tyler (Billie Piper) cuba menyelamatkan nyawa bapanya Pete (Shaun Dingwall) dari dilanggar kereta yang membunuhnya ketika Rose masih kecil walaupun dilarang Ninth Doctor (Christopher Eccleston) dalam episod Father’s Day. Begitu juga cubaan Winston Churchill (Ian McNeice) mahu mempercepatkan kemenangan pihak Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua dengan menggunakan musuh ketat The Doctor dan Time Lord, Dalek dalam episod Victory of the Daleks.

Sejarah itu penuh dengan pelbagai lipatan peristiwa pahit dan manis, suka mahupun duka. Dan suka atau tidak, ia memberi impak besar kepada manusiawi sepanjang zaman. Dan ini mendorong mereka belajar dari peristiwa-peristiwa berkenaan bukan saja untuk tidak mengulangi kesilapan lampau. Malah, ia sebenarnya memberi inspirasi kepada generasi terkemudian untuk melakar sejarah mereka sendiri.

Justeru, tindakan manusia yang cuba mengubah masa silam sebegini bukan saja bersifat mementingkan diri sendiri, malah menunjukkan kesukaran mereka menerima takdir Ilahi. Tidak ramai sedar ujian yang didatangkan Tuhan kepada kita mempunyai hikmah yang tersembunyi. Ujian Tuhan itu datang dalam pelbagai bentuk seperti kematian, kemiskinan, bencana alam dan kesenangan seperti berdasarkan firman-Nya dalam ayat 155-156, Surah Al-Baqarah, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Tuhan menurunkan ujian kepada manusia bukan atas sebab sia-sia. Sebaliknya, ujian itu sebenarnya menempa manusia menjadi lebih baik pada masa akan datang dan seterusnya, menjadi manusia terbaik di sisi-Nya dan manusia. Atas sebab itu, mana-mana ujian yang Dia turunkan ke atas kita itu sesuai mengikut kadar beban yang ditanggung kita. Buktinya lihatlah permulaan ayat 286, Surah A-Baqarah, “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” Walau sepahit mana sesebuah peristiwa yang pernah dialami, percayalah ia sebenarnya menjadikan kita insan yang lebih baik dalam kehidupan.

Sejarah alternatif

Doctor Who sentiasa berani dengan bermain dengan sejarah alternatif terutama membabitkan plot penceritaannya. Walaupun ada sesetengah daripadanya bersifat lucu, tetapi usah pandang enteng impaknya pada sejarah. Ini kerana bila haluan atau tindakan yang dipilih berbeza dari apa yang dilakukan sekarang atau oleh generasi terdahulu, sejarah pasti akan dilihat dari sudut yang berbeza. Contoh sekiranya perjuangan menuntut kemerdekaan dilakukan bukan melalui jalan rundingan seperti yang dilakukan Tunku Abdul Rahman dan rombongannya semasa di London pada tahun 1956 tetapi perjuangan bersenjata, kos yang dibayar pastinya mahal dari segi kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Dan selain itu, proses pengembalian kedaulatan juga akan mengambil masa lebih lama berbanding bila menggunakan jalan damai.

Waqaf Saham

Atas sebab itulah, bila melihat semua teori alternatif sejarah sama ada yang dipersembahkan dalam bentuk artikel, layar perak atau kaca televisyen, ia seharusnya membuatkan kita bersyukur dan menghargai apa yang dilakukan generasi terdahulu. Ini ditonjolkan dalam episod Turn Left yang menyiarkan satu soalan kepada penonton, apa akan berlaku sekiranya The Doctor (David Tennant) mati lemas semasa dalam proses cuba membunuh Empress of the Racnoss? Keadaan ini berlaku kepada Donna Noble (Catherine Tate) yang memilih membelok ke kanan untuk temuduga pekerjaan bersama seorang ahli perniagaan dan bukan ke kiri untuk temubual bersama syarikat H.C Clements.

Impak dari tindakan tersebut bukan saja membunuh The Doctor dalam peristiwa itu tetapi juga membawa kepada pelbagai peristiwa lain yang berjaya dihalang sepanjang siri keempat drama tersebut. Antara peristiwa yang berlaku seperti terhempasnya kapal angkasa Titanic di Istana Buckingham, kematian dua teman The Doctor Martha Jones (Freema Agyeman) dan Sarah Jane Smith (Elisabeth Sladen) dan 60 juta rakyat Amerika mati akibat plot makhluk asing Adipose. Namun, ia berjaya dicegah dari menjadi realiti hasil tindakan Donna dan bantuan rahsia Rose. Episod Turn Left ini berlaku sebelum dua episod penamat musim keempat The Stolen Earth dan Journey’s End.

Peluang mempelajari sejarah dengan cara menyeronokkan

Satu perkara menarik berkenaan Doctor Who ialah ia memberi peluang kepada penonton belajar secara santai tentang sejarah. Sejak diperkenalkan pada tahun 1963, bukan sedikit tokoh sejarah diperkenalkan kepada para penonton. Jika anda tanya tentang tokoh sejarah, sesetengah daripada mereka menjadi rakan atau musuh The Doctor seperti Churchill, Ratu Victoria dan Ratu Elizabeth I. Drama sains fiksyen ini juga tidak lokek menempatkan protagonisnya pada latar masa berbeza seperti era Rom, Viking dan Perang Dingin serta mengolah plot bersesuaian dengan latar masa tersebut. Contoh bagi episod The Fires of Pompeii, ia berlaku ketika Gunung Vesuvius memuntahkan laharnya pada 79 Masihi dan memusnahkan keseluruhan Pompeii. Malah menurut The Doctor, ia dianggap titik tetap masa dan tidak seharusnya diusik sama sekali.

Pasti ada yang mengatakan pembelajaran sebegini bersifat mengarut dan membuang masa sahaja. Hakikatnya, ia menyuntik minat dalam kalangan generasi muda untuk mengenali sejarah tanpa mengorbankan sama sekali elemen hiburan di dalamnya. Memang betul ada sesetengah masa, produksi terpaksa menggunakan lesen kreatif mereka demi memastikan plot penceritaan lancar dan memuaskan hati penonton. Tetapi itu sama sekali langsung tidak memadamkan minat orang terhadap sejarah, malah ia memarakkan lagi minat mereka pada perkara tersebut.

Jika ada merasakan perkara sebegini membuang masa, mengapa industri anime Jepun gigih memasukkan pelbagai elemen ilmu termasuk sejarah dalam setiap anime mereka? Dalam cerita One Piece misalnya, sesetengah nama musuh Monkey D. Luffy atau watak anime itu diambil dari nama lanun-lanun terkenal dari zaman silam. Antara watak berkenaan ialah Blackbeard dan Whitebeard (kedua-duanya diambil dari lanun legenda Blackbeard), Bellamy ‘The Hyena’ (Samuel Bellamy) dan Trafalgar Law (Edward Low). Dan siri televisyen DC dan CW Legends of Tomorrow yang menampilkan adiwira dan penjahat dari komik DC tidak teragak-agak menggunakan elemen sejarah dalam plot penceritaan mereka.

Ekplorasi dan perasaan ingin tahu

Sejak diperkenalkan pada tahun 1963, dua elemen yang tidak pernah berpisah dengan Doctor Who ialah semangat eksplorasi dan perasaan ingin tahu manusia pada sesuatu perkara. Tidak kira sama ada penerokaan ke angkasa lepas atau latar masa berbeza, ia sesuatu yang amat menonjol dalam drama berkenaan. Ia sebenarnya satu ingatan kepada kita tanpa kedua-duanya, bagaimana kita ingin maju ke hadapan sebagai individu tetapi juga sebagai satu tamadun amnya.

Ini kerana eksplorasi dan perasaan ingin tahu membantu manusia untuk belajar dan membuang elemen jahil dalam diri. Tanpa kedua-duanya, manusia akan tercari-cari dalam kegelapan dalam mencari panduan. Dan tanpa kedua-duanya juga, seseorang itu tidak akan berani meneroka dunia luar dan melihat dunia ciptaan-Nya yang indah itu. Atas sebab itulah, eksplorasi dan perasaan ingin tahu bukan saja membantu manusia menambah pengetahuan. Malah pada masa sama, ia turut mengubah keperibadian mereka ke arah lebih baik kerana di sebalik semua itu, tersirat pengalaman yang mematangkan dirinya menghadapi cabaran kehidupan.

Ini juga sebab mengapa Allah menggalakkan manusia saling berkenalan berdasarkan firman-Nya dalam ayat 13, Surah Al-Hujurat, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” Ini kerana selepas melihat perbezaan antara mereka, ia sebenarnya mendorong manusia menjadi saling memahami dan bersikap toleransi dari segi perhubungan.

Lihat sendiri transformasi teman-teman The Doctor sebelum dan selepas mengikuti pengembaraan beliau. Sebelumnya, mereka hanya orang biasa dan dunia mereka sekitar kawasan setempat sahaja. Tetapi selepas melihat dunia-dunia asing dan aneh, bertemu dengan ramai orang tanpa mengira latar belakang dan merasai pengalaman baru, pandangan dunia mereka berubah 360 darjah. Itu saja sudah cukup melihat impak eksplorasi dan perasaan ingin tahu pada manusia menjadi lebih baik dari sebelumnya.

ESRB, Keganasan dan Perang Konsol: Apa Kaitannya?

Bagaimana Penjajah Mengagungkan Bahasa Melayu

Semalam kita dikejutkan dengan tindakan sebuah badan kerajaan yang mengeluarkan surat berbahasa Cina dan Inggeris, tanpa sepatah pun perkataan dalam bahasa Melayu.

DYMM Sultan Johor sudah bersuara, marhaen seperti aku dan kalian juga sudah bersuara. Inilah masalahnya apabila warga Malaysia sendiri tidak mampu menghormati dan mengagungkan bahasa ibundanya. Susahlah kalau urusan rasmi kerajaan pun tidak hormat pada tatacara kerja yang sepatutnya.

Tahukah kalian bahawa suatu ketika dahulu bahasa Melayu amatlah disanjung tinggi hinggakan Proklamasi Penaklukan Pulau Jawa oleh Stamford Raffles ditulis dalam bahasa Melayu, menggunakan tulisan jawi. Proklamasi itu tidak dalam bahasa Jawa, tidak juga dalam bahasa Inggeris atau Belanda.

Ceritanya begini…

Apabila William V, raja Belanda lari ke Britain akibat serangan Napoleon dan Perancis pada tahun 1795, beliau mengeluarkan surat yang bernama ‘Kew Letters’ atau dikenali juga sebagai ‘Circular Note of Kew’. Surat ini memberi kuasa sementara kepada British untuk menguasai tanah jajahan Belanda di luar negara buat sementara waktu.

Atas arahan Lord Minto, direktor-jeneral Bengal, Stamford Raffles memulakan ekspedisi penaklukan wilayah Belanda di Nusantara.

Pada 4 Ogos 1811, tentera British mendarat di Cilincing, Jawa Barat. Empat hari kemudian Batavia (Jakarta) jatuh ke tangan Btitish dan enam minggu kemudian seluruh pulau Jawa jatuh ke tangan British.

Waqaf Saham

Maka, Stamford Raffles mengeluarkan surat Proklamasi Penaklukan Pulau Jawa dalam bahasa Melayu yang bertarikh 11 Ogos 1811. Cop mohor Lord Minto juga tertera pada surat itu.

Boleh sahaja Stamford Raffles mengarang surat sebesar dan segah itu dalam bahasa Inggeris atau Jawa, tetapi dipilihnya bahasa Melayu kerana agungnya bahasa itu pada waktu itu.

Cubalah baca surat yang ditulis Raffles ini, tulisannya terang dan bahasanya mudah. Cop mohor Lord Minto itu sendiri pun dalam bahasa Melayu.

Ini bukan surat penpal atau surat minta cerai… ini Surat Proklamasi Penaklukan!

“Bahasa Itu Jiwa Bangsa”

p/s: Tahukah kalian ada batu bersurat yang dikenali sebagai Prasasti Minto? Itu cerita untuk lain hari.

Keteguhan Iman Seorang Tokoh Pendakwah, Shaykh Ahmad Deedat Pada Tahun-Tahun Terakhirnya

Allahyarham Shaykh Ahmad Hussein Deedat merupakan seorang tokoh pendakwah muslim antarabangsa yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah seorang tokoh lagenda dalam bidang ilmu perbandingan agama terutamanya berkenaan agama Islam dan Kristian. Guru kepada seorang tokoh pendakwah muslim antarabangsa tersohor pada abad ke-21 ini iaitu Dr. Zakir Abdul Karim Naik dan juga pengasas dan presiden sebuah institusi dakwah Islam antarabangsa yang berpusat di Durban, Afrika Selatan iaitu Islamic Propogation Centre International (IPCI) ini telah mengorbankan harta bendanya, tenaganya dan seluruh jiwa raganya ke jalan dakwah, membidas tajam segala fitnah daripada golongan bukan Islam terhadap agama Islam dan umatnya melalui rakaman video-video syarahan dan perdebatan serta penerbitan puluhan buah buku dakwah tulisannya secara percuma. Wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman yang menawan.

Penulis rasa tidak perlu dibincangkan panjang lebar lagi berkenaan biografi dan sumbangan besar tokoh ulama perbandingan agama tersebut kerana salah seorang rakan penulis The Patriots yang lain pernah menulis artikel biografi ringkas mengenainya di laman web The Patriots ini pada tahun lepas. Artikel ini akan menceritakan kisah tahun-tahun terakhir dalam kehidupan beliau.

Sekembalinya Shaykh Ahmad Deedat daripada menyampaikan syarahan sempena sambutan Hari Good Friday di Sydney, Australia pada pertengahan tahun 1996, beliau jatuh sakit kerana mengalami serangan penyakit angin ahmar (stroke) yang menyebabkan seluruh anggota tubuh badan beliau lumpuh daripada leher sehingga ke kaki. Ini menyebabkan beliau tidak dapat bercakap dan menelan makanan, tetapi pendengaran dan penglihatan beliau masih berfungsi dengan baik dan jelas, begitu juga memori dan kecerdasan akal fikirannya tidak sedikitpun terjejas. Selain itu, beliau juga boleh melakukan mimik muka dan mengeluarkan suara untuk menunjukkan perasaan gembira dan sedihnya. Beliau mendapat rawatan di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi, dan sejak itu beliau belajar berkomunikasi menggunakan isyarat mata berdasarkan pemilihan huruf-huruf yang ditunjukkan kepadanya.

Terdapat seorang penulis yang juga wartawan Muslimah di Afrika Selatan bernama Fatima Asmal, kini beliau adalah Pengarah Institute of Learning and Motivation (ILM-SA) di Afrika Selatan, pernah menulis sebuah artikel dalam penerbitan An-Nisaa pada tahun 2003 yang merekodkan kisah lawatan beberapa orang mubaligh Kristian ke kediaman Shaykh Ahmad Deedat untuk “menyelamatkan hidup” beliau. Fatima turut menemu bual anak kepada Shaykh Ahmad Deedat iaitu Yusuf Deedat berkenaan ayahnya.

Kisahnya bermula pada awal pagi 26 Oktober 2002, apabila seorang reverend Kristian iaitu Reverend Naidoo menziarahi Shaykh Ahmad Deedat yang lumpuh terlantar di atas katil di kediamannya. Artikel perbualan tersebut saya terjemahkan dalam bahasa Melayu:
Reverend Naidoo: “En. Deedat, bolehkah saya mendoakan anda atas nama Jesus? Jika saya doakan anda atas namanya, anda akan dapat berdiri dan berjalan semula. Anda akan bercakap atas namanya. Bolehkah saya bacakan kepada anda sepotong ayat yang penuh dengan inspirasi daripada Kitab Suci Bible dengan harapan semoga Jesus dapat menyembuhkan anda?”

Seperti biasa, dengan bantuan anaknya, Shaykh Ahmad Deedat melakukan komunikasi mata untuk membentuk ayat bagi membalas permintaan reverend Kristian tersebut. Ayat tersebut berbunyi: “En. Naidoo, tolong bacakan kepada saya Genesis, Bab 19, ayat 30.”
Dengan senang hati Reverend Naidoo membacakannya: “{19:30} And Lot went up out of Zoar, and dwelt in the mountain, and his two daughters with him; for he feared to dwell in Zoar: and he dwelt in a cave, he and his two daughters. {19:31} And the firstborn said unto the younger, Our father [is] old, and [there is] not a man in the earth to come in unto us after the manner of all the earth: {19:32} Come, let us make our father drink wine, and we will lie with him, that we may preserve seed of our father. {19:33} And they made their father drink wine that night: and the firstborn went in, and lay with her father; and he perceived not when she lay down, nor when she arose. {19:34} And it came to pass on the morrow, that the firstborn said unto the younger, Behold, I lay yesternight with my father: let us make him drink wine this night also; and go thou in, [and] lie with him, that we may preserve seed of our father. {19:35} And they made their father drink wine that night also: and the younger arose, and lay with him; and he perceived not when she lay down, nor when she arose. {19:36} Thus were both the daughters of Lot with child by their father.
(Potongan ayat Genesis 19:30-36 di atas menceritakan perbuatan sumbang mahram antara Lot (Nabi Lut AS) dengan kedua-dua orang anak perempuannya).

Sekali lagi, Shaykh Ahmad Deedat berkomunikasi dengan isyarat mata bagi membentuk ayat. Ayat tersebut berbunyi: “Apakah moral daripada kisah tersebut? Adakah anda mempelajari sesuatu daripada bab tersebut?”

(Nota penulis: pembaca juga boleh merujuk 2 Timothy, 3:16 berkenaan kriteria kitab daripada Tuhan)

Reverend Naidoo terdiam dan terus meninggalkan kediaman tersebut.

Satu lagi kisah berkenaan seorang Kristian yang cuba mempengaruhi Shaykh Ahmad Deedat yang sedang terlantar lumpuh. Ringo, seorang Kristian berbadan sasa dan pemilik sebuah gim menziarahi Shaykh Ahmad Deedat dengan harapan dapat mengubati beliau. Dengan dakwaan bahawa semangat Jesus bersemi dalam tubuh badannya, Ringo cuba melakukan keajaiban di sisi katil Shaykh Ahmad Deedat, siap dengan gerakan tangannya.
“Jesus, sembuhkanlah dia! Bangun!”

Waqaf Saham

Shaykh Ahmad Deedat hanya memerhati perbuatannya itu di sisi katilnya. Beliau lalu berkomunikasi dengan isyarat mata yang juga menghasilkan ayat menyuruh membaca tiga potong ayat daripada Bible iaitu Matthew, 7:21-23: “{7:21} Not every one that saith unto me, Lord, Lord, shall enter into the kingdom of heaven; but he that doeth the will of my Father which is in heaven. {7:22} Many will say to me in that day, Lord, Lord, have we not prophesied in thy name? and in thy name have cast out devils? and in thy name done many wonderful works? {7:23} And then will I profess unto them, I never knew you: depart from me, ye that work iniquity.”

(Ayat ini merupakan kata-kata Jesus (Nabi Isa AS) ketika turunnya baginda ke dunia ini sebelum hari kiamat kepada penganut Kristian yang melakukan segala perbuatan ajaib atas namanya).

Seterusnya ayat pertanyaan daripada Shaykh Ahmad Deedat kepada Ringo: “Mengapakah Jesus mengatakan kepada anda sedemikian sedangkan anda melakukan perbuatan yang mulia ini?”

Ringo mengatakan bahawa beliau akan datang semula dalam beberapa hari lagi untuk memberikan jawapan tersebut, tetapi beliau tidak pernah datang lagi.

Yusuf Deedat mengatakan sejak ayahnya terlantar lumpuh, ramai golongan mubaligh daripada pelbagai agama dan aliran mazhab datang menziarahi ayahnya dan cuba mempengaruhi ayahnya terutamanya pada hari Ahad. Setiap daripada mereka disambut dengan mesra oleh Shaykh Ahmad Deedat. Tetapi, walaupun dengan hanya menggunakan isyarat mata untuk berkomunikasi, ayahnya membalas setiap hujah kepada mereka seperti “peluru berpandu,” menggunakan kitab suci dan fahaman masing-masing sepertimana kisah dua orang mubaligh Kristian tersebut.

Yusuf pernah bertanya kepada ayahnya adakah beliau penat melayan karenah golongan mubaligh-mubaligh tersebut yang tidak putus-putus menziarahinya dan cuba mempengaruhinya. Dengan isyarat mata beliau menjawab tidak, malah beliau menyatakan bahawa beliau begitu seronok dengan kehadiran mereka. Yusuf mengatakan bahawa ayahnya menyuruh beliau memberitahu orang-orang yang menanyakan tentang perihal dirinya bahawa beliau sentiasa dalam keadaan sihat. Bahkan, ayahnya menyuruh mereka mengajak manusia kepada Islam, menyuruh mereka membaca buku-buku tulisannya serta menonton rakaman video-video perdebatan dan syarahannya yang lalu.

Berkomunikasi dengan isyarat mata, Shaykh Ahmad Deedat meminta ahli keluarganya menggantungkan sepotong ayat al-Qur’an di cermin sisi katilnya daripada Surah al-Anbiya’, ayat 83 yang berbunyi: “Dan (sebutlah peristiwa) Nabi Ayub, tatkala dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” Barangkali ayat tersebutlah yang menjadi penguat semangat beliau dan doa beliau seharian.

Ramai tokoh-tokoh muslim terkemuka datang menziarahi beliau seperti Yusuf Islam (Cat Steven), Louis Farrakhan, kumpulan nasyid dari Malaysia iaitu Raihan, termasuklah anak muridnya, Dr. Zakir Naik. Apabila Shaykh Ahmad Deedat dipertontonkan rakaman video syarahan dan perdebatan anak muridnya itu, beliau menunjukkan reaksi muka yang penuh dengan emosi sedih dan gembira kerana terlalu berbangga dengan pencapaian anak didiknya itu, kemudian beliau berkomunikasi dengan isyarat mata: “My son, what you have done in four years, it took me forty years to accomplish.” Dr. Zakir Naik membalas: “It was because of your forty years hard work that was possible. You have to make the basement first and that takes time and then the building comes up. You give me everything on a platter. If you weren’t there, then I would have taken forty-four years but Allah and guidance from Him that you did all this foundation work for forty years, has made it possible for us to do this in such a short time.”

Begitulah kisah seorang tokoh pendakwah yang mengorbankan seluruh jiwa raganya atas jalan fisabilillah, walaupun tubuh badannya “mati” tetapi akal fikiran, memori dan hatinya tidak pernah mati. Sembilan tahun beliau terlantar lumpuh, masih tetap berdakwah semampu yang boleh dan hujahnya masih “berbisa.” Tidak pernah sesekali beliau sesali atau kecewa dengan keadaan dirinya. Dirinya “direhatkan” oleh Allah SWT hampir sedekad supaya beliau dapat melihat sendiri hasil usaha dakwah dan legasinya berkembang luas, mudah-mudahan juga sebagai kaffarah atas segala dosanya supaya beliau kembali ke hadrat penciptanya dalam keadaan suci bersih daripada sebarang dosa dan dalam keredaan-Nya. Insya Allah.

Terdapat juga segolongan kumpulan Kristian ketika itu mendakwa bahawa Shaykh Ahmad Deedat dihukum oleh Tuhan kerana melakukan syarahan kontroversinya di Sydney, Australia, yang juga syarahan terakhirnya, pada hari umat Kristian ketika itu sedang menyambut Hari Good Friday, hari Jesus mati disalib pada kepercayaan mereka. Beberapa orang mubaligh Kristian pernah datang menziarahi Shaykh Ahmad Deedat di kediamannya sebanyak dua kali menanyakan kesediaannya untuk mengakui kesilapannya itu. Shaykh Ahmad Deedat dengan isyarat mata menjawab: “I have no guilt in my head.”

Begitulah ketegasan seorang pendakwah yang hebat, walaupun diuji dengan ujian yang begitu berat, namun imannya tetap teguh tanpa terkesan sedikitpun.
Shaykh Ahmad Deedat mengadap penciptanya dengan tenang pada awal pagi Isnin, tanggal 8 Ogos 2005 bersamaan 2 Rejab 1426 H ketika sedang mendengar bacaan Surah Yasin daripada radio Channel Islam International, sebulan selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-87 dan dikebumikan di Perkuburan Islam Verulum, Afrika Selatan. Isterinya, Hawa Deedat, yang sangat setia menemani perjuangan suaminya itu sehingga ke akhir hayat menyusul pemergiannya hanya 20 hari selepas itu. Hawa Deedat begitu setia menjaga dan merawat suaminya, sejak suaminya pulang dari Arab Saudi selepas mendapat rawatan di sana, beliau tidak pernah keluar daripada kawasan kediaman mereka selama hampir tujuh tahun kerana menjaga suaminya.

Segala hasil kerja Shaykh Ahmad Deedat dalam bentuk buku dan rakaman video menjadi motivasi kepada ribuan para pendakwah muslim yang lain di seluruh dunia. Legasinya tidak pernah mati bahkan semakin berkembang. Karya-karyanya boleh dimuat turun, dibaca dan ditonton secara percuma melalui laman web TruthwayTV: https://ift.tt/2ulOrck.

Al-Fatihah, semoga Allah SWT menempatkan Shaykh Ahmad Deedat bersama-sama orang-orang yang diredai-Nya. Amin.

Sumber rujukan:

– Bible versi King James.
– Fatima Asmal, “In Tribute to Ahmed Deedat Deedat: The Mission Continues” (tajuk dan isi artikel telah diubahsuai sedikit daripada artikel asal dalam penerbitan An Nisaa, 2003), dalam laman web Archive Islam Online, pautan: https://ift.tt/2NJmIOs, dirujuk pada bulan September 2018.
– Goolam Vahed, Ahmed Deedat: The Man and His Mission, IPCI, 2014.
– “Famed S. African Muslim Scholar Dies,” laman web rasmi berita AlJazeera.com, pautan: https://ift.tt/2N2SalN, 9 Ogos 2005, dirujuk pada bulan September 2018.
– “Tribute and Times of Sheikh Ahmed Deedat,” video terbitan Truthway TV.